Teks Ucapan Tangguhan oleh Dr. Boo Cheng Hau di Dewan Negeri Johor pada Khamis, 26 Februari 2009: Para pelabur dana Johor memohon harga belian balik satu ringgit seunit saham YB Dato’ Speaker, Selamat pagi dan Salam sejahtera. Skudai mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk memberikan ucapan penangguhan kepada Dewan yang Mulia ini. YB dato’ Speaker, Johor Bahru menjadi gerbang selatan dan pintu masuk bagi pengunjung dan pelancong asing ke Semenanjung Malaysia. Hakikat tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi Johor Bahru amat bergantung kepada pengunjung dari Singapura dan pekerja Malaysia bekerja di Singapura yang membawa balik berjuta-juta ringgit pertukaran asing setiap hari. YB Dato’ Speaker, Mengikut statistic, pada tahun 2006 lebih kurang 23,500 orang Singapura melawat Johor Bahru sehari dan membelanjakan lebih kurang RM 5.3 juta sehari. Pada tahun 2008, 16 juta kekerapan orang Singapura melawati Malaysia serta mendatangkan pendapatan sejumlah RM 21.96 billion. YB Dato’ Speaker, Apa yang amat mendukacitakan ialah semenjak pembukaan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Iskandar baru-baru ini, peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja khususnya di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum sedang mengalami kerugian dan kemerosotan dalam perniagaan. Skudai telah melawati para peniaga di sekitar Jalan Meldrum, dan Jalan Wong Ah Fook. Hampir semua penjaja dan peniaga di sana telah mengadu bahawa perniagaan mereka telah merosot kerana ramai orang dan khususnya pengunjung-pengunjung dari Singapura kini memirau atau bypass Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum. YB Dato’ Speaker, Skudai mengharapkan Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, mengambil tindakan dalam kadar segera serta memastikan Bandaraya Johor Bahru dan khususnya Jalan Wong Ah Fook bersejarah sejak zaman Sultan Abu Bakar tidak menjadi satu “ghost-town”. YB Dato’ Speaker, Skudai juga mengharapkan Kerajaan Negeri Johor akan membantu peniaga-peniaga dan penjaja-penjaga di kawasan Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum. Antara tindakan yang disyorkan oleh kalangan awam adalah membuat satu perhentian bas untuk menurunkan penumpang di Jalan Tun Razak berhampiran dengan KIK lama. Pergerakan lalu-lintas ini dipercayai akan membantu dan memberangsangkan aktiviti perniagaan di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum. YB Dato’ Speaker, Maka pengajaran dari pengalaman ini adalah sesuatu pembangunan baru mesti dikaji dengan terperinci kesan sosioekonomi, alam sekitar dan juga kesannya atas warisan pusaka kita. Sesetengah kalangan mengesyorkan supaya KIK lama dibuka semula untuk kegunaan penjalan kaki, penunggang motosikal dan bas sekolah yang keluar masuk Singapura sejumlah beribu-ribu setiap hari. YB Dato’ Speaker, Skudai juga mencadangkan tapak warisan seumpama Kuil Hindu dan Sikh di Jalan Ungku Puan, Masjid India Muslim Johor Baru di Jalan Duke, Tokong Cina di Jalan Terus yang bersejarah beratus-ratus tahun disenaraikan sebagai tapak warisan serta dimajukan sebagai tapak penarikan pelancong. Usaha-usaha untuk meningkatkan Pusat Bandaraya Johor baru sebagai tapak warisan sepatutnya diberikan sokongan sepenuhnya oleh Kerajaan. YB Dato’ Speaker, Baru-baru ini dalam satu majlis, Dato’ Bandar Johor Bahru telah menyatakan bahawa warga Bandar mengharapkan “perkhidmatan yang cekap, efisien dan sistematik.” dari MBJB. Skudai berpendapat masih terdapat berbagai kelemahan dari segi perkhidmatan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Banyak infrastruktur seperti longkang, parit dan jalan di bawah bidangkuasa PBT tidak diurus dengan baik. Jalan-jalan dipenuhi dengan