red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di George Town pada Sabtu, 26hb Disember 2009:

Tindakan polis terhadap Lim Guan Eng tidak profesional

Pihak polis sanggup membodek Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sehingga membuat laporan sendiri serta menjalankan siasatan terhadap Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP atas dakwaan beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan pada 18 Disember 2009 di Shah Alam, Selangor.

Mengapa polis begitu tergesa-gesa untuk membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng? Jikalau apa yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng sememangnya berbaur hasutan, takkanlah kita perlu menunggu giliran pihak polis untuk membuat laporan sendiri supaya siasatan polis boleh dilakukan ke atas Lim Guan Eng?

Ini menunjukkan pihak polis telah membelakangi profesionalisme mereka sehingga perlunya membuat laporan polis sendiri, membuat tafsiran sendiri serta menjalankan siasatan sendiri tanpa pihak-pihak lain yang membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng.

Maka, DAP ingin mencabar Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Khalid Abu Bakar supaya letak jawatan dengan serta-merta untuk memasuki politik dan bukan sekadar melaksanakan agenda-agenda politik yang digariskan oleh pihak atasannya dengan pandai-pandai menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai seorang Ketua Polis Negeri.

Datuk Khalid Abu Bakar berkata bahawa tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas. Namun demikian, ini juga bukan tanggungjawab polis untuk membuat tafsiran sendiri bagi mengenalpasti sama ada kenyataan Lim Guan Eng berasas sebelum inkues yang diketuai oleh seorang koroner dapat membuat kesimpulannya terhadap kes kematian Teoh Beng Hock.

Selama ini, pihak polis hanya berminat untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin bukan Barisan Nasional dan bukannya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperti Datuk Ahmad Ismail, bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang telah melabelkan kaum-kaum tertentu sebagai “pendatang” ke negara ini.

Sebagai salah seorang pengadu yang membuat laporan polis terhadap Datuk Ahmad Ismail, saya pernah menghantar surat bertarikh 1 Mac 2009 kepada Peguam Negara supaya dimaklumkan perkembangan kes tersebut serta mendapatkan penjelasan Peguam Negara terhadap laporan The Malaysian Insider bahawa pemimpin UMNO tersebut tidak didakwa ke mahkamah atas sebab terdapat campur tangan politik daripada pihak atasan UMNO. Namun, tiada sebarang jawapan diberikan sehingga hari ini.

Walau bagaimanapun, DAP Negeri Pulau Pinang serta seluruh pemimpin dan ahli DAP dari sepelosok Malaysia akan memberi sokongan yang kuat terhadap Lim Guan Eng supaya tidak akur terhadap kuasa-kuasa yang jahat. Meskipun pihak polis dapat menutup mulut Lim Guan Eng dengan siasatan di bawah Akta Hasutan, namun mulut-mulut bagi seluruh rakyat yang mengejar keadilan tidak mungkin dapat ditutup oleh tindakan polis tersebut.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Publisiti DAP Negeri Pulau Pinang & ADUN Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional