red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Perbahasan Tunku Abdul Aziz di Dewan Negara pada Rabu, 8 Julai 2009:

Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2008

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kerana dibenarkan untuk membahaskan rang undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2008 atau dengan ringkasnya SIAP.

Di dalam bab integriti, saya ingin menyentuh hanya kepada aspek polis dan cara tahap profesionalisme polis di Negara ini.

Tuan Yang Dipertua,

Saya telah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai salah seorang pesuruhjaya di dalam Suruhanjaya Diraja Penambahbaik Operasi dan Pengurusan Polis bersama teman-teman saya yang terdiri daripada dua bekas ketua hakim, seorang bekas Ketua Polis Negara dan badan-badan bebas dalam melihat dan mengkaji tingkahlaku badan kepolisian yang ada di Negara kita.

Dengan kajian yang sungguh mendalam, kami telah merumuskan bahawa kita memerlukan sebuah suruhanjaya bebas bagi memantau badan polis ini.

Saya mengambil contoh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipukul sehingga separuh mati semasa dalam tahanan. Saksi-saksi penting di dalam kes ini merupakan polis sendiri kerana Anwar berada di dalam tahanan pada ketika itu.

Pada awalnya, polis memang mempunyai niat untuk membohong apabila Ketua Polis Negara memukul Anwar di dalam sel lokap. Malah, Perdana Menteri juga mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar mencederakan dirinya sendiri.

Saksi polis yang terdiri daripada polis berpangkat tinggi dipanggil untuk memberi keterangan dan gagal untuk bekerjasama sungguhpun terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa tindakan ini adalah dari angkara Ketua Polis Negara pada ketika itu.

Suruhanjaya yang dibentuk pada 2004 telah mengusulkan 125 cadangan bagi pembaikan polis dan mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas, IPCMC ditubuhkan. Selepas lima tahun, cadangan ini masih tidak dapat dilaksanakan.

Polis sekarang berada dalam satu masalah moral yang besar. Jenayah yang dilakukan oleh polis bebas berleluasa.

Mengikut rekod, sebarang kematian yang berlaku di dalam lokap dengan bekas lebam sering ditutup. Tidak ada polis yang didakwa. Jumlah kematian di dalam tahanan meningkat. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan, terdapat 150 kematian dari tahun 1990 hingga 2004 (10.7 peratus kematian dalam setahun), 108 kematian dari tahun 2000 hingga 2006 (18 peratus setahun), dan, 85 kematian di antara tahun 2003 dan 2007 (21.25 peratus setahun).

Menurut laporan Malaysiakini 7 Februari 2005, dari tahun 1990 hingga September 2004, sebanyak 1,583 kematian direkodkan di 28 penjara seluruh Negara. Angka tertinggi ialah pada tahun 2003 di mana seramai 279 banduan mati.

Menurut kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2007, seramai 108 kematian dalam tahanan dilaporkan pada tahun 2000 hingga 2006.

Laporan Bernama 8 Julai 2008 pula melaporkan seramai 85 kematian dari 2003-2007.

Atas kesedaran itu, kami di dalam suruhanjaya mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas polis yang dipanggil Independent Police Complaints and Misconduct Commission, dengan izin atau dengan ringkasnya IPCMC ditubuhkan.

Tuan Yang Dipertua,

Polis sekarang gagal dalam menangani masalah jenayah yang semakin teruk. Pada tahun 2003, Royal Commission of Inquiry dengan izin atau RCI melaporkan terdapat sebanyak 156,315 kes. Angka tersebut jatuh melebihi 200,000 pada tahun 2007.

Rasuah yang dilakukan oleh polis sungguh memalukan. Polis juga dengan terang menyalah gunakan kuasa mereka dan melanggar hak asasi manusia dalam tugas mereka menjaga keamanan.

Polis menangkap orang berpakaian hitam, orang yang menyalakan lilin dan menyumbat mereka-mereka yang menyanyikan lagu harijadi ke dalam lokap selama tiga hari.

Tuan yang Dipertua,

Dari sudut integriti, kita mesti merujuk kepada tahap profesinalisme polis. Ahli-ahli dewan mestilah faham bahawa IPCMC dirangka bukan hanya untuk melindungi hak rakyat tetapi juga menjaga kebajikan polis.

Kita mahu pastikan bahawa polis menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang, peraturan dan prosedur yang betul.

Sebagai sebuah Negara membangun, kita masih lagi tidak meratifikasi Convention on Turture oleh PBB seperti Negara-negara yang lain.

Saya ingin mengambil contoh tidak berapa lama dahulu pada 20 Januari 2008 di mana mendiang Kugan Ananthan mati di dalam lokap. Bedah siasat kedua dan gambar-gambar yang diambil membuktikan terdapat cedera akibat pendarahan dalaman kerana dihentak secara kuat.

Tuan Yang Dipertua,

Saya merasakan seolah-olah usaha kami di dalam suruhanjaya satu usaha yang sia-sia sekiranya IPCMC dijalankan. Masa kami dibazirkan dan wang perbelanjaan tidak dimanfaatkan.

Justeru, secara kesimpulannya, saya ingin mencadangkan agar Dewan mempertimbangkan IPCMC sebelum membentangkan SIAP.


* Tunku Abdul Aziz, Naib Pengerusi DAP & Senator

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional