Memorandum by Loke Siew Fook in Petaling Jaya on
Monday, 22nd December 2008:
Memorandum opposing the
privatisation plan of IJN
22 Disember 2008
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak
Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan
Putrajaya.
Yang Amat Berhormat,
Memorandum bantahan terhadap cadangan penswastaan Institut Jantung
Negara
Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut
di atas.
2. Saya mewakili Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY Malaysia) ingin
secara tegasnya menyatakan bantahan kami terhadap sebarang cadangan
penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) seperti yang telah dilaporkan
oleh media massa. Walaupun pihak YAB telah mengeluarkan kenyataan bahawa
kerajaan telah menangguhkan cadangan penswastaan tersebut dan perlu
dikaji secara lebih teliti, namun DAPSY ingin menyeru Kerajaan
Persekutuan supaya membatalkan terus hasrat untuk menswastakan IJN.
3. IJN merupakan sebuah pusat perubatan jantung yang terunggul bukan
sahaja di Malaysia namun di seluruh rantau ini. Kejayaan IJN menjadi
sebuah pusat perubatan jantung yang termasyur perlulah dijadikan
tauladan kepada sektor awam dan menjadi model kepada institusi-institusi
kerajaan yang lain. Kekuatan IJN ialah terletak di bahu para pakar bedah
di institut tersebut dan seluruh warga sokongannya. Komitmen terbuka
mereka terhadap IJN dan kenyataan mereka yang menyangkal kononnya mereka
menuntut gaji yang lebih lumayan perlulah diambil kira secara serius
oleh pihak kerajaan.
4. IJN telah membantu ramai warga golongan miskin mendapatkan pembedahan
dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik walaupun mereka tidak mampu dari
segi tanggungan kewangan kerana falsafah penubuhan IJN ialah menanggung
tanggungjawab sosial dan bukannya berorientasikan keuntungan. Falsafah
ini perlu dipertahankan di IJN buat selama-lamanya. Kenyataan bahawa
kerajaan akan tetap mengawal kos perubatan di IJN selepas diswastakan
adalah kurang menyakinkan dan tidak dapat memberikan apa-apa jaminan
kepada rakyat.
5. Sebagai seorang bekas pesakit yang pernah mendapat pembedahan di IJN,
saya sendiri menganggap IJN bukan sahaja sebagai sebuah pusat perubatan
tetapi sebuah institusi yang amat membanggakan rakyat Malaysia. Setiap
pesakit yang mendapat rawatan di IJN diberi layanan yang terbaik dan
secara saksama. IJN bukan sahaja tempat untuk menyembuhkan pesakit
jantung tetapi ia juga tempat yang terbaik untuk menyemai hati rakyat
Malaysia yang murni dan bersatu-padu. Kejayaan IJN dalam pembedahan
transplant adik Tee Hui Yee adalah antara banyak contoh yang
menjanakan semangat kekitaan dan masyarakat penyayang di Malaysia.
6. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan pemimpin masyarakat, kami
amat berharap YAB sebagai bakal Perdana Menteri dapat membuat satu
keputusan yang pantas dan tegas dalam perkara ini. Respons negatif dari
pelbagai pihak terhadap cadangan ini menunjukkan betapa tidak popularnya
cadangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan satu komitmen terbuka
untuk tidak menswastakan IJN dan terus memberikan sokongan kepada IJN
sebagai sebuah institusi milik kerajaan.
7. Kesudian pihak YAB mendengar pandangan kami adalah amat dialu-alukan
dan dihargai. Keputusan positif daripada pihak kerajaan mengenai perkara
ini amat diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada masa kini.
Pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak YAB didahulukan dengan ucapan
ribuan terima kasih.
Sekian dimaklumkan.
Berkhidmat untuk rakyat,
..
LOKE SIEW FOOK
AHLI PARLIMEN RASAH merangkap
KETUA DAPSY MALAYSIA
* Loke Siew Fook, DAPSY National Chairman & MP for Rasah