Kenyataan akhbar oleh Lau Weng San pada hari
Sabtu, 20
September 2008 di Petaling Jaya:
Akta Hubungan Kaum tidak akan
memperbaiki hubungan antara kaum di Malaysia jikalau kerajaan tidak
memberi layanan adil kepada semua rakyat
Telah dinyatakan semalam oleh Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bahawa Akta Hubungan Kaum akan
diwujudkan dalam waktu terdekat dengan matlamat lebih menyeluruh untuk
mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan antara kaum di negara ini oleh
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan (KPKKW).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, skop akta
berkenaan lebih meluas berbanding Akta Hasutan sedia ada yang lebih
bertujuan mengekang huru-hara dan ancaman ketenteraman awam.
Akta Hubungan Kaum tidak akan memperbaiki hubungan antara kaum di
Malaysia jikalau kerajaan tidak memberi layanan adil kepada semua rakyat.
Hakikatnya juga sama jikalau kerajaan tidak kelihatan mentadbir negara
ini dengan adil dan saksama.
Adalah amat mengesalkan apabila kerajaan tidak mengambil tindakan tegas
terhadap individu-individu yang sengaja menwujudkan ketegangan antara
kaum dan agama dengan mengapi-apikan isu ini. Sementara itu, kerajaan
pula mengambil tindakan yang cukup silap dengan menahan beberapa
individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa perbicaraan.
Keadaan ini telah menyebabkan kerajaan pusat kelihatan tidak bermaya
untuk menegakkan keadilan.
Dengan ini, bagaimana pula kerajaan pusat dapat meyakinkan rakyat jelata
dengan adanya Akta Hubungan Kaum ini akan terwujudnya harmoni semasa
masyarakat majmuk Malaysia ini?
Saya menyeru kerajaan pusat untuk menangani masalah yang sebenarnya dan
bukannya terus dibelenggu sindrom penafian (denial syndrome) dengan
menafikan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan pusat.
* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor dan ADUN Kampung
Tunku