http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Isnin, 3 November 2008:

Kesal dengan tindakan piket kakitangan PKNS

Saya merakamkan perasaan kesal dengan tindakan kira-kira 200 orang kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berpiket di pintu keluar masuk PKNS pada hari Jumaat yang lepas.

Piket yang diadakan oleh Persatuan Pekerja-pekerja PKNS itu adalah untuk membantah perlantikan Low Siew Moi untuk menyandang jawatan Pengurus Besar PKNS secara sementara.

Bukan sahaja mereka membantah perlantikan itu, malahan mereka juga ingin mendesak Low Siew Moi untuk menolak tawaran perlantikan itu.

Kakitangan PKNS harus mengetahui bahawa keputusan muktamad adalah berada dalam tangan Menteri Besar Selangor.

Apa yang lebih mengecewakan lagi, persatuan berkenaan sekali lagi menggunakan kaum sebagai alasan di mana Presidennya Abdul Abdan berkata bahawa PKNS wajar diterajui oleh seorang Melayu.

Beliau turut mengatakan bahawa tujuan penubuhan PKNS adalah untuk meningkatkan taraf sosioekonomi orang Melayu di Selangor.

Saya berasa terpanggil untuk mengingatkan semua bahawa tidak pernah tertulis dalam mana-mana objektif, misi dan visi PKNS bahawa penubuhannya adalah untuk meningkatkan prestasi sosioekonomi orang Melayu semata-mata, tetapi ianya ditubuhkan untuk berbuat demikian untuk semua rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Harus juga diingatkan bahawa hampir separuh daripada penduduk di Selangor ialah penduduk bukan Melayu. Dengan itu, adalah amat tidak munasabah untuk sebuah syarikat milik kerajaan Selangor seperti PKNS menjaga kebajikan orang Melayu semata-mata, kerana orang bukan Melayu yang miskin dan papa kedana juga perlu dibela oleh kerajaan negeri dan PKNS.

Walaupun saya menghormati hak setiap insan untuk bebas bersuara dan berkumpul, tetapi saya amat kecewa dengan sikap dan tindakan mereka yang tidak dapat menganjakkan paradigmanya daripada takuk pemikiran lama.

Bagi kakitangan PKNS yang tidak puas hati, mereka harus ingat bahawa perlantikan pengurus besar ini merupakan hak muktamad Menteri Besar, jikalau mereka tidak berpuas hati, mereka boleh meletakkan jawatan mereka dan meninggalkan PKNS.

DAP akan memastikan supaya PKNS terus diketuai oleh mereka yang kompetens dan berkaliber, termasuk warga korporat Bumiputera yang berkemampuan. Apa yang penting ialah PKNS dapat membela hak seluruh rakyat Selangor.

Satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Pejabat Menteri Besar untuk menguruskan pemilihan pengurus besar yang baru bagi PKNS, DAP akan menulis kepada Pejabat Menteri Besar untuk meminta supaya proses pemilihan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama.


* Charles Santiago, MP for Klang