red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar oleh Lim Guan Eng di Kuching pada Jumaat, 31 Julai 2009: 

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada pagi ini menyampaikan salam takziah kepada Allahyarham YB Dato’ Haji Mohd Hamdan bin Abd Rahman, ADUN Permatang Pasir yang kembali ke rahmahtullah pada pagi tadi jam 6.10 di Institut Jantung Negara 

Ahli Exco Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada pagi ini yang dipengerusikan oleh YAB Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Dato’ Haji Mohd Hamdan bin Abd Rahman yang telah kembali ke rahmahtullah pada jam 6.10 pagi ini di Institut Jantung Negara.

Kerajaan Negeri juga bersimpati dengan ahli-ahli keluarga beliau dan akan membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah beliau.

Allahyarham YB Dato’ Haji Mohd Hamdan, semasa perkhidmatan beliau selama 3 penggal sebagai ADUN Permatang Pasir telah menjalankan amanah yang dipikulnya dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Beliau telah memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat dengan efisien dan berkesan.

Bermula dengan profession sebagai seorang guru pada tahun 1964, beliau telah berkecimpung dan bergiat aktif di dalam kegiatan sosial sejak tahun 1973 dan telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum.

Di atas semangat perjuangan dan pengorbanan beliau memperkasakan nasib rakyat, beliau telah dikurniakan darjah kebesaran Darjah Setia Pangkuan Negeri pada 11 Julai 2009 oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Dato’ kepada beliau.

Perginya seorang pemimpin seperti beliau adalah amat dirasai dan jasa serta khidmat bakti Allahyarham YB Dato’ Haji Mohd Hamdan bin Abd Rahman akan sentiasa dikenang hingga ke anak cucu.

Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan rohnya dicucuri rahmat.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional