red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Perbahasan Tunku Abdul Aziz di Dewan Negara pada Selasa, 7 Julai 2009:

Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) ini.

Pertamanya, izinkan saya menyatakan bahawa rang undang-undang ini diperbincangkan apabila keyakinan rakyat terhadap pihak penguatkuasa dipertikaikan.

Di sini, saya merujuk kepada pihak polis dan Badan Pencegahan Rasuah yang gagal memperlihatkan peningkatan di dalam perkhidmatan mereka dan tunduk kepada kerakusan politik pemerintah.

IPCMC yang dicadangkan masih belum dilaksanakan sehingga sekarang, suruhanjaya bebas anti-rasuah juga masih tidak dapat dilaksanakan.

Agensi pendakwaan, pendakwaraya sering diserang atas kegagalan dalam pendakwaan mereka.

Tuan Yang Dipertua,

Bank data DNA yang diberi kuasa kepada pegawai polis yang dilantik oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri amat meragukan kewibawaan mereka nanti. Mereka-mereka ini bukanlah badan yang benar-benar bebas dan pihak menteri boleh melantik sesuka hatinya.

Saya merujuk kepada perkara 7 akta ini.

Sekiranya kita melihat cara pelaksanaan di Kanada, suatu perundangan itu memerlukan sebuah jawatankuasa parlimen bagi menjalankan penilaian skim bank data dalam jangkamasa lima tahun pelaksanaannya.

Tuan Yang Dipertua,

Rang Undang-undang DNA bertujuan untuk mengumpul, memproses dan menyimpan maklumat yang bersifat sensitif mengenai seseorang. Oleh yang demikian, ia tidaklah boleh dibentangkan tanpa diiringi oleh Kerajaan yang menghormati hak bersendiri atau privacy and liberty rights, dengan izin.

Menurut seksyen 28A Kanun Keseksaan Jenayah (CPC), rights to counsel dengan izin bermaksud sesuatu undang-undang itu tidak boleh beroperasi secara vakum. Sesebuah rang undang-undang itu mestilah dikontekskan dan dapat diterangkan. Sehinggakan undang-undang yang terbaik juga boleh disalagunakan dalam pelaksanaannya. Apatah lagi undang-undang yang tidak jelas seperti ini.

Tuan Yang Dipertua,

Sukacita saya untuk membentangkan 10 perkara yang menjadi keraguan saya sekiranya akta ini dilaksanakan:

1. Akta ini tidak ada keselamatan di dalam penyimpanan dan pengujian sampel-sampel DNA dan bagi profil DNA. Akta ini juga tidak ada keselamatan dari segi cara sampel-sampel atau profil dilaksanakan. Oleh itu, tidak ada peraturan jelas dinyatakan di sini.

2. Akta ini tidak mempunyai sebarang peruntukan bagi ujian sampel terhadap tertuduh yang benar-benar bebas. Akta ini tidak memberi peluang bagi tertuduh untuk menguji pengesahan sampel di mana mempunyai profil DNA tertuduh. Oleh itu, akta ini tidak memberikan jaminan dari segi laporan kimia sebagai bahan bukti profil DNA di mahkamah yang datang dari sampel yang sama diambil dari tertuduh yang sama. Perkara ini akan membawa 1001 keraguan.

3. Kategori pihak yang diambil sampel darah mereka adalah amat luas dan tidak jelas. Berlainan dengan Indeks Pesalah dan Indeks Bergantungan Dadah atau dengan izin The Detainee Index and Drug Dependants Index, dengan izin perkara 3(3) (d) & (e); 12 (2), (3) (b)& (c); 13 (2), (3) (b) & (c) yang bergantung kepada undang-undang darurat dan arahan pemulihan.

Dengan cara rang undang-undang ini digubal, ia seolah-olah pihak kerajaan ingin mencari profil dan mewujudukan menangkap ‘orang yang disangsi’.

Negara kita mempunyai sebuah akta yang terkenal, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Darurat (Emergency Ordinance). Di bawah akta ini, sesiapa sahaja boleh ditahan.

Oleh itu, mereka-mereka ini boleh dipaksa menyerahkan sampel DNA mereka, meskipun tidak ada penyiasatan terhadap kesalahan spesifik dijatuhkan terhadap mereka ini.

Tuan yang Dipertua,

Apa yang perlu Dewan Yang Mulia ini menekankan ialah:

1. Batalkan perdebatan rang undang-undang ini dan menyerahkan kepada rundingan ahli-ahli pakar di dalam bidang ini untuk mencadangkan kepada Dewan.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen atau sekurang-kurangnya sebuah jawatankuasa kerja di peringkat tertinggi untuk menyeldiki dan membuat pindaan kepada rang undang-undang ini. Jawatankuasa ini perlulah terdiri daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, pihak polis, Jabatan Kimia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan NGO-NGO yang berkaitan.

3. Meminda Perlembagaan dengan menambahkan hak-hak privacy dan memasukkan suatu rejim perlindungan data di dalamnya.

4. Menandatangani Konvensyen Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik.

Sekian ucapan saya.


* Tunku Abdul Aziz, Naib Pengerusi DAP & Senator Dewan Negara

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional