http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan Sidang Media oleh Ngeh Koo Ham di Ipoh pada hari Selasa, 2 Disember 2008:

Prosedure penukaran status hakmilik tanah lot kediaman dan perniagaan kepada hakmilik selama-lamanya 

Kerajaan Negeri Perak ingin mengumumkan mulai hari ini penghuni-penghuni RPT dan Kampung-kampung Baru rumah kediaman di seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan boleh memohon untuk hakmilik selama-lamanya.

Permohonan hanya dapat dibuat sekarang kerana Kerajaan Negeri Perak telah mengambil masa beberapa bulan yang lepas untuk menilai hartanah di seluruh 349 RPT dan 134 Kg Baru di seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan. Ini adalah untuk membolehkan pemohon-pemohon mengetahui dengan serta merta jumlah premium yang mereka perlu membayar apabila mereka memohon untuk hakmilik selama-lamanya. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Perak telah mengambil masa untuk meneliti cara-cara mempersingkatkan proses permohonan untuk melicinkan pengeluaran hakmilik selama-lamanya ini. Pengeluaran hakmilik selama-lamanya ini telah dipersingkatkan kepada 4 proses sahaja dan hakmilik selama-lamanya dapat dikeluarkan dalam masa sehari sahaja jika perlu.

Ini merupakan satu usaha Kerajaan Pakatan Rakyat untuk meningkatkan ‘delivery system’ jentera kerajaan. Akan tetapi dijangka Pejabat Tanah / Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Perak akan menerima banyak permohonan untuk hakmilik selama-lamanya, maka hakmilik selama-lamanya dijangka akan dapat dikeluarkan dalam tempuh masa 2 minggu ke satu bulan.

Empat (4) proses berkenaan adalah seperti berikut:-

i. pemohon memohon secara serentak dengan menyerah balik tanah (Borang 12A) dan memohon semula tanah hakmilik selama-lamanya (Borang Jadual I);
ii. kelulusan pemberimilik tanah dalam Notis 5A akan dikeluarkan;
iii. pemohon membayar jumlah premium yang dikenakan;
iv. hakmilik selama-lamanya dikeluarkan

Jumlah premium yang perlu dibayar

Jumlah premium yang perlu dibayar adalah 20% daripada perbezaan nilai tanah hakmilik selama-lamanya dan nilai tanah baki tempoh pajakan. Nilaian tanah hendaklah menggunapakai Jadual Penilaian Tanah RPT dan Kg Baru yang disediakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Perak.

Hendaklah dijelaskan bahawa jika angka terakhir baki pajakan adalah melebihi 5, kadar premium yang terdekat akan digunapakai dan jika angka terakhir baki pajakan adalah 5 atau kurang daripada 5 kadar premium yang terdekat dengan angka tersebut akan dipakai.

Bagi lot tapak kediaman dan perniagaan yang terletak didalam Kawasan Simpanan Melayu jumlah bayaran premium yang dikenakan hendaklah ˝ daripada jumlah yang patut dibayar selaras dengan peraturan 8(4) Kaedah Tanah Perak 1966 (Pindaan 1998)

Permohonan untuk hakmilik selama-lamanya bagi bangunan perniagaan di RPT dan Kg Baru masih belum boleh memohon lagi

Kerajaan Negeri Perak ingin menjelaskan bahawa oleh kerana penilaian bagi tanah-tanah untuk perniagaan bagi RPT dan Kg Baru masih belum siap disediakan oleh JPPH, buat sementara waktu, tuanpunya-tuanpunya tanah perniagaan di RPT dan Kg Baru masih belum lagi boleh memohon untuk hakmilik selama-lamanya. Kerajaan Negeri akan mengumumkan tarikh untuk mereka memohon apabila penilaian berkenaan siap disediakan.

Kerajaan Negeri Perak ingin membuat beberapa penjelasan berikut berkenaan dengan pemberian hakmilik selama-lamanya ini:-

i. Pemberian hakmilik selama-lamanya kepada penghuni-penghuni RPT dan Kg-kg Baru adalah memenuhi janji parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang telah diadakan pada 8.3.2008.

ii. Ini juga merupakan satu polisi Kerajaan Pakatan Rakyat untuk memperkayakan dan memperkasakan rakyat. Dengan pemberian hakmilik tanah selama-lamanya kepada penghuni-penghuni RPT dan Kg- kg Baru, nilai tanah dan rumah / kedai perniagaan mereka akan meningkat. Peningkatan nilai hartanah bagi RPT dan Kg-kg Baru di Negeri Perak dijangka melebihi RM1.5 bilion.

iii. Polisi memperkaya dan memperkasakan rakyat ini adalah untuk semua rakyat dan tidak seperti yang sengaja diputarbelitkan oleh sesetengah parti politik bahawa ia memihak kepada sesuatu kaum sahaja. Pemberian hakmilik ini melibatkan 349 RPT yang mempunyai lebih kurang 102,000 hakmilik dan 134 Kg Baru yang mempunyai lebih kurang 47,000 hakmilik. Kebanyakan penghuni-penghuni RPT adalah orang Melayu dan kebanyakan Kg Baru didiami oleh orang-orang Cina. Orang India juga menghuni di kedua-dua RPT dan Kg-kg Baru.

iv. Dengan hakmilik selama-lamanya, penghuni-penghuni boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan untuk membina semula kediaman atau kedai perniagaan mereka yang usang. Selain daripada membolehkan penghuni-penghuni hidup dalam keadaan yang lebih selesa, pembinaan semula kediaman dan kedai perniagaan mereka dijangka akan menjana perkembangan ekonomi yang dianggarkan akan lembap akibat krisis kewangan dunia baru-baru ini. Dijangka lebih kurang 20,000 rumah dan kedai perniagaan di RPT dan Kg-kg Baru akan dibina semula dalam masa 5 tahun akan datang.

v. Penghuni-penghuni RPT dan Kg-kg Baru adalah digalakkan untuk memohon untuk hakmilik selama-lamanya jika tempoh pajakan hakmilik mereka tamat kerana kadar premium yang dikenakan adalah lebih rendah daripada permohonan untuk pajakan 60 tahun atau 99 tahun (kerana diskaun tidak lagi diberikan pada masa kini untuk permohonan pajakan 60 atau 99 tahun) 


* Ngeh Koo Ham, Timbalan Setiausaha Agung DAP & EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak