http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
 

Ucapan Penggulungan (3) oleh Y.A.B. Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008:   

Amalan Prinsip CAT

Kerajaan Negeri yang baru memang bersungguh-sungguh mengambil pendekatan dan mengamalkan Prinsip CAT. Ini diterjemahkan ke dalam semua urusan pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat jabatan atau di peringkat Kerajaan Tempatan. Di dalam urusan pentadbiran tanah, kerajaan mengamalkan pendekatan yang telus dan terbuka dalam menimbang semua urusan permohonan tanah seperti permohonan pemberimilikan, tukar syarat tanah, cantuman tanah, pecah bahagian, pecah sempadan, serah dan berimilik semula, pengambilan balik tanah, Lesen Pendudukan Sementara, Permit Bahan Batuan dan Permit Ruang Udara. Dalam hubungan ini, saya sebagai Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab ke atas hal ehwal tanah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah pada setiap minggu supaya semua permohonan tanah dapat dibincang dan diberi pertimbangan supaya tidak berlaku tunggakan.

Saya percaya, pendekatan yang diambil ini akan menambahkan kecekapan, mempercepatkan proses mendapatkan keputusan dan mengurangkan karenah birokrasi. Bagi tujuan tersebut, beberapa jawatankuasa yang wujud dalam pentadbiran kerajaan yang dahulu telah dimansuhkan seperti Jawatankuasa Ad-hoc Tukar Syarat Tanah Pertanian. Begitu juga beberapa proses kerja urusan tanah telah disemak semula bagi mengurangkan (dengan izin) red tape dan memansuhkan proses kerja yang tidak perlu. Penambahbaikan ini dibuat adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan sistem penyampaian perkhidmatan tanpa mengorbankan prinsip CAT.

Bagi memastikan prinsip CAT dihayati dan diterjemahkan sepenuhnya, Kerajaan Negeri yang baru cuba menyempurna dan membersihkan beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang lalu. Contohnya mengenai proses pengambilan balik tanah dan kes Tan Hack Ju di mana kedua-dua kes ini masih dalam siasatan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama melancarkan ePerolehan pada 17 Julai 2008. Melalui sistem ini, tawaran sesuatu projek akan diemail secara terus kepada kontraktor yang berkelayakan dan seterusnya berpeluang menawarkan sebut harga. Kerajaan Negeri akan mendapat pulangan yang terbaik (dengan izin) Best Value For Money.

Pengambilan Tanah

Kerajaan negeri baru telah mendapati penyelewengan berlaku dalam proses pengambilan balik tanah semasa kerajaan lama. Memang tidak dipertikaikan, yang pengambilan balik tanah dibuat melalui proses undang-undang iaitu menggunakan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960, tetapi akhirnya kerajaan negeri terpaksa keluar lebih dan menanggung kehilangan RM 84 juta. Antara penemuan yang boleh saya sebutkan di sini ialah:

i. Pertama – terdapat beberapa lot tanah yang tidak termasuk dalam senarai asal yang dicadangkan oleh konsultan, tetapi lot tersebut diselitkan dalam senarai tanah yang akan diambil tanpa ada rekod justifikasi. Boleh ditafsirkan, lot tersebut dimiliki oleh orang tertentu yang sengaja dimasukkan ke dalam senarai untuk mengaut keuntungan. Ini menyebabkan bayaran RM 3.5 juta untuk pengambilan tanah yang sebenarnya tidak dalam lakaran atau tidak diperlukan;

ii. Kedua – adalah menjadi satu perkara yang aneh (yang tidak pernah berlaku sebelum ini), di mana terdapat proses jual beli tanah ke atas lot yang telah dikenal pasti terlibat dengan pengambilan. Dalam hal ini, telah berlaku proses jual beli tanah sebanyak 18 lot yang terlibat daripada satu syarikat kepada syarikat yang lain. Saya beranggapan kuat, bahawa perkara tersebut telah dirancang bagi mempengaruhi nilai tanah;


iii. Ketiga – saya beranggapan kuat bahawa telah berlaku pakatan di antara pihak yang cuba mengambil peluang mengaut keuntungan, dengan menaikkan nilai bayaran pampasan tanah. Di dalam kes ini, mengurangkan (awards) perintah bayaran yang dibuat oleh pentadbir tanah adalah tidak mengikut nilai yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH); dan

iv. Keempat – bayaran pampasan dibayar hanya kepada pihak tertentu dan bukan kepada yang lain.

Saya ingin menekankan bahawa, proses yang telah diamalkan didapati tidak telus. Siasatan kini berjalan dan ia makan masa kerana melibatkan jumlah wang yang besar dan juga urusan tanah yang agak kompleks. Sementara siasatan berjalan, pegawai kerajaan yang disyaki terlibat juga telah dipindahkan ke jabatan lain dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi mempertahankan hak, kepentingan dan wang rakyat termasuk membuat laporan kepada polis dan BPR.

Inilah yang dikira menyeleweng wang rakyat di mana memang wujud kehilangan wang kerajaan dan rakyat bukan sepertimana yang disebut oleh YB Ketua Pembangkang fahamannya begitu berbau politik bila kita hapuskan saman ia dianggap menyelewengkan wang rakyat. Mengapa pula pembelian 14 buah Mercedes oleh kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM 3.43 juta yang melanggari peraturan tidak disebut oleh YB Ketua Pembangkang sebagai satu penyelewengan?

Kes Tan Hak Ju

Ini satu lagi kes yang telah merugikan Kerajaan Negeri dan pembaziran wang rakyat akibat kecuaian dan keputusan yang tidak tepat. Saya tidak menafikan bahawa kecuaian dan kelalaian boleh berlaku di mana-mana dan dalam semua perkara. Tetapi saya sangat musykil bagaimana Kerajaan Negeri yang dulu boleh meluluskan sekeping tanah yang luasnya 10.6 ekar kepada seorang individu yang kononnya adalah pengusaha kuari. Tanah seluas 10.6 ekar adalah cukup besar untuk diberikan hanya kepada seorang individu yang sepatutnya tidak berlaku. Dalam kes ini saya sesungguhnya berpendapat telah berlaku kecuaian di semua peringkat.

Kes ini telah menjadi kes mahkamah apabila Kerajaan Negeri yang lalu telah membatalkan pemberian milik tanah tersebut. Akibatnya Kerajaan Negeri mengalami kerugian apabila keputusan mahkamah telah berpihak kepada individu berkenaan. Saya difahamkan bahawa sebelum kes ini difailkan di mahkamah, telah ada proses perundingan untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Dalam proses rundingan tersebut, pada satu peringkat individu berkenaan telah bersetuju untuk menerima ganti rugi yang jauh lebih rendah iaitu RM1.8 juta, tetapi Kerajaan Negeri yang dahulu tidak bersetuju menyebabkan berlakunya saman di mahkamah di mana akibatnya perintah bayaran yang dibuat oleh mahkamah ialah RM29 juta (asalnya RM40 juta – dikurangkan selepas rayuan). Dengan kadar 8% sejak tahun Februari 2005, jumlah kehilangan yang mungkin dialami oleh pihak kerajaan negeri mungkin mencecah RM 40 juta. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri yang dulu kurang bijak membuat keputusan dan tidak menangani kes dengan baik. Lagipun tidak sebarang tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab. Saya dengan ini menegaskan sekali bahawa prinsip CAT yang diperkenalkan oleh kerajaan boleh menghindarkan daripada berlakunya skendal tanah yang merugikan ini.

Y.B ADUN Permatang Pasir telah membangkitkan isu tanah Arumugam Pillai yang telah dijual kepada penduduk di Kepala Batas tetapi belum mendapat Hak Milik

Tanah yang dimaksudkan adalah Lot 1999 Mk. 6 (GRN. 70518) Kepala Batas SPU. Seluas 14.69 ekar, dikenali sebagai kawasan Kg. Kovil, Kepala Batas yang mengandungi lebih kurang 110 plot yang kini telah didiami oleh penduduk Kg. Kovil yang kesemuanya adalah masyarakat India.

Tanah berkenaan dimiliki oleh Bertam Consolidated Rubber Plantation Co. Ltd. (Bertam Estate) dan di dalam hak milik masih tercatat bahawa tuan tanah berdaftar adalah Bertam Consolidated Rubber Plantation Co. Ltd. Bagaimanapun sejarah lot ini menunjukkan bahawa tanah tersebut telah dibeli oleh Chettiar Arumugam Pillai pada tahun 1960 dan kemudiannya dijualkan kepada penduduk Kg. Kovil secara lot lidi (pecahan kecil) tanpa pecahan sempadan yang sah tetapi pindahmilik tidak disempurnakan. Chettiar Arumugam Pillai sepatutnya menguruskan pindahmilik tetapi ia tidak berlaku. Cukai tanah masih dijelaskan oleh Bertam Consolidated Rubber Plantatioon Co. Ltd.

Sehingga kini, Pejabat Tanah SPU tidak menerima sebarang permohonan pecah bahagian atau pecah sempadan dari mana-mana pihak. Kerjasama sepenuhnya akan diberikan sekiranya terdapat permohonan dikemukakan.

Pegangan Bebas

Isu pemberian tanah kepada status pegangan bebas telah dibangkitkan oleh Y.B Telok Bahang

Kerajaan Negeri yang baru telah mengambil satu pendekatan untuk menghayati jiwa rakyat. Salah satu pendekatan yang dibuat ialah berkongsi harta dengan rakyat dengan mengembalikan hak pemilikan hartanah kepada rakyat di mana tanah kediaman akan dipegang oleh rakyat bagi tempoh selama-lamanya. Dengan cara ini rakyat tidak perlu bimbang akan kehilangan hartanah mereka. Peluang ini dibuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan. Rakyat diberi pilihan sama ada hendak mendapatkan status pegangan bebas atau kekal dalam bentuk pajakan ke atas hartanah mereka, dengan tiada unsur paksaan.

Memandangkan kerajaan telah membuka peluang kepada rakyat untuk mendapatkan hartanah atas milikan kekal, tentulah ia akan meningkatkan nilai hartanah itu sendiri. Dengan hal demikian, kerajaan bercadang akan mengenakan premium atas peningkatan hartanah tersebut. Dalam hubungan ini jumlah premium dicadangkan akan dikenakan mengikut perkiraan formula berikut:

Nilai hartanah mengikut pegangan kekal TOLAK nilai hartanah atas baki pajakan.

Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memberikan potongan diskaun ke atas jumlah tersebut. Adalah dijangkakan bahawa bilangan lot yang akan terlibat adalah sebanyak 15,000 lot.

Y.B Speaker, Y.B Penaga telah menimbulkan isu pemberimilikan semula secara pajakan 60 tahun, lot di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara

Sehingga 30 Mei 2008, Pentadbiran Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara telah menerima sejumlah 366 permohonan rayuan pengurangan premium pemberimilikan semula kawasan Kampung Selamat. Berdasarkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri bertarikh 17 Jun 2008, Pentadbiran Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara telah mengeluarkan sejumlah 113 surat kelulusan berserta Borang 5A (Seksyen 81 dan 82) Kanun Tanah Negara (KTN) kepada pemohon secara berperingkat mulai dari 10 Julai 2008.

Bayaran premium yang dikenakan adalah mengikut harga pasaran iaitu pada kadar RM2.23 sekaki persegi bagi tanah pertanian. Kerajaan Negeri telah meluluskan potongan sebanyak 88 peratus dan pemohon hanya perlu membayar pada kadar 0.27 sen sekaki persegi. Purata bayaran premium yang perlu dibayar bagi setiap permohonan adalah dalam lingkungan RM22,000.00 sahaja.


* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP