http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan Media oleh Nga Kor Ming di Parlimen pada hari Selasa, 16 Disember 2008:

Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming hari ini menyeru kerajaan menurunkan harga diesel nelayan kepada RM1.00 setiap liter dengan segera supaya mogok laut dapat diselesaikan  

Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming menyeru kerajaan persekutuan dengan segera turun padang mendengar rintihan hati warga nelayan dalam Negara ini dan menurunkan harga diesel yang diberi subsidi dari RM1.30 ke RM1.00.

Menyentuh tentang mogok laut yang sedang dilakukan oleh para nelayan di 7 negeri yang melibatkan 15,000 nelayan, Nga mengutuk sikap Kementerian yang sambil lewa dan keengganan berdialog dengan wakil nelayan sehingga menyebabkan nelayan-nelayan tiada pilihan tetapi untuk mengadakan mogok laut.

Nga menyatakan bahawa akibat mogok laut yang bermula pada 12/12/2008, harga pasaran hasil laut di pasar awam tempatan telah meningkat lebih kurang 30% dan pasaran mulai menghadapi kesuntukan bekalan. Ini menyebabkan rakyat jelata terpaksa memikul beban yang berat dalam belanjawam harian khususnya kos makanan.

Nga, yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Pantai Remis, Perak juga mengutuk kernyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Seri Mustaffar hari ini, beliau dipetik berkata bahawa harga diesel tidak perlu turun lagi kerana warga nelayan adalah KAYA, mereka tidak minat untuk pohon subsidi RM0.10 setiap kilo hasil perikanan yang ditangkap dari laut.

Nga mengatakan dasar kerajaan persekutuan untuk memberi subsidi bulanan RM200 kepada nelayan dan pemberian subsidi RM0.10 tersebut di atas adalah tidak berkesan dan gagal menepati objektif dasar ini.

Beliau berkata, bahawa proses permohonan untuk subsidi RM0.10 setiap KG adalah rumit dan penuh dengan kelemahan. Walaupun dasar ini berkuatkuasa sejak Jun 2008, lebih 80% nelayan gagal mendapat kebaikan ini. Selain itu, jika dibandingkan dengan kos diesel RM7,000-RM8,000 setiap vessel kapal kelas B untuk tempoh 1 bulan, pemberian subsidi RM200 adalah langsung tidak berkesan.Tambahan pula, untuk vessel kelas C, iaitu perikanan laut dalam, kos diesel setiap bulan boleh mencecah RM30,000.00. maka subsidi RM200 adalah terabai.

Nga Kor Ming juga berkata, kos diesel membentuk lebih kurang 60% kos operas nelayan, bahawa harga minyak mentah dipasaran Antarabangsa telah jatuh dari paras USD145 satu tong ke USD42 satu tong, harga diesel di pasaran juga telah turun sebanyak 6 kali tetapi sehingga kini harga diesel subsidi untuk nelayan masih kekal RM1.43 dan kini RM1.30.

Nga menyatakan bahawa pada tahun 2000, apabila harga minyak mentah antarabangsa berada di paras USD47 satu tong, harga diesel nelayan hanya RM0.80, maka dengan harga minyak mentah yang lebih rendah sekarang, harga diesel subsidi pada paras RM1.30 tidak boleh diterima. Oleh itu, Nga menyeru kerajaan menurunkan harga diesel nelayan kepada RM1.00 setiap liter dengan segera supaya mogok laut dapat ditamatkan.


* Nga Kor Ming, Penolong Bendahari DAP & Ahli Parlimen Taiping