lubang-lubang, longkang-longkang banyak tiada penutup ataupun jiriji besi. Ini amat memalukan. Contohnya, ada yang menyatakan singkatan nama Johor Bahru, J.B juga dikenali sebagai Jalan Berlubang. Ramai orang telah cedera dan ada juga yang telah mati jatuh akibat lubang-lubang di atas jalan. Malahan, baru-baru ini Majlis Bandaraya Johor Bahru telah disaman di mahkamah kerana seorang pembonceng motosikal mati terkena lubang jalan raya. YB Dato’ Speaker, Skudai dimaklumkan tahun lalu Majlis Bandaraya Johor Bahru telah membayar pampasan kepada keluarga yang kehilangan ibu mereka yang mati jatuh dalam longkang yang tidak tertutup. Keadaan yang sama terdapat di sepanjang Jambatan Bertingkat Jalan Senai-Jalan Pontian, Skudai, di mana penutup besi longkang tepi jalan telah kecurian selama dua tahun tetapi setakat ini belum ada sebarang tindakan dari JKR untuk memperbaiki keadaan ini walaupun belum ada kematian dilaporkan berkaitan dengan ketiadaan penutup longkang di sana. Akan tetapi usahlah pihak berkenaan bersikap sudah terhantuk baru menengadah. YB Dato’ Speaker, Skudai mengharapkan kontraktor-kontraktor yang berkeupayaan dan mempunyai pengalaman serta rekod prestasi yang baik dilantik. Skudai mengesyorkan bahawa kontrak-kontrak kerajaan akan ditawar secara tender terbuka seperti yang diamalkan oleh PBT-PBT kerajaan Pulau Pinang dan juga diamalkan oleh PBT-PBT di Johor dalam penawaran kontrak-kontrak pembinaan infrastruktur serta dalam penyelenggaraan jalan. PBT dan Kerajaan Negeri sepatutnya dibenarkan kuasa untuk menawarkan kontrak kepada kontraktor tanpa mematuhi klasifikasi kontraktor Kementerian Kewangan secara buta tetapi dibenarkan membuat penilaian tersendiri untuk menjimatkan kos projek-projek di bawah bidang kuasa PBT dan Kerajaan Negeri. YB Dato’ Speaker, Ada warga Johor yang prihatin mengambil inisiatif sendiri untuk membantu PBT untuk membuat pemantauan. Sebagai contoh blog www.johorbahruwatch.blogspot.com banyak memaparkan gambar dan berita tentang keadaan di persekitaran Bandaraya Johor Baru yang memerlukan perhatian. YB Dato’ Speaker, Contohnya, longkang-longkang yang tidak diurus dengan baik bermakna air bertakung dan ini menjadi bahaya kepada kesihatan. Johor merupakan antara negeri yang mempunyai kes-kes denggi dan Chikungunya yang terbesar. Di Jalan Titiwangsa 3, Taman Tampoi Indah, air longkang tidak mengalir dengan baik dan penuh dengan jentik-jentik. Diharapkan PBT akan lebih peka dan prihatin serta mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang telah dibawa ke perhatiannya. YB Dato’ Speaker, Masalah pemegang saham Dana Johor masih belum diselesaikan. Para Pemegang saham Dana Johor masih mengadu mereka terpaksa menjual balik saham mereka kepada Permodalan Johor Berhad dengan harga 50 sen seunit apabila berbanding dengan 1 ringgit seunit saham pembelian balik Amanah Saham Johor. Perbezaan dalam harga ini telah menyinggung hati para pelabur Dana Johor. YAB Menteri Besar telah berjanji dalam mesyuarat yang lalu penggal persidangan dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Johor akan menawarkan harga belian balik yang sama untuk ASJ dan Dana Johor, iaitu satu ringgit seunit saham dibeli balik. Maka janji berkenaan masih belum diperkotakan. YB Dato’ Speaker, Apa yang menyakitkan hati para pelabur Dana Johor adalah layanan berdiskriminasi oleh Permodalan Johor Berhad menghulurkan harga belian balik yang ketaranya amat berbeza daripada harga belian balik untuk Amanah Saham Johor. Maka harga berbeza dalam belian balik saham ASJ dan Dana Johor boleh dikatakan dasar ekonomi bercorak Apartheid sebab layanan berbeza dilaksanakan kepada dua golongan warga Johor. YB dato’ Speaker, Lagipun Skudai dimaklumkan pelabur Dana Johor yang meminjam pinjaman dari sesetengah bank dikenakan dua jenis kadar bunga iaitu Ahli (Bumiputera) dan Bukan Ahli (Bukan Bumiputera), di mana peminjam Bukan Bumiputera dikenakan bunga yang lebih tinggi tanpa menentukan status sosioekonomi seseorang peminjam. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dasar ekonomi sedemikian bukannya Tindakan Afirmatif yang berasaskan status sosioekonomi untuk menerima bantuan, tetapi ianya sebenarnya bersifat Apartheid yang berasaskan politik perkauman di mana golongan dominan diberikan bantuan pula. YB Dato’ Speaker, Apartheid bukan sahaja berkenaan dengan aspek fizikal sahaja di mana segregasi penggunaan kemudahan awam berasaskan warna kulit dan kebumiputeraan. Aspek Apartheid yang paling mendahsyatkan adalah dasar sosioekonomi, pendidikan, budaya dan bahasa berasaskan ketuanan dan kebumiputeraan Afrikaner, iaitu Orang Putih Afrika Selatan berketurunan Belanda yang dikatakan mengasaskan Kerajaan Bertamadun Pertama. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Apartheid adalah sebenarnya dimulakan untuk membantu orang Putih yang miskin berstatus Native atau ‘help the poor white natives’. Maka apa yang amat mengecewakan adalah sesetengah tokoh politik Malaysia masih mempercayai Bumiputeraisme atau Nativism sebagai piawaian diberikan keutamaan mutlak untuk bantuan kerajaan walaupun Bumiputeraisme merupakan ideologi Apartheid atas prasangka bahawa kaum-kaum tertentu memperoleh hak istimewa yang tidak dapat dipertikaikan. YB Dato’ Speaker, Adalah diharapkan Dewan yang mulia ini dan Kerajaan Johor dapat mendengar kritikan secara terbuka, khasnya dalam dasar sosioekonomi dan pembangunan modal insan. Isakandar Malaysia akan berjaya jika dasar-dasar sosioekonomi lebih terbuka akan dilaksanakan. Sebelum Iskandar Malaysia berjaya, minda kalangan awam dapat berubah melalui perbahasan secara terbuka dan maklumat tepat. YB Dato’ Speaker, Seterusnya, Skudai ingin membuat ulasan terhadap Peraturan dan Perintah Tetap Dewan yang mulia ini. Peraturan dan Perintah Tetap Dewan yang mulia ini sepatutnya memupuk demokrasi jika sebarang pemindaan diingini, iaitu mencontohi Parlimen termasuk mengiktiraf kedudukan parti pembangkang dan memudahkan proses mendapatkan maklumat tepat berkenaan Pentadbiran Kerajaan. Maka peluang untuk mendapatkan maklumat rasmi amat penting untuk memastikan pentadbiran kerajaan diuruskan dengan baik. YB Dato’ Speaker, Oleh itu, had bilangan soalan semasa setiap persidangan ahli-ahli dewan ini tidak sepatutnya diperketat dengan skala besar. Seumpamanya, Dewan Undangan Negeri Selangor membenarkan sepuluh soalan lisan dan sepuluh soalan bertulis setiap mesyuarat persidangan Dewan. Di sebaliknya, Ahli-ahli Dewan yang mulia ini sepatutnya digalakkan supaya mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri dengan lebih proaktif. YB Dato’ Speaker, Tambahnya, bahasa dalam Peraturan dan Perintah Tetap Dewan ini seharusnya dimodenkan selaras dengan istilah undang-undang terkini. Contohnya, ‘Rundingan’ yang dimaksudkannya adalah ‘Usul’ dalam istilah rasmi undang-undang. Diharapkan Jawatankuasa Peraturan dan Perintah Tetap akan berusaha memodenkan bahasa yang digunakan dalam Peraturan dan Perintah Tetap yang sedia ada. YB Dato’ Speaker, Skudai telah memohon supaya Undang-undang Tubuh Negeri Johor dibekalkan kepada semua ahli dewan yang mulia ini. Ianya adalah amat mustahak bagi ahli-ahli dewan yang mulia ini supaya dapat mengkaji Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri secara mendalam serta mempelajari proses menubuhkan kerajaan secara ‘constitutional”. Sekianlah ucapan penangguhan Skudai, terima kasih. * Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor & ADUN Skudai
|