red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada Jumaat, 27 Februari 2009:

Penyertaan Negeri Pulau Pinang dalam “Earth Hour 2009”

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyertai kempen “Earth Hour 2009” yang dianjurkan oleh World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia pada 28th Mac 2009(Hari Sabtu), jam 8.30 mlm - 9.30 mlm untuk meningkatkan kesedaran tentang penjimatan tenaga dan mengambil langkah-langkah positif untuk menangani masalah perubahan iklim di kalangan rakyat Malaysia.

Pada 31 Mac 2007, kempen ini telah dimulakan di Bandaraya Sydney , Australia yang mana mendapat sokongan dari 2,100 syarikat dan menyaksikan 2.2 juta orang memadam lampu yang membawa kepada penjimatan tenaga sebanyak 10.2% dari kegunaan pada kadar biasa. Pada tahun 2008, seramai 50 juta orang dari lebih 370 bandar dan kota telah menyertai dalam aktiviti tersebut. Tahun ini, Kerajaan Malaysia telah menyertai kempen ini secara rasmi.

Di Malaysia, sebahagian besar tenaga elektrik adalah dijanakan dengan membakar bahan api fosil seperti arang batu, gas asli dan tenaga hidro untuk menampung keperluan tenaga kita. Dengan membakar bahan api fosil, ia telah menyebabkan jumlah gas rumah hijau yang banyak dilepaskan ke udara dan seterusnya mengakibatkan peningkatan suhu dan pemanasan global.

Selain daripada itu, penjimatan yang agak besar dari segi ekonomi boleh direalisasikan melalui penjimatan penggunaan tenaga. Setiap ringgit yang telah dijimatkan oleh isi rumah, sekolah, agensi kerajaan, premis perniagaan dan industri boleh digunakan ke atas barangan pengguna asas, pendidikan, perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur.

Kerajaan Negeri telah mengarah semua Jabatan Negeri/Persekutuan, Badan Berkanun Negeri/Persekutuan, Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan supaya menyertai kempen tersebut . Bangunan ikonik seperti Dewan Bandaraya (City Hall), Dewan Bandaran(Town Hall) dan Bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai turut menyertai kempen ini.

Sektor swasta juga digalakkan menyertai kempen ini. Kerajaan telah menghantar surat kepada Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia, Malaysian Association of Hoteliers (Penang Chapter), The Free Trade Zone Penang Companies Association (FREPENCA), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan parti-parti politik negeri.

Demi keselamatan orang awam dan pengguna bangunan, hanya lampu-lampu exterior (lampu perhiasan) , lampu yang tidak digunakan dan alat-alat elektronik yang perlu dipadamkan dan bukan blackout yang sepenuhnya. Lampu-lampu keselamatan perlu dipasangkan mengikut keperluan bangunan masing-masing supaya memastikan keselamatan awam di kawasan bangunan.

Kami juga berharap rakyat Negeri Penang akan memberi sokongan ke atas kempen yang amat bermakna ini. Untuk maklumat lanjutan, sila merujuk kepada: www.earthhour.org atau menghubungi WFF Malaysia: 03- 78033772.


* Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional