Kenyataan media oleh Setiausaha DAP Selangor dan ADUN
Kampung Tunku, Lau Weng San pada 25hb April 2008 hari Jumaat di Petaling
Jaya:
Isu RM9.9 juta wang Balkis akan
dibawa ke DUN Selangor
Saya berasa ganjil dan aneh apabila
skandal yang melibatkan pemindahan dana sebanyak RM9.9 juta kepunyaan
Persatuan Isteri-isteri ADUN dan Ahli Parlimen Selangor atau nama
singkatan Balkis yang dipindahkan kepada Bakti (persatuan yang sama di
peringkat persekutuan) dijawab dengan tanpa segan silu oleh Bekas
Menteri Besar Selangor dan ADUN Sungai Panjang, Dato’ Seri Dr.Mohamad
Khir Toyo.
Pemusykilan pertama ialah, mengapakah Pengerusi Balkis, Datin Seri
Zaharah Kechik sendiri tidak memperjelaskan perkara ini apabila perkara
ini dilaporkan sebagai berita muka pertama oleh akhbar harian Bahasa
Inggeris, The Sun?
Yang kedua, bagaimana Khir Toyo dapat mengatakan bahawa pembubaran
Balkis adalah sah di sisi undang-undang apabila Mesyuarat Agung
Tergempar yang diadakan pada 11 March telah membuat keputusan ini
sedangkan ianya barisan Exco Balkis pada hari itu seharusnya
membincangkan pemindahan kuasa dan aset Balkis kepada barisan Exco yang
baru?
Ketiga, ianya merupakan satu kes penyalahgunaan kuasa apabila Exco
Balkis melanggari peraturan dengan memindahkan dana sebanyak RM9.9 juta
kepada Bakti apabila mengikut perlembagaan Balkis, dana ini sepatutnya
disalurkan kepada Kerajaan atau tabung yang didirikan oleh Kerajaan
dengan kelulusan daripada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),
lebih-lebih lagi sebahagian dana ini merupakan wang derma daripada
Kerajaan Negeri Selangor?
Dr Khir Toyo tidak seharusnya mengaburi mata dengan jawapan-jawapan yang
bukan-bukan ini. Adalah lebih baik untuk beliau meminta Pengerusi Balkis
yang lama, iaitu isterinya sendiri, Datin Seri Zaharah Kechik
menyerahkan wang yang besar ini agar Balkis boleh berfungsi sebagai
badan amal yang berkesan dalam membantu golongan rakyat miskin dan
terpinggir di Selangor.
Sebagai seorang ADUN, saya akan membangkitkan isu ini dalam persidangan
DUN yang akan datang pada 21 Mei 2008 nanti.
*
Lau Weng San, Setiausaha
DAP Selangor dan ADUN Kampung Tunku