red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar oleh Teresa Kok di Kuala Lumpur pada Isnin, 8 Jun 2009:

Muktamar PAS tidak harus mendesak Kerajaan mengharamkan pertubuhan Sisters In Islam (SIS)

DAP memandang serius terhadap usul yang diluluskan di Muktamar PAS hari ini untuk mendesak Kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) jika didapati ia melanggar ajaran Islam sebagaimana yang diamalkan oleh PAS.

Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama. Berbeza pendapat bukan bererti berperang; ia adalah sifat semulajadi manusia.

Sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat UMNO dan Barisan Nasional yang patut kita tolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka. Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza pendapat dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita.

Saya berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah Pakatan Rakyat untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin serta dilindungi.

Semua pihak menghormati Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan pada masa yang sama Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

Selama ini kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan UMNO dan Barisan Nasional. Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat.


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi DAP & Ahli Parlimen Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional