red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Rabu, 19 Ogos 2009:

SPRM melanggari hak asasi manusia semasa menyiasat Wong Chuan How

DAP tidak pernah mengganggu penyiasatan SPRM tetapi SPRM perlu telus, adil, profesional dan bebas apabila menjalankan siasatannya terhadap pemimpin-pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat yang lain.

Jikalau SPRM dapat menjalankan tugas dengan telus, adil, profesional dan bebas, maka SPRM tidak perlu meminta pendapat kerajaan berkenaan mekanisme siasatan terhadap kes rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik.

Sebenarnya, beberapa siri perkara yang melibatkan SPRM serta kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurusan tertinggi SPRM telah menjejaskan kredibiliti SPRM sendiri.

Kami masih ingat kenyataan Pengerusi SPRM Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan bahawa SPRM mempunyai bukti yang kukuh untuk membuktikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim terlibat dalam jenayah rasuah dalam isu “lembu dan kereta”.

Walaupun begitu, setelah sekian lama menunggu, SPRM dan Jabatan Peguam Negara masih belum mendakwa Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim ke mahkamah berhubungan dengan kes rasuah yang dimaksudkan itu.

Adakah ini bermakna bahawa SPRM sebenarnya tidak mempunyai bukti yang kukuh? Jika ya, mengapakah Pengerusi SPRM bertindak tidak profesional dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak profesional ini?

Satu lagi contoh penangguhan pendakwaan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd. Nor dari UMNO atas empat tuduhan rasuah yang berlaku dua tahun yang lalu oleh SPRM pada 14 Januari 2009.

Pendakwaan sepatutnya dijadualkan pada hari berkenaan, iaitu tiga hari sebelum hari pengundian Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009. Alasan yang diberi oleh SPRM pada masa itu ialah supaya ianya tidak mengganggu proses pilihanraya di Kuala Terengganu.

Sudah tentu kita akan bertanya-tanya apakah kaitan pendakwaan seorang mantan ADUN UMNO dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu?

Tidak cukup dengan itu, sebelum krisis politik di Perak berlaku, Ahmad Said Hamdan pernah mengatakan bahawa SPRM akan menyiasat sama ada terdapat elemen-elemen rasuah sehari selepas ADUN Bota yang asalnya daripada UMNO melompat ke Parti KeADILan Rakyat (PKR).

Yang anehnya ialah, apabila ADUN Bota ini melompat kembali ke UMNO, Ahmad Said Hamdan pula tidak mengeluarkan kenyataan yang sama.

Ketiga-tiga contoh ini telah mengikis keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock sekali lagi membuktikan kelemahan SPRM dalam menjalankan tugasnya. Samada mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh atau bunuh diri, kita tidak dapat menafikan bahawa peristiwa sedih ini berlaku di premis SPRM sendiri.

Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Siasatan Dato’ Mohd Sukri Abdull dapat menafikan realiti bahawa orang ramai telah kehilangan keyakinan terhadap profesionalisme, kredibiliti serta kebebasan SPRM dalam menjalankan siasatan-siasatannya?

Lebih-lebih lagi, SPRM telah melanggari hak asasi manusia semasa menyiasat kes Wong Chuan How

1. Menggunakan peruntukan yang salah. SPRM harus menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 untuk menahan mana-mana individu, dan bukannya Seksyen 53 Akta berkenaan.

Ini adalah kerana Seksyen 49 (Kesalahan di bawah Akta menjadi kesalahan boleh tangkap dan kuasa pegawai Suruhanjaya berhubungan dengan penyiasatan) yang terletak di bawah bahagian kelima Akta ini adalah mengenai penyiasatan, pemeriksaan dan penggeledahan, penyitaan dan penangkapan.

Seksyen 53 (Kebolehterimaan pernyataan orang tertuduh) yang terletak di bawah bahagian keenam akta ini hanya mengenai keterangan sahaja dan langsung tidak menyentuh tentang penangkapan mana-mana individu.

2. SPRM Mungkir janji. Sebelum SPRM dating ke pejabat Wong Chuan How, SPRM telah berjanji melalui telefon bahawa mereka akan datang ke pejabat beliau untuk merekodkan keterangan SPRM. Tanpa disedari Wong, SPRM telah datang ke pejabat Wong pada pagi 14 Ogos 2009 dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 53 Akta SPRM 2009, bahawa Wong telah ditahan dan beliau perlu datang ke Ibu Pejabat SPRM.

3. Tidak mengeluarkan dokumen-dokumen pengenalan diri. Semasa penahanan Wong Chuan How oleh SPRM, pegawai-pegawai tidak memakai apa-apa tag nama. Pegawai-pegawai SPRM juga enggan memperkenalkan diri sendiri semasa penangkapan dibuat. Apabila Wong Chuan How membuat laporan polis di balai polis Sungai Pelek, Pegawai-pegawai SPRM juga tidak memberi kerjasama apabila diminta untuk memberi nama-nama mereka. Tindakan ini seakan-akan sama dengan Polis Rahsia Nazi Jerman, Gestapo semasa perang dunia kedua.

SPRM harus memahami realiti bahawa mereka bukan sahaja dikecam dan dikritik oleh DAP, malahan oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintaikan pentadbiran baik dan keluhuran undang-undang. Penyelewengan-penyelewengan di atas inilah yang menyebabkan kredibiliti SPRM terjejas, sekaligus menyebabkan orang ramai mengecam SPRM.


* Lau Weng San, Selangor DAP Secretary & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional