red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Khamis, 17 Disember 2009:

Ketidakadilan akan membawa kehancuran

Rakyat masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutan untuk mengetahui siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Perbicaraan telah selesai pada 5 November 2009. Hakim-hakim yang mendengar perbicaraan itu telah menangguhkan keputusan mereka pada satu tarikh yang belum ditentukan. Sekarang sudah hampir sebulan setengah tetapi tarikh pengumuman keputusan hakim-hakim tidak disebut-sebut lagi. Kenapa wujudnya kelewatan dalam mengumumkan keputusan tersebut? Perkara ini menimbulkan banyak persoalan-persoalan kontroversi yang boleh menggugatkan kredibiliti badan kehakiman di negara ini. Tambahan pula, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ianya mesti nampak dilaksanakan.

Keadilan merupakan kondisi kebenaran yang ideal secara moral mengenai sesuatu hal. Menurut sebagian besar teori, keadilan memiliki tingkat kepentingan dan implikasi yang besar dalam pemerintahan sesebuah negara. John Rawls, seorang ahli falsafah politik Amerika Syarikat yang terkemuka abad ke-20, menyatakan bahwa "Keadilan adalah ‘kelebihan’ pertama dari institusi sosial. Oleh itu, semua institusi awam termasuk kehakiman perlu memberi keutamaan kepada prinsip keadilan. Jika prinsip ini tergadai, maka hancurlah segala struktur atau organisasi yang memerintah sesebuah negara.

Ketidakadilan harus dilawan dan dihukum. Jika perkara ini berterusan, banyak gerakan sosial dan politik akan berjuang menegakkan keadilan. Jika kita mengimbas sejarah dunia, ketidakadilan akan membawa kepada kepincangan. Banyak juga kerajaan dan dinasti yang kuat retak dan akhirnya hancur kerana tidak menghormati prinsip-prinsip keadilan.

Keadilan intinya adalah meletakkan segala sesuatunya pada tempatnya. Ahli falsafah unggul Plato pernah membantah seorang ahli falsafah muda, Thrasymachus, kerana beliau menyatakan bahawa ‘keadilan’ adalah apa pun yang ditentukan oleh si terkuat. Tetapi, nampaknya di Malaysia teori Thrasymachus mula mendapat tempat dan dipraktikkan secara terbuka. Keadilan diabaikan semata-mata untuk terus berkuasa. Ini dapat dilihat didalam konteks negeri Perak, bagaimana Barisan Nasional menggunakan kekejaman dan kekerasan dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Tambahan pula, Mahkamah juga tidak menunjukkan minat dalam menyelesaikan krisis politik ini dengan serta merta.

Keadilan adalah sesuatu yang benar, sikap yang tidak memihak, penjagaan hak-hak seseorang dan cara yang tepat dalam membuat keputusan atau penghakiman Apakah gunanya kita bercakap tentang 'the rule of law' atau pemerintahan berasaskan undang-undang, hak kemanusiaan dan demokrasi jika pemimpin-pemimpin negara tidak lagi menghormati prinsip-prinsip keadilan yang asas.

Setelah Dato Seri Nizar diisytiharkan sebagai MB Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi, tidak sampai 24 jam keputusan telah dibuat semula untuk menyerahkan jawatan itu kepada Dato Seri Dr. Zambry buat seketika. Kes kemudiannya berlangsung pada 5 November 2009 dan sehingga kini belum lagi mendapat tarikh dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu yang dibangkitkan.

Seluruh rakyat Malaysia sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan. Tetapi, ia membawa kekecewaan terhadap sistem yang sedia ada. Isu ini juga menampakkan lagi Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan diktator yang sentiasa penuh dengan ketidakadilan yang berpanjangan.Mereka membelakangkan rakyat yang ada dengan menidakkan hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka terutamanya kepada negeri Perak. Mereka menolak suara rakyat dengan melakukan sewenang-wenangnya tindakan yang memalukan negara dengan mempertahankan kerajaan boneka mereka di negeri Perak tanpa menghormati suara majoriti rakyat negeri Perak.


* V. Sivakumar, ADUN Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional