Teks Ucapan Lim Guan Eng mengenai Enakmen
Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan)
2008 di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Khamis, 13 November 2008:
Masyarakat madani memerlukan sistem demokrasi yang sihat dengan peranan
Ketua Pembangkang yang diperakui
Saya memohon mencadangkan supaya Dewan ini
meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan)
(Pindaan) 2008 dengan memasukkan perkataan ‘Elaun Ketua Pembangkang’
yang telah dibaca pada kali yang kedua.
YB. Tuan Speaker,
Seperti mana yang kita sedia maklum, negara kita Malaysia dan Negeri
Pulau Pinang telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen semenjak
pilihan raya yang pertama pada tahun 1959. Melalui proses pilihan raya,
rakyat berhak memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Rakyat (Parlimen) di
peringkat Persekutuan dan di Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.
Parti atau gabungan parti-parti yang memperolehi majoriti diberi mandat
untuk membentuk dan menerajui kerajaan yang merupakan cabang eksekutif
bagi negara atau negeri masing-masing. Manakala Dewan Rakyat atau Dewan
Undangan Negeri berfungsi sebagai Penggubal Undang-Undang di peringkat
persekutuan atau di peringkat negeri.
Selain daripada itu, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri merupakan
suatu arena di mana wakil-wakil rakyat yang dipilih mengambil bahagian
dalam sesi perbahasan dan sesi soal jawab dengan tujuan untuk
menyampaikan hasrat dan masalah rakyat. Ia juga merupakan platform untuk
mengemukakan pandangan, cadangan dan maklumbalas bagi menarik perhatian
kerajaan atau isu-isu yang timbul serta pelaksanaan projek-projek
pembangunan demi untuk mempertingkatkan mutu hidup rakyat.
YB. Tuan Speaker,
Sebagai renungan, kedudukan Ketua Pembangkang adalah institusi yang
penting di dalam sistem berparlimen Westminster yang dipinjam dari
United Kingdom dan digunapakai oleh negara Malaysia. Di Britain, Ketua
Pembangkang diberikan penghormatan yang sewajarnya dan dilihat sebagai
Perdana Menteri alternatif yang memberikan “checks and balances”,
kritikan membina dan presripsi polisi alternatif. Di Westminster, saraan
tetap mula diberikan kepada Ketua Pembangkang melalui Ministers of the
Crown Act pada tahun 1937.
Di Malaysia, kedudukan ini diperakui oleh undang-undang, yang memberikan
imbuhan elaun kewangan bagi pemegang jawatan tersebut, sejak tahun 1971.
Sekarang ianya termaktub di dalam Akta Ahli-Ahli Parlimen (Saraan) 1980
(No. 237).
Peruntukan terhadap kedudukan Ketua Pembangkang oleh Kerajaan
Persekutuan ini adalah antara warisan terakhir yang ditinggalkan oleh
Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang
pertama. Ia dibentangkan di Parlimen sebelum pilihanraya umum pada tahun
1969.
YB. Tuan Speaker,
Seperti mana yang diketahui umum, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
adalah dewan yang paling aktif berbanding dengan dewan-dewan undangan
negeri di seluruh negara. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memberikan
ruang dan masa mencukupi untuk perbahasan daripada pihak pembangkang,
bukan seperti kerajaan Barisan Nasional yang memberikan masa dua hari
sahaja untuk perbahasan Belanjawan dan itu pun pada hari yang sama
Belanjawan dibentangkan. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat
amat menghormati prinsip demokrasi dan mengiktiraf kedudukan semua
ahli-ahli Yang Berhormat, termasuk peranan parti pembangkang yang boleh
memainkan peranan ‘checks and balance’ dalam pembangunan negeri.
Saya tahu bahawa keikhlasan pihak kerajaan tidak akan dibalas oleh
Barisan Nasional. Sungguhpun Pakatan Rakyat bertindak adil, kerajaan
Barisan Nasional yang memerintah di negeri lain tetap bersikap rakus
dengan menafikan hak demokrasi dan peluang berucap wakil rakyat
pembangkang. Akan tetapi, kerajaan Pakatan Rakyat percaya kita tidak
harus membalas dendam dengan membenci dan berniat jahat dengan mungkar
tetapi bersikap baik, mulia dan suci. Itulah sebabnya sungguhpun kita
tahu bahawa Barisan Nasional Pulau Pinang akan bersikap rakus dan kuku
besi sekiranya memerintah kembali, kerajaan Pakatan Rakyat masih
memegang kuat pada prinsip demokrasi dan ‘fairplay’. Oleh itu, rakyat
Pulau Pinang tidak boleh membenarkan Barisan Nasional berkuasa kembali.
YB. Tuan Speaker,
Kami di dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat yang baru
berikrar untuk menghapuskan trend autoritarian atau kuku besi yang
diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini dan mengembalikan
demokrasi di Malaysia, agar sebuah kerajaan yang diterajui oleh rakyat,
dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat (a governmment of the people, by
the people, for the people) yang mengamalkan prinsip CAT (Cekap,
Akauntabiliti dan Telus) dapat diinstitusikan di Malaysia, dengan Negeri
Pulau Pinang sebagai penerajunya.
Sudah tiba masanya kedudukan Ketua Pembangkang diberikan penghormatan
yang sewajarnya di Negeri Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di
Malaysia. Kita berharap Ketua Pembangkang boleh menyokong dan menerima
pakai sistem CAT ataupun yang kadangkala dianggap sebagai “kucing”
sepertimana kata pemimpin Republik Rakyat Cina, Deng Xiao Peng, “Tidak
kira kucing itu putih atau hitam, asalkan ia tangkap tikus, ia adalah
kucing yang baik.” Jadilah “kucing” yang baik, amanah dan bersifat
rasional untuk semua kaum.
Sekali lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat menerajui
negara kita di dalam memartabatkan demokrasi dengan mencadangkan Usul
untuk menginstitusikan kedudukan Ketua Pembangkang.
Dengan termaktubnya penghormatan kepada Ketua Pembangkang ini, saya
ingin menyeru pihak pembangkang di Negeri Pulau Pinang agar belajar
untuk menjadi “pembangkang yang setia” yang berikrar untuk taat setia
kepada rakyat, mendengar kehendak mereka, dan mewakili mereka dengan
bersungguh-sungguh.
Terdapat beberapa insiden di mana pihak pembangkang bekerja bertentangan
dengan kepentingan rakyat Pulau Pinang. Dosa dan kesalahan besar yang
saya maksudkan adalah saranan Ketua Pembangkang kepada Kerajaan
Persekutuan agar menangguh semua projek utama, termasuk Monorel,
Jambatan Kedua Pulau Pinang, dan PORR. Saranan pihak pembangkang agar
Jambatan Kedua Pulau Pinang dibatalkan telah menjejaskan pelaburan dan
ini adalah sikap yang sungguh tidak bertanggungjawab. Kita bersyukur
akhirnya kerana pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang akan
direalisasikan sungguhpun ada usaha oleh pihak pembangkang untuk
mensabotajnya.
Saya meminta pihak pembangkang untuk berubah sikap mereka dan menyokong
projek-projek kerajaan persekutuan yang dijanjikan ini, iaitu berjumlah
RM4.7 bilion yang dipulihkan semula kepada rakyat Pulau Pinang. Pihak
pembangkang juga tidak mahu menyokong Usul yang dicadangkan pada
Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang lepas untuk memulihkan semula
projek-projek tersebut. Ini merupakan contoh sikap dan tindakan pihak
pembangkang yang tidak konstruktif dan gagal mendengar kehendak rakyat.
YB. Tuan Speaker,
Dewan ini pada tahun 2005 telah meluluskan peraturan baru iaitu
Peraturan 4A yang berbunyi seperti berikut:
(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Dewan dan sekurang-kurangnya
seorang Timbalan Ketua Dewan, dan seorang Ketua Pembangkang.
(2) Ketua Dewan atau Timbalan Ketua Dewan ertinya, berhubungan dengan
Dewan, Ahli Dewan yang sedang menjadi Ketua atau Timbalan Ketua Kerajaan,
mengikut mana-mana yang berkenaan.
(3) Ketua Pembangkang ertinya, berhubungan dengan Dewan, Ahli Dewan yang
sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang.
(4) Jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian tentang siapakah
yang sedang atau telah menjadi Ketua Pembangkang pada bila-bila masa
yang matan, masalah itu hendaklah diputuskan oleh Speaker dan
keputusannya yang diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya
adalah muktamad dan konklusif.
Dengan wujudnya Peraturan tersebut, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Pakatan Rakyat mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang yang semakin
mencabar serta mendapat perhatian daripada rakyat. Oleh itu, wajarlah
Ketua Pembangkang diberi elaun bulanan sebagai pengiktirafan terhadap
peranan yang dimainkan oleh beliau.
Pembayaran elaun untuk Ketua Pembangkang adalah bertujuan untuk
menyelaraskannya dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237)
yang diguna pakai di Parlimen. Berdasarkan, Akta Ahli Parlimen (Saraan)
1980, ia menyatakan jika seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Ketua
Pembangkang adalah berhak mendapat elaun bulanan di samping lain-lain
elaun.
YB. Tuan Speaker,
Peruntukan mengenai elaun-elaun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau
Pinang adalah dinyatakan di dalam Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Saraan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan), 1980. Walau bagaimanapun, elaun
Ketua Pembangkang tidak diperuntukkan dalam enakmen tersebut. Bagi
mewujudkan elaun Ketua Pembangkang, dicadangkan Enakmen Anggota
Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan), 1980 dipinda dengan
memasukkan seksyen baru yang berbunyi seperti berikut:
“3A “Jika seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik sebagai Ketua
Pembangkang, dia adalah berhak, selain daripada saraan bulanan yang
dinyatakan dalam Seksyen 3, mendapat elaun bulanan sebanyak seribu
ringgit.”
Bayaran elaun kepada Ketua Pembangkang, dicadangkan berkuat kuasa mulai
tarikh kuat kuasa Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (Saraan) (Pindaan) 2008.
Akhirnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menuju ke arah masyarakat
madani dan bersedia mendengar nada-nada suara yang berbeza. Itulah
sebabnya kerajaan Pakatan Rakyat bersikap berani dan ikhlas menjemput
ahli-ahli pembangkang untuk menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Malangnya, “olive-branch” atau salam perdamaian dan persahabatan ini
telah ditolak oleh pihak pembangkang.
Marilah kita bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan bukanlah mengikut
kepentingan politik berpuak atau “sectarian politics”. Pindaan hari ini
menunjukkan komitmen kerajaan negeri ke arah masyarakat madani yang
memerlukan sistem demokrasi yang sihat dengan memperakui peranan parti
pembangkang.
YB. Tuan Speaker, saya mohon mencadang.
*
Lim Guan Eng, Setiausaha
Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang