http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Seremban pada hari Sabtu, 13 September 2008: 

DAP Negeri Sembilan mengutuk dengan sekeras-kerasnya penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri ke atas blogger Raja Petra Kamaruddin, wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Sdri Teresa Kok  

DAP Negeri Sembilan dengan sekeras-kerasnya mengutuk dan mengecam tindakan rejim Barisan Nasional yang sekali lagi menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas tiga individu semalam iaitu blogger Raja Petra Kamaruddin, wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Sdri Teresa Kok yang juga merupakan EXCO Kanan Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh.

Tindakan rejim Barisan Nasional menggunakan ISA menunjukkan mereka semakin terdesak dengan tuntutan perubahan oleh rakyat dan pergolakan yang semakin meruncing dalam krisis kepimpinan UMNO. Penangkapan ISA ini merupakan satu langkah untuk mengaburi mata rakyat dan memesongkan penumpuan rakyat daripada masalah peralihan kuasa dalam UMNO kepada isu yang lain.

Apakah yang telah dilakukan oleh ketiga-tiga tahanan tersebut yang dikatakan mengancam keselamatan dan kestabilan Negara? Seorang ialah blogger yang hanya menulis dalam portalnya, seorang ialah wartawan yang tugasnya melaporkan apa yang diperkatakan oleh orang politik dan seorang lagi ialah pemimpin kanan sebuah kerajaan negeri. Kami cukup kesal dengan penahanan wartawan yang melaporkan isu Ahmad Ismail yang mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan kaum lain. Beliau hanya melaporkan apa yang berlaku tetapi ditahan manakala orang yang mengeluarkan kata-kata tersebut masih bebas. Dimanakah Keadilan?

DAP Negeri Sembilan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya segera membebaskan ketiga-tiga tahanan ini dan semua tahanan ISA yang lain dengan serta-merta tanpa syarat. Sebagai seorang pemimpin Negara, beliau tidak seharusnya mengheret dan memangsakan orang lain untuk menyelamatakan karier politiknya. Beliau sepatutnya bertindak mengikut kehendak rakyat dan ahli-ahli parti beliau. Sekiranya beliau sudah tidak mendapat sokongan, langkah yang paling bijak untuk beliau ialah berundur.

DAP Negeri Sembilan meminta seluruh rakyat supaya bertenang dan tidak sesekali bertindak secara emosi. Kita perlu menangani isu ini secara aman dan tenang. Kita tidak boleh sama sekali terjatuh dalam perangkap dan provokasi Barisan Nasional.


* Loke Siew Fook, Pengerusi DAP Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Rasah