Ucapan Parlimen oleh Lim Guan Eng di
Parlimen pada hari Isnin, 12 Januari 2009:
Pendirian DAP dalam isu Gaza – menolak sebarang tindakan keganasan
Sejak Israel mengiystiharkan kemerdekaannya
kira-kira 60 tahun lalu, rantau Timur Tengah atau Asia barat tidak
pernah sunyi dari konflik yang mengorbankan banyak nyawa. Permulaan
berdarah pada tahun 1948 berlaku apabila negara-negara Arab telah
menyerang Israel untuk membebaskan bumi Palestin dari taklukan kumpulan
Zionis Israel.
Pada tahun 1948 itu, Jordan
mengambil alih Tebing Barat manakala Mesir pula membawa Gaza di bawah
penguasaannya. Namun, negara-negara Arab tewas dalam peperangan pertama
mereka dengan Israel.
Pada 1967,
negara-negara Arab sekali lagi cuba menyerang Israel tetapi masih gagal.
Malah dalam masa enam hari, kuasa ketenteraan mereka dilumpuhkan oleh
serangan balas Israel di mana Gaza turut ditawan.
Pada 1973, serangan mengejut negara-negara Arab yang dipimpin oleh Mesir
terhadap Israel menggegarkan dunia. Walaupun kedua-dua pihak
mengisytiharkan menang perang, ia membawa kembali kepada keadaan yang
sama pada tahun 1967. Yang pasti, jumlah nyawa rakyat tidak berdosa yang
terkorban telah meningkat.
Gaza dan Tebing
Barat telah dijadikan kem untuk melatih gerila Palestin menyerang
kubu-kubu tentera Israel. Rakyat Palestin yang lain melimpah sebagai
pelarian di negara-negara Arab seperti Lubnan dan Syria.
Sejak itu juga, pemimpin-pemimpin Arab bermain politik demi kepentingan
negara dan ideologi masing-masing. Yang terus menjadi mangsa adalah
rakyat Palestin.
Pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, rakyat Palestin dibawa ke kiri ke
arah sosialisme Arab. Setelah ideologi itu gagal menumpaskan Israel,
rakyat Palestin dibawa ke arah agama pula selepas tahun 1980-an.
Rakyat Palestin sendiri yang sudah kecewa dengan kumpulan-kumpulan
politik dan ideologi telah bangkit sendiri menentang kekerasan dan
keganasan Israel. Bermula dengan gerakan akar umbi "intifadah" pada
1987, akhirnya ia membawa kepada usaha damai Oslo pada tahun 1993.
Rangka rancangan damai Oslo tidak memberikan hak milik sepenuhnya kepada
rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, dan ini menyebabkan proses itu
gagal dilaksanakan. Pada tahun 2000, tawaran untuk tambahan kawasan hak
milik Palestin di Tebing Bara ditambah tetapi penguasaan politik dan
ketenteraan tetap di tangan Israel. Dalam erti kata yang lain, walaupun
negara Palestin "berdaulat" ia tetap dikuasai oleh Israel.
Keadaan ini sekali lagi membangkitkan
intifadah di Palestin. Munculnya Hamas yang menolak rancangan "dua
negara – satu untuk Israel dan satu untuk Palestin" juga membangkitkan
semangat baru di kalangan rakyat Palestin yang sering dipermainkan oleh
kuasa-kuasa besar serta sesetengah negara Arab sendiri.
Namun, di saat-saat genting untuk mencapai perpaduan, pertelingkahan
sesama parti-parti politik di Palestin terutamanya di antara Hamas dan
Fatah memburukan lagi keadaan di mana dunia melihat kegagalan dalam
mencapai perpaduan Palestin.
Pemimpin PLO Allahyarham Yasser Arafat
selama berpuluh tahun telah membawa perjuangan gerila dan kemudiannya
melalui diplomasi untuk mencapai perdamaian di Timur Tengah, dan kembali
kepada strategi menyerang Israel – tidak membawa banyak perubahan.
Namun, pada awal dekad ini, usaha damai
menunjukkan sedikit hasil. Wujud apa yang dikatakan sebagai Kerajaan
Palestin. Tetapi pertentangan ideologi dan tatacara di antara Fatah,
Hamas dan Jihad Islamiah menyebabkan usaha murni itu terbantut.
Pada tahun 2007, Presiden Palestin Mahmoud
Abbas dari kumpulan Fatah telah menyingkirkan Hamas dari kerajaan
perpaduan Palestin untuk menubuhkan Kabinet baru di Tebing Barat
berikutan penguasaan Gaza oleh kumpulan Hamas melalui pilihan raya.
Hamas menang pilihan raya itu di atas slogan enggan mengiktiraf
kewujudan Israel dan enggan meletak senjata dan mahu terus menyerang
Israel. Kedua-dua pihak bukan setakat berperang mulut, malah benar-benar
terbabit dalam perang saudara di Palestin.
Tahun lalu, gencatan senjata semua pihak
selama enam bulan mengurangkan ketegangan di rantau Asia Barat. Namun,
Israel telah menuduh Hamas melancarkan serangan roket ke dalam negara
itu yang menyebabkan orang awam terbunuh.
Bulan lalu, sewaktu umat Islam sedunia
bersiap sedia menghadapi Tahun Baru Ma'al Hijrah, Israel telah
melancarkan serangan udara secara besar-besaran terhadap Gaza.
Saudara kita – orang awam di bumi Palestin –
telah sekali lagi menjadi mangsa. Serangan udara itu telah mengakibatkan
lebih 300 orang terbunuh manakala beratus lagi cedera. Tidak lama
selepas itu, Israel melancarkan pula seangan ketenteraan darat. Makin
banyak nyawa melayang, hampir kesemuanya orang awam termasuk kanak-kanak.
Saya bagi pihak DAP mengutuk
sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap orang awam dan mendesak Israel
supaya menghentikan tindakan ganas serta mencari jalan penyelesaian
melalui usaha damai.
Bagi saya, walau apa pun alasannya atas
dasar ketenteraan, tindakan ganas yang mengorbankan orang awam tidak
akan dapat menyelesaikan masalah politik. Jalan terbaik ialah meneruskan
usaha damai melalui rundingan dan tidak perlu ada pertumpahan darah ke
arah mencapai kedamaian di Timur Tengah.
Saya telah pun meminta Kerajaan Malaysia
supaya memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk menyampaikan
bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta-tuli Amerika kepada
Israel. Jelas tindakan pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan telah
membunuh dan mencederakan orang awam termasuk kanak-kanak yang tak
berdosa. Selain daripada menghentikan sokongan membabi buta kepada rejim
Tel-A-Viv, kerajaan Malaysia harus mendesak Amerika Syarikat menggunakan
pengaruh mengarahkan Israel menghentikan peperangan dan undur dari bumi
Gaza.
Keengganan Amerika Syarikat sebaliknya
sikap degil terus bekalkan senjata peperangan kepada rejim Israel untuk
membunuh wanita dan kanak-kanak menjadikan kerajaan Amerika Syarikat di
bawah pimpinan George Bush sama-sama bersalah dan tidak bertamadun yang
perlu dibaling kasut.
Saya ingin menegaskan
bahawa DAP tidak memusuhi rakyat Amerika Syarikat tetapi hanya kerajaan
dan Presidennya George Bush. Rakyat Amerika Syarikat sendiri pun telah
menolak parti George Bush bila memberikan kemenangan besar kepada Obama
dan parti Demokratnya dalam pilihanraya Presiden tahun lepas. Kita harap
bahawa Obama akan memenuhi aspirasi dunia untuk suatu dasar luar negara
yang seimbang adil dan perikemanusiaan kepada rakyat Palestin yang
terpinggir, terlupa dan terhanyut oleh dunia antarabangsa selama ini.
Saya juga meminta Kerajaan Malaysia supaya
mendesak kerajaan Amerika Syarikat untuk campur tangan bagi mendapatkan
penyelesaian yang adil dan saksama untuk semua pihak yang berbalah di
bumi Palestin.
Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih
kepada Kerajaan kerana sudi menerima cadangan parti pembangkang
mengadakan sidang khas di Dewan Rakyat hari ini untuk menyuarakan
bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman yang berlaku di dumi
Palestin.
Pada hari Jumaat yang lalu, Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB telah meluluskan
resolusi menggesa dilaksanakan gencatan senjata secara serta-merta yang
mesti dihormati oleh semua pihak. Resolusi itu juga mendesak Israel
berundur dari Gaza dengan segera.
Saya bagi pihak DAP menyokong penuh Resolusi
1860 itu yang menggesa diadakan gencatan senjata segera, secara
berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, dan seterusnya membawa kepada
pengunduran seluruh askar Israel dari Gaza.
Majlis Keselamatan PBB turut menggesa agar
diambil langkah untuk menyekat penyeludupan senjata ke Gaza di samping
membenarkan penghantaran masuk bantuan kemanusiaan untuk 750,000
penduduk di Gaza.
Sebanyak 14 anggota majlis menyokong
resolusi berkenaan manakala Amerika Syarikat bersikap berkecuali.
Setakat ini Israel dan Hamas tidak pula menunjukkan sikap positif
terhadap resolusi itu.
Kita sedar terlalu
banyak pihak yang berkepentingan dalam konflik Palestin ini di mana
masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Masalah yang saya ingin
kemukakan ialah siapa yang benar-benar memikirkan nasib dan masa depan
rakyat Palestin?
Sudah banyak pihak
mengemukakan cadangan bagi melaksanakan proses damai di Palestin dan
semuanya tidak dapat bertahan lama. Namun saya berharap usaha damai
perlu diteruskan atas dasar kemanusiaan.
Saya menyokong usaha PBB untuk mencari
penyelesaian terhadap krisis yang semakin meruncing ini serta memastikan
proses perdamaian jangka panjang demi membela nasib orang awam tanpa
mengira di mana mereka berada.
Sebelum Resolusi 1860 yang menggesa gencatan
senjata serta mendesak Israel keluar dari Gaza, Majlis Keselamatan PBB
bulan lalu telah mengulangi ketetapan untuk menggalakkan usaha
mewujudkan penyelesaian dua-negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.
Saya menyokong usaha ini, seperti mana yang
dijelaskan oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, bahawa keamanan yang
berkekalan hanya boleh diwujudkan atas iltizam semua pihak untuk saling
menghormati dan mengiktiraf kewujudan masing-masing, bebas dari
keganasan dan kekejaman, dan penyelesaian dua-negara yang dibina atas
janji-janji dan tanggungjawab sebelum ini.
Saya berharap Kerajaan Malaysia juga
menyokong penuh usaha PBB melalui inisiatif "Quarter" bagi Asia Barat,
iaitu PBB, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) di samping
saluran-saluran lain yang mana matlamatnya adalah untuk memastikan
wujudkan perdamaian di Timur Tengah serta memastikan tidak ada lagi
nyawa orang awam menjadi korban konflik politik.
Walaupun kita sedar peranan Amerika dalam
Quartet ini masih boleh dipertikaikan kerana terlalu berlembut dengan
Israel, saya berharap setitik nila tidak akan menghancurkan usaha murni
perdamaian.
Quartet ini telah pun menyuarakan iltizam
untuk memastikan wujudnya sebuah negara Palestin yang berdaulat yang
berjiran dengan Israel yang dapat hidup aman dan damai. Apa yang telah
ditetapkan, dan boleh diubah suai mengikut keperluan, adalah "road map"
untuk menamatkan konflik yang kejam dan berdarah ini.
Walaupun Hamas menolak usaha Quartet, saya
berharap kita di Malaysia tidak akan berputus asa dan terus mencari
jalan untuk memujuk Hamas menyertai proses usaha damai yang dapat
memastikan berakhirnya pertumpahan darah serta tidak merugikan rakyat
Palestin.
Saya juga ingin menegaskan bahawa ini bukan
isu agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan
penyelesaian yang adil tanpa mendiskriminasi sesiapa mengikut agama dan
kaum. Ini adalah soal kemanusiaan sejagat yang harus diselesaikan
bersama tanpa sentimen tertentu.
Pendirian DAP adalah jelas – kami menolak
sebarang tindakan keganasan, sama ada dilakukan oleh kumpulan pengganas
atau mana-mana kerajaan. Selagi orang awam menjadi mangsa, selagi itulah
kami menganggapnya tindakan keganasan.
Dengan itu, saya menyeru semua sahabat saya
di Dewan yang mulia ini, agar sama-sama memberi sokongan penuh terhadap
usul ini, sebagai membuktikan iltizam kita sebagai rakyat Malaysia yang
menolak keganasan dan sebaliknya mencintai perdamaian dan keamanan.
* Lim Guan Eng,
Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Bagan