http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan Blog oleh Teresa Kok di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 11 September 2008: 

Saya akan ambil tindakan terhadap Utusan Malaysia & Zaini Hassan 

Hari ini saya rasa terkejut apabiila membaca artikel yang amat merosakkan namabaik saya dalam Utusan Malaysia (10 September 2008). Kandungan dalam artikel yang ditulis oleh Zaini Hassan ini penuh dengan pembohongan. Beliau memetik kata-kata pembohongan Khir Toyo dan mendakwa saya membawa penduduk di Puchong membantah azan masjid.

Dalam artikel Zaini ini, beliau menulis saya pernah pergi masjid berkenaan sebelum subuh dan menasihatkan pengurusan surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.

Oh my God, bila saya pergi ke surau Puchong pada awal pagi? Saya biasanya bangun selepas pukul 7 pagi, buat apa saya pergi ke surau Puchong pada awal pagi? Sebenarnya, sampai sekarang, saya pun tidak tahu di mana letaknya surau tersebut.

Dalam mesyuarat exco Kerajaan Selangor pada pagi ini, kami telah membincangkan isu ini. Kami berpendapat kami mesti menghendaki pihak Utusan Malaysia, Zaini dan pihak-pihak berkenaan yang telah menyebarkan berita palsu dan pembohongan tersebut untuk menarik balik kenyataan pembohongan mereka dan meminta maaf, kalau tidak, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Kami berpendapat tibalah masanya bagi kami untuk tegas terhadap pihak yang membuat pembohongan.

Saya diberitahu kemudian bahawa terdapat beberapa ahli UMNO yang memegang sepanduk untuk menyokong Ahmad Ismail di luar Ibu Pejabat UMNO hari ini juga mengangkat sepanduk yang memaki saya.

Tiba-tiba saya dijadikan mangsa dalam pertempuran dalaman UMNO. Golongan UMNO Selangor yang tidak bertanggungjawab ini ingin mengalihkan perhatian orang Melayu daripada kes Ahmad Ismail kepada wakil rakyat DAP di Selangor, dan mereka memilih saya sebagai mangsa dalam kes ini. Dengan itu, mereka buat cerita yang bukan-bukan untuk mencapai tujuan mereka ini. Selain itu, mereka ingin menggunakan isu ini sebagai modal politik dalam pertandingan sengit mereka di dalam UMNO.

Kesalnya, Khir Toyo, Satim, Utusan Malaysia dan Zaini masih gagal insaf sehingga hari ini. Mereka malah sanggup membuat cerita yang bukan-bukan untuk mencaci imej saya dalam bulan Ramadhan. Bagi saya, saya percaya Tuhan yang Maha Kuasa melihat kesemua yang berlaku ini, dan saya percaya balasan tentunya akan dijatuhkan pada para pembohong ini.

Cuit

Azan, jawi, JAIS, Uitm dan ba-alif-ba-ya…
Oleh Zaini Hassan
email: [email protected]

Janganlah anggap apa yang saya tulis ini sebagai rasis atau berunsur perkauman. Dalam suasana negara yang dipenuhi dengan isu sensitif perkauman sekarang, tulisan ini hanyalah sebagai satu ingatan kepada kita semua, terutamanya umat Islam.

Saya amat tertarik untuk merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo yang membangkitkan mengenai “ada usaha oleh pihak tertentu (di Selangor) yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan”.

Bagi saya petikan itu pelik bunyinya. Bagi saya ia juga amat serius. Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun merdeka, rakyat Malaysia sedang menghadapi situasi seperti itu. Selama ini kita-Melayu, Cina, India, Sikh dan lain lain bangsa dan agama tidak pernah bercakap mengenai perkara itu. Kita hormat antara satu sama lain. Soal agama Islam terpelihara secara suci di dalam Perlembagaan negara. Justeru, petikan semacam itu tidak pernah terlintas langsung atau termimpi akan diucapkan.

Kini, ia berlaku. Ya benar, Dr. Khir bukan buat cerita mengarut. Ia benar-benar berlaku di Selangor. Orang Pas, yang kini mula menguasai jawatankuasa masjid dan surau di situ pun tercengang. Orang UMNO yang masih lagi menganggotai jawatankuasa surau dan masjid pun terkejut.

“Sampai macam itu sekali tindakan mereka,” kata seorang AJK sebuah surau di Shah Alam kepada saya Jumaat lalu. Beliau ialah sahabat lama saya, yang kami bertemu selepas solat Jumaat, lalu mengajak saya bersembang.

Sembang punya sembang, tiba-tiba beliau menyentuh mengenai soal suraunya. Katanya, kira-kira tiga bulan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor, seorang Exco kerajaan negeri itu, yang juga seorang Ahli Parlimen dari parti DAP membuat kunjungan ke suraunya. Yang peliknya, YB wanita itu datang pada waktu sebelum subuh.

Tanpa rasa malu-malu atau rasa bersalah, dia menasihatkan pengurusan surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar suara, terutama pada waktu subuh. Katanya, “hasil tinjauannya” pada waktu subuh itu, cuma ada imam, bilal dan dua tiga orang sahaja makmum.

“Kalau ada macam itu jangan kasi bangun oranglah (dengan azan)…” katanya kepada imam yang ada di situ.

Semua yang ada terus “terkedu”. Mereka berpandangan antara satu sama lain. YB yang baru tiga bulan menjadi Yang Berhormat itu tahukah apa yang dia cakap. Tidak sensitif langsungkah? Tidak sedarkah dia, kira-kira 90% penduduk di kawasan itu ialah orang Melayu beragama Islam.

Jika diambil pendekatan isu yang berlaku sekarang, saya ingin bertanya, siapakah yang rasis? Siapakah yang perkauman? Dr. Khirkah, sayakah yang menulis Cuit ini? Atau, YB wanita berkaca mata itukah?

Sambil menulis kolum ini, saya menelefon seorang rakan saya, yang juga seorang YB dalam Pakatan Rakyat. Dia mengakui memang berlaku. Hasil perbualan saya, beliau berkata: “…bukan teruk lagi, dah jadi kurang ajar”.

Persoalan saya lagi, mengapa situasi seperti ini sudah mulai berlaku. Saya tidak mahu mengulas lanjut, biarlah pembaca budiman membuat analisis dan pernilaian sendiri.

Nak dijadikan cerita, tindakan YB wanita itu tidak habis di situ saja. Dia juga, dikatakan sedang ‘memaksa’ Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala Lumpur.

Sekali lagi ini cerita benar. Ia disahkan sendiri oleh rakan saya, YB dari Pakatan Rakyat itu. Sebagai ganti untuk menurunkan tulisan jawi itu, dia menuntut dinaikkan tulisan Cina dan Tamil bersama-sama tulisan rumi.

“Yang ekstremnya, YB wanita itu siap bawa ’sample’ berserta spesifikasi papan tanda jalan tulisan Cina dan Tamil itu untuk ditunjukan kepada pegawai DBKL,” kata rakan saya itu lagi.

Seperti yang saya tanya di atas tadi, tidak sensitifkah YB wanita itu? Jawapan saya ialah, dia memang sengaja tidak mahu sensitif. Melihatkan kepada senario ini, barulah kita tahu, siapa sebenarnya yang ‘menyuapkan’ ke mulut Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengenai cadangan supaya diambil 30% peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk digunakan bagi kegunaan agama-agama lain. Sekarang kita juga tahu siapa yang ‘memegang tali’ untuk menyuruh Khalid membuat kenyataan supaya pintu UiTM dibuka kepada 10% penuntut bukan Melayu.

Yang jelas kita semua tahu, siapakah orang itu yang ‘berkobar-kobar’ membangkitkan isu babi Sepang, sebaik saja dia melangkah kaki menduduki bangunan SUK Selangor, tempoh hari.

Dan, sekarang baru kita juga tahu, suasana bercelaru yang sedang berlaku - yang terbaru mengenai isu perkauman atau rasis itu memang dirancang - secara sengaja, oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat suasana negara dan rakyat Malaysia tidak tenteram.

Akhir kalam, semoga Allah menyelamatkan kita semua. Amin.


* Teresa Kok Suh Sim, Exco Senior Kerajaan Selangor, Ahli Parlimen Seputeh & ADUN Kinrara