http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
 

Ucapan Penggulungan (9) oleh Y.A.B. Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Penghapusan bayaran saman dan kompaun Pihak Berkuasa Tempatan

Keputusan Kerajaan Negeri untuk menghapuskan saman tidak seharusnya dipertikaikan oleh Barisan Pembangkang kerana ianya adalah hak Kerajaan Negeri. Ia bukan satu penyelewengan sebagaimana yang disebut oleh Y.B. Penaga bahawa Kerajaan Negeri telah menyeleweng wang rakyat berjumlah RM30 juta. Sebagai makluman Y.B. Penaga, berdasarkan Kamus Dewan, istilah menyelewengkan bermakna menggelapkan dan mencuri. Mana ada kerajaan negeri mencuri dan menggelapkan wang rakyat bila ia masih kekal dalam tangan rakyat. Saya ingin tegaskan bahawa, pemimpin Kerajaan Negeri tidak pernah menyeleweng, menggelapkan dan mencuri sesen pun wang rakyat. Saya ingin nasihatkan YB Ketua Pembangkang sekiranya ada bukti, buatlah laporan dan kami akan ambil tindakan tetapi janganlah memperdagangkan fitnah, tohmahan, penipuan dan pembohongan dalam Dewan yang mulia ini – ini dosa besar bagi beliau.

Sebaliknya penghapusan saman ini merupakan satu bentuk bayaran one-off sebagai menghargai sokongan rakyat di samping mengurangkan bebanan rakyat.

Bil. Bentuk Kesalahan Bil. Kes Amaun yang boleh dituntut (RM)
1.   Letak Kereta Bermeter 147,300 4,386,960.00
2.   Letak Kereta Bertiket 33,451 99,110.70
3.   Kompaun Bahagian Penguatkuasa   328,920 9,091,360.00
4.   Kompaun Bahagian Pelesenan 23,150 1,095,630.00
Jumlah 532,721 14,673,068.70

 

 

 

 

 

 

 

Sementara bagi MPSP pula adalah seperti berikut :

Bil. Kompaun Bil Kes. Amaun yang boleh dituntut (RM)
1. Kompaun letak  kereta                581,670 14,541,750.00
2. Kompaun Penjaja                           2,364 591,000.00
Jumlah 584,034 15,132,750.00

Jumlah keseluruhan yang dikecualikan kutipan oleh Kerajaan Negeri ialah RM29,805,818.70.

Walaupun penghapusan telah diberi, namun Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan akan tetap melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan seperti biasa dan berusaha supaya kutipan hasil penguatkuasaan akan ditingkatkan.

Urus Tadbir Yang Baik

Y.B. ADUN Seberang Jaya telah memberikan beberapa cadangan untuk mempertingkatkan lagi urus tadbir yang baik dalam bidang pentadbiran tanah. Saya mengucapkan terima kasih di atas cadangan yang diberikan, dan cadangan tersebut akan dikaji mengikut kesesuaian. Ingin saya tegaskan di sini bahawa kerajaan baru akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran tanah dan mengelak sebarang bentuk penyelewengan. Memang benar Kerajaan Negeri yang baru telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kes penyelewengan. Walau bagaimanapun, memandangkan siasatan belum lagi selesai, maka hasil penemuan siasatan belum lagi dapat diumumkan.

Y.B. berkenaan juga telah mencadangkan supaya disediakan sebidang tanah untuk digunakan sebagai tempat pembakaran dan penyimpanan mayat orang bukan Islam. Saya berpendapat ini satu cadangan yang baik, walau bagaimanapun saya perlu melihat semula pelan pembangunan keseluruhan Bandar Seberang Jaya yang disediakan oleh PDC, samada masih terdapat tanah yang belum dimajukan di kawasan tersebut, dan sesuai untuk maksud berkenaan. Setahu saya, PDC telah menyediakan beberapa tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di kawasan yang berhampiran dengan Taman Burung Seberang Jaya iaitu rumah ibadat untuk kaum Cina, Hindu dan Sikh. Lembaga PDC dalam mesyuaratnya pada 24 Mei 1993 telah meluluskan penjualan sebidang tanah seluas satu ekar di kawasan RIBI Seberang Jaya kepada Gurdwara Sahib Butterworth (GSB) dengan kadar RM5.60 / kaki persegi. Surat perjanjian jual beli telah ditandatangani pada 29 September 1993. Antara syarat yang terkandung dalam S&P adalah bahawa pihak GSB perlu memulakan kerja pembinaan dalam tempoh dua tahun dari tarikh permohonan pemberian milik tanah diluluskan oleh pihak Berkuasa Negeri. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak GSB masih belum memulakan kerja pembinaan Gurdwara berkenaan. Dalam perkara ini PDC tidak bertanggungjawab / terlibat dalam pembinaannya.

Y.B. ADUN Seberang Jaya melalui surat bertarikh 6 Mei 2004 telah menyokong permohonan Pertubuhan Perayaan Yee Lan kepada Y.A.B. Tan Sri Ketua Menteri Pulau Pinang supaya plot 11 di kawasan RIBI Seberang Jaya dijadikan sebagai tapak dewan menyimpan mayat (funeral parlour). PDC melalui memo kepada YAB Pengerusi Perbadanan telah memaklum balas seperti berikut:

i. Pertubuhan Perayaan Yee Lan adalah merupakan satu bertubuhan keagamaan cina yang menyelaras upacara keagamaan ’penyembahan hantu’ di kawasan perumahan dan kebanyakan pertubuhan sebegini tidak berdaftar dengan pendaftar Pertubuhan.

ii. Berdasarkan kepada ini, kesahihannya di dalam mewakili penduduk Cina di kawasan Seberang Jaya diragui dan perlu diteliti.

iii. PDC pernah merancang dewan menyimpan mayat di kawasan RIBI Seberang Jaya sebelum ini dan cadangan berkenaan tidak diterima dengan alasan ia jauh dari kawasan perumahan serta letak bersebelahan dengan tapak rumah ibadat yang lain.

iv. Tapak yang dipohon adalah merupakan tapak yang digunakan sebagai tempat letak kereta untuk kegunaan pengunjung keagamaan rumah ibadat bukan Islam.

Pertubuhan Perayaan Yee Lan baru-baru ini pada 21 April 2008 telah meminta status permohonan yang dikemukakan sebelum ini melalui Y.B. ADUN Seberang Jaya. Kerajaan Negeri melalui PDC telah memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa plot tersebut telah dikenal pasti sebagai tempat letak kenderaan untuk diguna bersama oleh seluruh RIBI di kawasan tersebut. Oleh yang demikian pihak pemohon dinasihatkan untuk berbincang bersama bagi mendapatkan persetujuan semua RIBI di kawasan tersebut terlebih dahulu. Sebarang persetujuan bertulis yang diperolehi hendaklah dikemukakan kepada PDC.

Isu mengenai bilangan mesyuarat Lembaga PDC yang telah diadakan dan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat

Mesyuarat Lembaga PDC telah diadakan sekali pada tahun ini iaitu pada 17 Julai 2008 baru-baru ini. Antara perkara yang dibincangkan ialah yang berkaitan aktiviti utama PDC iaitu pembangunan tanah dan pelaburan serta cara untuk membantu menarik pelabur serta untuk membangunkan ekonomi Negeri secara amnya dari aspek PDC.

Y.B. ADUN Seberang Jaya juga telah mencadangkan supaya kawasan yang diduduki oleh penduduk di kawasan perkampungan di Tanjung Tokong diambil alih untuk dibuat penyusunan semula yang lebih teratur. Perkara ini memang telah lama dirancang oleh UDA kerana tanah yang berkenaan adalah tanah milik UDA. Walaupun pelan perancangan telah disedikan oleh UDA tetapi pelaksanaanya tidak mudah kerana ia melibatkan bilangan rumah yang banyak, serta timbul pelbagai bantahan dan tuntutan oleh penduduk sendiri. Walau bagaimanapun, projek tersebut akan diteruskan dan proses perundingan sedang dijalankan antara UDA dengan penduduk Tanjong To’kong.


* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP