http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
 

Ucapan Penggulungan (8) oleh Y.A.B. Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 

Y.B ADUN Sungai Acheh telah membangkitkan mengenai tempoh yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu mangsa yang terlibat dengan bencana

Pada dasarnya tempoh bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang terlibat dengan bencana bergantung kepada jenis / tahap bencana tersebut. Di peringkat daerah, terdapat satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah seperti yang digariskan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20. Jawatankuasa ini akan bertindak bagi membantu mangsa bencana seperti penempatan mangsa ke pusat penempatan sementara, keselamatan serta kesihatan mangsa dan lain-lain lagi.

Di samping itu, Tabung Bantuan Bencana Daerah juga diwujudkan di bawah Arahan Akaun Amanah Tabung TYT Negeri Pulau Pinang bagi memberi bantuan kewangan kepada mangsa bencana termasuk bencana kecil seperti kebakaran, banjir, ribut, tanah runtuh yang dialami oleh penduduk terlibat. Bantuan kewangan ini adalah di bawah kawalan Pegawai Daerah.

Di bawah jawatankuasa di atas telah ditubuhkan dua jawatankuasa kecil bagi menyelaras penyaluran bantuan iaitu:

i. Jawatankuasa Kecil Pengurusan Bantuan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah akan menimbang dan meluluskan bantuan kewangan dengan serta merta dengan jumlah bantuan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap keluarga (pada kadar 10% daripada jumlah kerugian bagi kerosakan rumah dan 10% bagi kerosakan peralatan rumah kepada penyewa)

ii. Jawatankuasa Pengurusan Tabung TYT Negeri Pulau Pinang
Pengerusi - Timbalan Ketua Menteri 1
Setiausaha - Pegawai Keselatan Negeri
Bendahari - Pegawai Kewangan Negeri

Jawatankuasa ini menimbang dan meluluskan bantuan bagi nilai yang melebihi RM1,000.00 dan tertakluk kepada had maksima RM5,000.00 (pada kadar 10%) daripada jumlah kerugian bagi kerosakan rumah dan 10% bagi kerosakan peralatan rumah dan kepada penyewa).

Had pembayaran kepada mangsa adalah seperti berikut:

i. Pegawai Daerah boleh menyalurkan bantuan serta merta kepada mangsa tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap keluarga;

ii. Kadar bantuan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kecil adalah ditetapkan pada kadar 10% daripada jumlah kerugian bagi kerosakan rumah dan 10% bagi kerosakan peralatan rumah kepada penyewa sekiranya rumah berkenaan disewakan tertakluk kepada had maksima RM5,000.00 dan kelulusan boleh dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tabung TYT Negeri Pulau Pinang;
iii. Bantuan boleh diberi dalam bentuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan iaitu mengikut kesesuaian atau keperluan mangsa yang terlibat; dan

iv. Bantuan tidak termasuk rumah yang diinsurankan / bangunan dan kenderaan.

Proses dan Kaedah pembayaran adalah seperti berikut:

i. Mangsa bencana perlu mengemukakan laporan polis mengenai bencana dan jumlah kerugian yang dialami dan dikemukakan kepada Penghulu kawasan untuk tujuan siasatan; dan

ii. Selepas siasatan, penghulu kawasan akan mengemukakan laporan kepada Urusetia di Unit Keselamatan, Pejabat Daerah untuk disemak dan diperakukan kepada Jawatankuasa Kecil Pengurusan Bantuan Bencana Daerah atau kepada Jawatankuasa Pengurusan Tabung TYT Negeri Pulau Pinang.

Y.B ADUN Sungai Acheh telah menyentuh mengenai pembinaan rumah Orang Tua yang telah dibuat pengambilan tanah di lot 1533 Mk 11, Seberang Perai Selatan dipercepatkan

Tanah lot 1533 MK.11 Seberang Perai Selatan telah diluluskan pengambilan tanah oleh Kerajaan Negeri pada 11 Disember 2002 dan pada 16 Januari 2008 telah diberi milik kepada Kerajaan Persekutuan. Memandangkan ini projek yang dirancang oleh pihak Kerajaan Persekutuan, maka kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan pembinaannya demi kesejahteraan warga emas. Tanah tersebut telah dipagar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pada masa ini tanah berkenaan tidak dipajak kepada sesiapa.

Y.B ADUN Pantai Jerejak pula menyentuh mengenai kawasan banjir dalam KADUN Pantai Jerejak dan langkah yang diambil untuk menangani masalah tersebut

Kawasan yang sering terlibat dengan banjir dalam KADUN Pantai Jerejak adalah di Bayan Baru dan Pantai Jerejak. Walau bagaimanapun, kejadian banjir yang sering berlaku adalah kejadian banjir kilat. Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam menghadapi kejadian banjir kilat ini. Antara langkah awal yang diambil ialah, pentadbiran ini telah diluluskan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Projek Infrastruktur Asas melalui Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan projek kerja menaik taraf, menyelenggara serta membina baru parit/longkang di dalam KADUN Pantai Jerejak. Bagi Tahun 2008, sebanyak 11 buah projek naik taraf, selenggara serta bina baru parit / longkang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya dengan kos RM470,000.00. Terdapat beberapa buah projek turut dilaksanakan oleh Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam usaha menangani masalah banjir kilat dalam KADUN ini.

Dalam rancangan jangka panjang, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur telah menyediakan kertas kerja untuk melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Bayan Baru/Batu Maung sebagai langkah kerjaan untuk mencegah masalah banjir dari terus berlaku.

Y.B. ADUN Paya Terubong membangkitkan isu penubuhan TASKA di tempat kerja untuk kebajikan kaum wanita. Ini perlu bagi membolehkan kaum wanita terus bekerja

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan penubuhan TASKA di tempat kerja oleh setiap agensi yang memerlukannya. Penubuhan TASKA di tempat kerja adalah merupakan kemudahan bagi ibu bapa yang bekerja di sesebuah agensi untuk menghantar anak-anak semasa mereka bekerja. Di samping anak dapat di asuh dengan lebih sempurna ibu bapa dapat melibat perkembangan anak-anak dengan lebih mudah semasa waktu rehat dan ketika diperlukan. Untuk makluman, penubuhan sesuatu TASKA mestilah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia sebelum ia boleh beroperasi.


* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP