Utusan Selamat Hari Raya Aidil Adha oleh
Lim Guan Eng di Georgetown pada hari Ahad, 7 Disember 2008:
Selamat Hari Raya Haji Aidil Adha
Umat Islam di seluruh dunia hari ini
menyambut Aidil Adha atau turut dikenali dengan Hari Raya Korban dan
Hari Raya Haji. Hari Raya Korban kali ini disambut pada 10 Zulhijjah
1429 Tahun Hijrah di mana jutaan umat Islam turut menunaikan ibadah Haji
di Makkah.
Saya dengan ini mengucapkan salam Aidil Adha buat semua umat Islam di
Malaysia dan di mana sahaja berada atas nama persaudaraan sesama insan
dan semangat merapatkan tali silaturrahim.
Saya dimaklumkan bahawa pada hari yang mulia ini umat Islam merayakan
sambutan terhadap iltizam dan pengorbanan kepada Tuhan sempena
mengingati kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. yang tunduk dan akur perintah
Tuhan sehingga bersedia untuk mengorbankan anaknya sendiri.
Sebagaimana yang diketahui setiap umat Islam, Tuhan telah menggantikan
Nabi Ismail, anak Nabi Ibrahim, dengan seekor biri-biri sebagai korban
dan inilah yang dilakukan oleh umat Islam sejak zaman-berzaman sebagai
mengingati peristiwa bersejarah dan suci ini.
Daging korban dibahagi-bahagikan kepada golongan miskin dan yang
memerlukan. Inilah petanda sikap tolong-menolong yang harus diamali yang
wujud di semua nilai agama. Pengorbanan bukan perkara mudah. Ia
mempunyai makna yang mendalam. Ia adalah petanda menghargai nyawa dan
membantu golongan yang teraniaya dan terpinggir.
Sebagaimana yang saya sering nyatakan, amalan amar makruf nahi mungkar
yang menyuruh buat kebaikan dan jauhi kejahatan adalah bersifat
universal yang boleh dikongsi bersama oleh semua kaum dan agama. Untuk
mengamalkannya pasti perlukan pengorbanan di segi masa, harta benda,
wang ringgit dan tulang empat kerat.
Sebagai Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk memastikan setiap
rakyat Malaysia di Pulau Pinang tidak dipinggirkan di segi pembangunan
fizikal dan rohani. Pembangunan mestilah seimbang dalam aspek kerohanian
dan fizikal kawasan perbandaran dan luar bandar golongan ada dan tidak
berada.
Di samping itu, kerajaan negeri juga bertekad membasmi kemiskinan tegar
(keluarga berpendapatan kurang RM 400 sebulan). Pada masa yang sama,
memberikan harapan masa depan dengan membuka peluang menguasai
pendidikan internet dengan menjadikan negeri wifi pertama yang boleh
memberikan kemudahan wireless kepada semua warga Pulau Pinang secara
percuma.
Kita mahu semua orang menikmati pembangunan dan kemajuan, dan bukan
segelintir kelompok politik. Saya juga bertanggungjawab memimpin parti
dan berusaha gigih ke arah merapatkan hubungan antara kaum dan agama di
negara ini. Kita tidak boleh lagi hidup seperti katak di bawah tempurung
kerana kita harus bekerjasama tanpa syak wasangka untuk kebaikan semua.
Itulah sebabnya kerajaan negeri selalunya menjalinkan hubungan
silaturahim di antara semua kaum dan agama. Kita mahu pulihkan keyakinan
rakyat terhadap sistem kerajaan sebagai sebuah institusi yang boleh
tolong dan bukan susahkan rakyat, yang boleh tahu berikan dan bukan
hanya tahu angkat daripada rakyat.
Oleh itu, Kerajaan Negeri yang baru ini akan berusaha keras untuk
mewujudkan peluang yang lebih adil dan saksama untuk dinikmati oleh
semua masyarakat tanpa adanya diskriminasi jantina, kaum, agama mahupun
fahaman politik. Semoga Aidil Adha kali ini akan membuka hati kita semua
untuk sanggup sama-sama berkorban demi Malaysia yang kita cintai. Hanya
dengan kerjasama ikhlas tanpa mengira kaum dan agama, kita boleh maju
bersama.
Malah, tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Tahun Baru Ma'al Hijrah
1430. Semoga semangat Aidil Adha diteruskan agar azam baru kita dikongsi
bersama untuk membawa keharmonian dan keamanan tanpa rasa benci dan
dendam. Sekali lagi, salam Aidil Adha buat semua umat Islam di mana
sahaja berada; kukuhkan iltizam untuk hidup bersama dalam harmoni dan
aman.
*
Lim Guan Eng, Setiausaha
Agung DAP
& Ketua Menteri Pulau Pinang