Kenyataan media oleh Syed Ibrahim Syed Noh di Kuala
Lumpur pada hari Ahad, 14 September 2008:
JIM kecam penahanan ahli politik,
wartawan dan penulis bloh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
(JIM) mengecam undang-undang tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) dan penggunaannya ke atas Ahli Parlimen Seputeh yang juga
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, wartawan
akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan pengendali laman blog Raja
Petra Kamaruddin.
JIM ingin menegaskan bahawa prinsip keadilan amatlah penting dalam
perundangan. ISA menyalahi prinsip keadilan kerana mereka yang ditahan
dinafikan hak untuk "tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya",
dinafikan hak bela diri, dinafikan khidmat guaman dan boleh ditahan
selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah.
Walaupun wartawan Tan Hoon Cheng kemudiannya telah dibebaskan selepas 16
jam ditahan, namun JIM mempersoalkan penahanan tersebut atas kononnya
untuk melindungi beliau daripada ancaman ke atas keselamatan beliau. Ini
menurut Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dalam sidang akhbar di
Ibupejabat Polis Bukit Aman pada 13 September 2008. Bukankah suatu yang
amat pelik apabila seseorang ditahan di bawah ISA untuk menyelamatkan
beliau daripada ancaman keselamatan sedangkan lazimnya seseorang ditahan
kerana beliau dituduh memudaratkan keselamatan negara?
Apakah dengan ini wartawan tersebut perlu berterima kasih kepada
Kerajaan atau sepatutnya menyaman Kerajaan kerana merampas hak kebebasan
beliau sebagai warganegara dengan alasan yang tidak munasabah langsung?
Perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti adalah perbuatan yang haram dari
sudut Syariah, kerana ianya sendiri merupakan sebab utama kepada keadaan
huru-hara di kalangan masayarakat yang hilangnya kepercayaan antara satu
sama lain.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 6, penyebaran
perkhabaran dan maklumat yang tidak sahih lagi meragukan menyebabkan
berlakunya pertimbangan yang tidak adil, lantaran mengundang kepada
musibah fitnah yang melanda masyarakat.
Riwayat hadith Ibnu Majah dan Abu Dawud menyebutkan bahawa kadi yang
menetapkan hukuman kepada seseorang bedasarkan sumber-sumber bukti yang
tidak benar akan dicampakkan ke dalam api neraka sewajarnya cukup
menjadi pengajaran bagi kerajaan untuk mengutamakan prinsip keadilan
Islam yang rasional berbanding dengan sentimen-sentimen perkauman yang
rapuh dalam menjaga kemaslahatan masyarakat.
JIM mengesyorkan mana-mana pihak yang terkesan dengan sebaran awam yang
dianggap menghina Islam supaya tampil proaktif dalam memberikan
penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Islam tertegak
di atas nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas. Tuntutan untuk
mengemukakan hujah-hujah Islam secara berhikmah dan beradab sudah
termaktub di dalam riwayat hadith-hadith yang sahih.
JIM memandang penahanan wartawan Tan Hoon Cheng seolah-olah beliau
bertanggungjawab ke atas kontroversi kenyataan perkauman Ahmad Ismail
sebagai tidak wajar kerana Ahmad Ismail dan pengikut beliau sendiri yang
sengaja memberikan provokasi perkauman tanpa sebarang kawalan emosi di
hadapan wartawan-wartawan.
Penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula merupakan satu
ketidakadilan kerana dakwaan bekas Menteri Besar Selangor keatasnya
telah dinafikan sekeras-kerasnya. Malah, masjid di Damansara yang
dikatakan disuruh perlahankan bunyi azannya telah memberi penjelasan
bahawa azan tidak berbunyi dengan kuat kerana alat pembesar suara
azannya mengalami kesulitan teknikal, bukannya kerana ditentang penduduk
bukan Islam.
Penduduk bukan Islam di kawasan perumahan sekitar sebuah masjid di
Puchong pula dilaporkan hanya memohon supaya diperlahankan penggunaan
pembesar suara untuk majlis kuliah bacaan ayat al-Quran, bukannya azan
itu sendiri.
JIM berpendirian jelas bahawa apa juga alasan yang dinyatakan kerajaan
atas episod penahanan terbaru ini samada sebagai "pencetus polemik
ketakutan" atau "pencetus kegawatan", ianya seharusnya boleh ditangani
dengan pelbagai akta lain yang sedia ada.
Tindakan menggertak dan menangkap blogger, wartawan, para pengkritik
dasar kerajaan khususnya dari kalangan parti pembangkang tanpa hujah
yang konkrit hanya akan mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif dan
keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan pasca Pilihan raya Umum
ke-12 terutamanya dalam konteks lanskap politik negara kini. Tindakan
ini hanyalah mengesahkan lagi bahwa ISA digunakan untuk tujuan politik
parti pemerintah.
JIM amat kesal dengan tindakan parti politik pemerintah yang sanggup
memainkan isu sensitif seperti perkauman dan agama demi untuk menutup
pelbagai kelemahan kepimpinan sedia ada. Sebaliknya, adalah lebih baik
pihak kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang terjadi di
dalam negara sekarang ini tanpa menggadaikan suasana keamanan yang sedia
ada. Hentikan politik perkauman, fitnah dan tuduh menuduh tanpa bukti
lagi tanpa bicara dan kembalilah kepada Syariat Islam.
JIM menggesa Kerajaan untuk membebaskan Teresa Kok, Raja Petra dan
tahanan-tahanan ISA yang lain dengan serta merta atau dakwa mereka di
mahkamah. Nasib tahanan yang ditahan dalam tempoh yang lama sehingga 7
tahun juga perlu dibela.
Sebagai anggota aktif gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), JIM menyeru
rakyat yang prihatin untuk turut tampil membantah ISA dan penahanan
berhubungnya melalui program-program yang dianjurkan oleh GMI. Dalam
tuntutan keadilan dan kebenaran, tidak ada batasan agama, kaum atau
budaya.
* Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Presiden Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia