Kenyataan Akhbar oleh Lim Guan Eng di Georgetown, Penang
pada hari Ahad, 30 November 2008:
Datuk Dr Teng Hock Nan mesti jelaskan mengapa projek RM 84.3 juta
ibupejabat MPSP dibuat tanpa tender terbuka kepada syarikat Aseania
Development Sdn. Bhd(ADSB) dan sistem penghawa dingin diberikan kepada
Aseania Linear District Cooling System Sdn. Bhd dengan kos
penyelenggaraan tinggi
Dalam skendal kehilangan rizab MPSP sebanyak
RM 223.7 juta dalam tempoh masa 9 tahun, bekas ahli EXCO Kerajaan
Tempatan Datuk Dr Teng Hock Nan mesti jelaskan mengapa projek pembinaan
ibupejabat MPSP sebanyak RM 84.3 juta dibuat tanpa tender terbuka dan
satu sistem penghawa dingin diberikan kepada Aseania Linear District
Cooling System Sdn. Bhd dengan kos yang begitu tinggi dipakai.
Daripada lebihan Kumpulan Wang Baki sebanyak RM 230.1 juta pada 1.1.2000
dan tinggal hanya RM 6.4 juta pada 31.12.2008, di antara faktor utama
kehilangan RM 223.7 juta dalam tempoh masa 9 tahun adalah seperti
berikut:-
• Peruntukan kawasan sebanyak RM 50.3
juta kepada ADUN BN di Seberang Perai dan RM 8.6 juta kepada
ahli-ahli MPSP menjadi keseluruhannya RM 59 juta wang MPSP digunakan
sebagai politik wang;
• Terus membina
Ibupejabat MPSP sebanyak RM 84.3 juta di Bandar Perda sungguhpun
pilihan lebih murah wujud bila kerajaan negeri memperuntukkan
sebidang tanah seluas 30 ekar di Ampang Jajar.
• Penyelenggaraan sistem hawa dingin
dengan kos mahal.
Kerajaan baru tidak mengikuti amalan BN
menggunakan wang MPSP sebagai wang politik kepada ADUN dan ahli MPSP.
Mengikut laporan MPSP, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
yang bermesyuarat pada 28 Februari 2001 dan disahkan pada 7 Mac 2001
telah meluluskan pembinaan Ibu Pejabat Baru, MPSP di Bandar Perda,
Permatang Rotan secara rundingan terus “Design and Build” dengan Aseania
Development Sdn. Bhd. (ADSB) iaitu pemaju Bandar Perda. Adakah Datuk Dr
Teng telah cuba menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi mengelakkan
daripada jawab soalan mengapakan kontrak pembinaan diberikan kepada ADSB
tanpa tender terbuka? Bukti bahawa Datuk Seri Anwar yang mengarahkan
ibupejabat dibina di Bandar Perda dan bukannya Ampang Jajar masih
dinantikan.
Dalam penyiapan pembinaan bangunan, kemudahan hawa dingin adalah
disambung kepada “district cooling system” seperti terdapat di dalam
perjanjian bertarikh 1 November 2002. Tidak ada penghawa dingin dipasang
dengan sendirinya oleh MPSP. Sistem penghawa dingin direkabentuk secara
sambungan kepada “district cooling system” seperti mana kemudahan yang
ada di pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya.
Perjanjian “Chilled Water Supply Agreement” dengan pembekal iaitu
Aseania Linear District Cooling System Sdn. Bhd. telah ditandatangani
pada 15 Disember 2005. Diantara syarat-syarat perjanjian tersebut ialah
i. Bekalan semasa ialah untuk tempoh 10
tahun iaitu sehingga tahun 2015
ii. Lanjutan adalah bagi tempoh 5 tahun
iii. Kadar semasa bayaran adalah 0.548 sen per ton hour
iv. Kadar bayaran adalah tertakluk kepada kenaikan tarif letrik dan
air dan sebarang kenaikan tarif ini akan mengubah kadar bayaran
semasa.
Syarat-syarat begitu menfaatkan syarikat
diberikan selama 10 tahun sehingga 2015 dengan lanjutan lagi 5 tahun
susah diterima oleh rakyat. Sehingga kini bayaran bulanan untuk
perkhidmatan hawa dingin bagi Ibu Pejabat Baru, MPSP di Bandar Perda
bagi tahun 2008 adalah seperti beikut:-
Bil. |
Bulan |
Unit Digunakan |
Bayaran |
1. |
Januari |
124920 |
68,456.16 |
2. |
Februari |
104641 |
57,343.27 |
3. |
Mac |
107205 |
58,748.34 |
4. |
April |
118604 |
64,994.99 |
5. |
Mei |
125149 |
68,581.66 |
Adalah diharapkan skendal kehilangan wang
rizab MPSP sebanyak RM 223.7 juta dilihat dengan serius supaya
kelemahan-kelemahan boleh diatasi dan sekiranya ada penyalahgunaan kuasa
dan penyelewengan maka tindakan sewajarnya diambil. Oleh itu, kerajaan
negeri mahukan fakta bukannya fitnah, rasional keputusan dibuat bukannya
emosi dan prinsip yang ditegakkan bukannya prejudis sesuatu pihak. Datuk
Dr Teng harus jawab mengapa kontrak pembinaan diberikan tanpa tender
terbuka dan kontrak penyelenggaraan penghawa dingin dengan kos tinggi.
Beliau harus jawab berdasarkan fakta, rasional dan prinsip beliau
meluluskannya dan adakah ia berkepentingan awam?
*
Lim Guan Eng, DAP
Secretary-General & Penang Chief Minister