Kenyataan Sidang Media (2) oleh Lau Weng San di Petaling
Jaya pada hari Rabu, 15 Oktober 2008:
Cerpen “Politik Baru YB J”
mendedahkan lebaran hitam kewartawanan dan kesasteraan tanahair
Saya bukan seorang karyawan. Saya
bukan seorang wartawan. Tetapi apabila sesebuah karya atau laporan
berita itu penuh dengan serangan peribadi dan cerita-cerita rekaan,
hanya untuk menghangatkan sentiment perkauman dan keagamaan, ataupun
semata-mata untuk melariskan jualan akhbar, maka ianya sesuatu yang
tidak wajar. Apatah lagi jikalau tulisan itu membawa-bawa unsur
keganasan atau terrorisme.
Inilah tulisan yang dihasilkan oleh Datuk Chamil Wariya yang bertajuk
“Politik baru YB J” yang diterbitkan dalam akhbar harian aliran utama
berbahasa Malaysia semasa akhbar tersebut dikritik hebat kerana cuba
mengapi-apikan sentimen perkauman sebelum dan selepas penahanan YB
Teresa Kok.
Ramai yang terkejut bukan kerana Utusan Malaysia menyiarkan cerpen
tersebut tetapi cerpen tersebut ditulis oleh Datuk Chamil Wariya, CEO
Institut Akhbar Malaysia atau Malaysia Press Institute (MPI). Saya
sendiri tidak hairan kerana memang Chamil Wariya seorang sasterawan yang
melaksanakan agenda perkauman UMNO dengan bertopengkan sastera.
Di sini saya ingin membawa sebuah buku berjudul “Dari Sungai Burung Ke
Bukit Megawati” yang juga itulis oleh Chamil Wariya yang mengisahkan
perjalanan politik Dr. Mohamad Khir Toyo, ADUN Sungai Panjang yang juga
merupakan bekas Menteri Besar Selangor.
Apa yang menarik ialah kenyataan-kenyataan palsu dan fitnah Dr. Mohamad
Khir Toyo adalah antara sebab utama YB Teresa Kok ditahan di bawah ISA
selama tujuh hari. Isu-isu seperti azan ialah apa yang dibangkitkan oleh
Dr. Mohamad Khir Toyo dalam laman blognya. Kebetulannya, penulis yang
mengagung-agungkan Dr. Mohamad Khir Toyo ini juga merupakan penulis
kepada cerpen “Politik baru YB J”. Apakah agenda tersembunyi Chamil
Wariya dan Utusan Malaysia? Adakah kesemua ini juga berkaitan dengan Dr.
Mohamad Khir Toyo?
Seimbas lalu mengenai biodata Datuk Chamil Wariya daripada laman webnya
http://chamilwariya.com/ dan
bukunya ini yang banyak mengisahkan penglibatannya dalam media aliran
utama seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan banyak lagi, maka tidak
sukar untuk kita mengetahui latar belakang beliau yang banyak menulis
tentang pemimpim-pemimpim UMNO. Malahan biodata beliau dalam buku “Dari
Sungai Burung Ke Bukit Megawati” turut mengatakan bahawa beliau pernah
menjadi Ahli Jawatankuasa Strategik Penerangan UMNO.
Saya tidak menghalang mana-mana sasterawan, wartawan atau karyawan
mengambil pendirian yang memihak mana-mana parti politik tetapi rakyat
Malaysia tidak boleh mendiamkan diri dengan corak penulisan yang
berunsurkan keganasan.
Rakyat Malaysia harus bersatu-padu menolak agenda perkauman UMNO yang
dibawa-bawa oleh Utusan Malaysia. Kempen boikot Utusan Malaysia akan
dilancarkan di DUN Kampung Tunku di mana kami meminta rakyat untuk tidak
membaca dan tidak membeli suratkhabar ini. Kami juga menyeru
penjual-penjual dan pengedar-pengedar suratkhabar turut bersama
menyertai kempen kami untuk tidak menjual dan mengedar Utusan Malaysia.
Kempen ini akan berterusan sehingga Utusan Malaysia memberi laporan yang
seimbang dan adil terhadap Pakatan Rakyat.
* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung
Tunku