http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
 

Ucapan Penggulungan (6) oleh Y.A.B. Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 

Isu Pembalakan di Kawasan Tadahan Air

Y.B ADUN Penaga mencadangkan supaya mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Negeri Kedah berhubung cadangan pembalakan di kawasan tadahan air bagi mengelakkan masalah banjir.

Y.B Timbalan Ketua Menteri I telah mengetuai rombongan kunjungan hormat ke atas YAB Menteri Besar Kedah pada 14 Julai 2008 bagi menyampaikan pandangan kerajaan dan rakyat Negeri Pulau Pinang berhubung dengan isu pembalakan di kawasan tadahan air Ulu Muda, Pedu dan Ahning, Kedah.

Semasa perbincangan ini diadakan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerangkan secara terperinci kesan negatif yang akan timbul daripada pembalakan ini dan cadangan penyelesaian yang boleh diambil bersama. Di antara cadangan yang diberikan adalah seperti berikut:

i. Sebarang perbincangan antara kedua-dua negeri berkaitan hal ehwal pengurusan air hendaklah dibawa kepada Majlis Sumber Air Negara dan SPAN sebagai forum yang sesuai. Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada dasarnya tiada halangan dengan cadangan pembalakan tersebut asalkan ia tidak dilaksanakan di kawasan tadahan air yang dicadangkan;

ii. Mencadangkang supaya projek pembalakan dilaksanakan dalam lingkungan kuota 3000 hektar setiap tahun melalui kaedah tender terbuka untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Kedah;

iii. Pengurusan sungai secara bersepadu antara kedua-dua negeri diwujudkan; dan

iv. Mencadangkan kawasan tadahan air terlibat digazetkan sebagai kawasan tadahan air.

Pihak Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan bahawa pihaknya setuju dan sedar akan impak negatif yang mungkin timbul daripada pelaksanaan projek ini. Dalam hal ini, pihaknya telah memberikan jaminan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa perkara ini masih lagi diperingkat cadangan awal dan masih belum diputuskan untuk dilaksana.

Saya berpandangan perjumpaan ini sedikit sebanyak telah berjaya menyampaikan mesej yang jelas kepada Kerajaan Negeri Kedah supaya pelaksanaan cadangan ini dipertimbangkan sedalam-dalamnya terutama kesannya kepada sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Kerajaan Negeri sememangnya memandang serius akan perkara ini dan saya percaya perjumpaan ini merupakan inisiatif pertama kita sebelum perjumpaan susulan diadakan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Isu Pampasan Projek PDRM

Projek melibatkan bayaran pampasan berjumlah RM2,391,100.00 yang meliputi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,459,500.00 manakala peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM931,600.00. Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan telah diterima oleh Kerajaan Negeri. Jumlah setinggan yang terlibat adalah meliputi rumah kediaman 60 buah kediaman, 12 buah bengkel, 1 kuil Hindu, 3 tokong Cina, 6 buah stor, 2 kilang perabot dan 3 perusahaan gaharu.


* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP