red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng sempena majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam Negeri Pulau Pinang bersama YAB Ketua Menteri di Dewan Tunku Geodesic, Komtar pada Rabu, 24 Jun 2009: 

Tuan Haji Yusof Musa, pemenang pertama hadiah ‘i’ Pulau Pinang kerana membongkar penyelewengan melebihi RM500 Ribu di Mahkamah Syarie 

Terima kasih saudara Pengacara Majlis.

Yang Berhormat Tuan Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri I,

Yang Berhormat Tuan Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II,

Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Halim bin Hussain, Speaker Dewan Undangan Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Haji Zainal Rahim bin Seman, Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Tuan Haji Farizan bin Darus, Pegawai Kewangan Negeri,

Yang Berhormat Puan Faiza binti Zulkifli, Penasihat Undang-Undang Negeri,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Ketua-ketua Jabatan,

Rakan-Rakan Media.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Bersyukur kita kepada rahmat yang diberikan yang membolehkan kita sekali lagi berkumpul di pagi yang ceria ini bagi menjayakan perhimpunan berkala bersama kakitangan perkhidmatan awam. Perhimpunan ini yang masih lagi berkisar tentang integriti selaras dengan konsep CAT yang komited ke arah urus tadbir berteraskan keCEKAPan (Competency), Akauntabiliti dan keTELUSan (Transparency).

2. Gejala rasuah telah menjadi buah mulut rakyat sehingga ia dianggap mengancam kemajuan, kemakmuran dan kestabilan ekonomi Negara. Betapa seriusnya gejala rasuah ini sehingga boleh dilihat di dalam skandal-skandal rasuah di Negara kita yang pernah dianggarkan oleh Morgan Stanley, sebuah Pengurus Dana Antarabangsa Amerika Syarikat melebihi angka USD100 bilion. Contoh yang paling baru adalah skandal Port Klang FTZ yang membabitkan RM12.5 bilion. Rasuah perosak bangsa dan kebahagiaan keluarga kerana pendapatan yang haram akan menghancurkan keimanan dan nilai-nilai murni. Tentulah Negara akan rosak apabila semua boleh dibeli. Hanya dengan menggantikan rasuah dengan integriti barulah kita dapat berjaya menjadi negeri bertaraf antarabangsa. Integriti dari aspek kompetensi bermaksud keupayaan berlaku tegas, amanah, jujur dan bertoleransi sebagai prinsip kehidupan(ability to act firmly, honestly and ‘walk the talk’).

3. Menyentuh tentang integriti perkhidmatan awam dan mengimbas kembali Hadiah ‘i’ yang diumumkan baru-baru ini, saya berasa bangga kerana baru sahaja diumumkan sudah ada pemenang di kalangan penjawat awam. Hadiah ‘i’ ini bukan diwujudkan semata-mata untuk meraikan kejayaan orang lain di atas kesengsaraan atau menghukum dan mencari aib orang tetapi atas kriteria membentuk sebuah kerajaan yang telus dan bebas daripada rasuah dan penyelewengan.

4. Anugerah integriti ini terbuka kepada semua peringkat anggota perkhidmatan awam yang berjaya mengetengahkan kepincangan, pembaziran, amalan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kewangan kerajaan yang mengakibatkan kerugian wang awam atau mengurangkan hasil negeri. Anggota perkhidmatan awam yang terpilih untuk Anugerah Integriti akan menerima :

  • Ganjaran wang tunai RM10,000.00

  • Sebuah cenderamata

  • Sijil Penghargaan

  • Dan lain-lain ganjaran yang sesuai akan ditentukan kemudian

Antara kriteria dan indikator yang akan digunakan dalam menilai pemenang adalah :

  • Penekanan kepada sikap terbuka individu yang berani memberi keterangan tentang penyelewengan yang berlaku di jabatan tanpa perlu dipelawa atau disoal;

  • Membongkar dengan rela hati segala bentuk salah laku, penyelewengan, rasuah nyata dan tidak nyata yang berlaku di jabatan;

  • Melaporkan amalan pentadbiran yang menyimpang dan tidak berhemah serta tidak mematuhi peraturan dan prosedur kewangan yang mengakibatkan kepada pembaziran dan kerugian wang rakyat;

  • Mengesan dan mencegah insiden penipuan di jabatan, serta mengenal pasti kelemahan dalam jabatan yang boleh membuka ruang kepada penipuan dan rasuah;

  • Amalan kejujuran, akauntabiliti dan integriti, komitmen serta kewajipan berkongsi maklumat secara telus untuk memastikan tindakan yang diambil adalah berkesan dan menepati waktu; dan

  • Impak penjimatan kewangan, pengurangan pembaziran wang awam dan peningkatan hasil negeri.

5. Niat yang baik akan tetap dibalas baik, sesungguhnya kebenaran akan terbukti jua. Itulah yang terjadi apabila Tuan Haji Yusof bin Musa yang baru sahaja melangkah kaki memikul tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Syarie, atas dasar keprihatinan dan ketekunan beliau meneliti semua fail-fail dengan niat mendalami selok belok jabatan baru tetapi lain yang beliau temui. Lagi dalam dikorek lagi bertambah kekeliruan dan kejanggalan yang beliau temui.

6. Penyelewengan yang berlaku telah dikenalpasti oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie, Tuan Haji Yusuf bin Musa, adalah melibatkan bayaran balik Bon Jamin yang berjaya dilesapkan yang secara keseluruhannya adalah melebihi setengah juta ringgit dan beliau juga berjaya menyekat dan menghalang lebih banyak wang daripada diselewengkan. Penyelewengan di Mahkamah Syarie ini berlaku kerana pegawai yang menyediakan baucer disyaki telah mengetahui ID pegawai yang diberikuasa sebagai penyemak dan juga ID bagi pegawai-pegawai yang diberi kuasa sebagai pelulus.

7. Di samping itu, penyelewengan ini juga telah berlaku kerana pegawai-pegawai yang bertindak sebagai penyemak dan pelulus telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada penyedia baucer iaitu orang yang disyaki melakukan penyelewengan dengan memberi kelulusan tanpa memeriksa dokumen yang perlu dikemukakan.

8. Penyelewengan ini telah dikesan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie, Tuan Haji Yusuf bin Musa, serta telah melaporkan kepada YB. Setiausaha Kerajaan pada Februari 2009. Selepas mesyuarat khas diadakan, satu laporan polis terhadap kes penyelewengan berkenaan telah dilaporkan pada hari yang sama. Y.A.A juga telah mengambil tindakan dengan mengarahkan pegawai yang disyaki untuk tidak menjalankan tugas tersebut dengan serta merta dengan mengeluarkan surat larangan menjalankan tugas-tugas kewangan di jabatannya.

9. Kini pegawai yang disyaki telah menghilangkan diri, manakala pegawai-pegawai lain yang disyaki terlibat dengan kes ini telah ditukarkan ke Jabatan yang lain atau telah diminta untuk tidak melaksanakan tugas-tugas berkaitan dengan kewangan.

10. Pasukan naziran Jabatan Kewangan Negeri juga telah melakukan siasatan dan pemeriksaan di atas perbuatan penyelewengan tersebut. Hasil pemeriksaan pihak Naziran Jabatan Kewangan Negeri, beberapa cadangan penambahbaikan telah dilakukan dan dilaksanakan bagi menjamin bahawa perkara yang sama tidak berulang lagi.

11. Kini kes ini masih lagi dalam siasatan pihak polis dan SPRM dan oleh itu butir-butir terperinci berkaitan penyelewengan ini tidak dapat dimaklumkan sehingga siasatan berkenaan diselesaikan.

12. Bukanlah niat Y.A.A. untuk mengaibkan orang, jauh sekali untuk sengaja mencari kesalahan, tetapi itulah keprihatinan dan sikap integriti yang ditanam di dalam hati beliau yang telah diterjemahkan dengan perbuatan. Disebabkan keprihatinan beliaulah maka penyelewengan di Mahkamah Syarie dapat dibongkar. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Tuan Haji Yusof Musa.

13. Sebagai seorang yang berkelulusan tinggi di dalam bidang undang-undang daripada UKM dan UIA, saya percaya Tuan Haji Yusof juga adalah seperti kita semua, manusia biasa yang mendapat pendidikan awal seperti orang kebanyakan. Tetapi mungkin sikap prihatin dan ketekunan beliau untuk meneliti setiap tugasan yang diamanahkan telah memberi kelebihan kepada beliau sehingga berjaya menggondol hadiah i ini. Saya berharap amalan baik ini akan dapat dijadikan contoh dan teladan kepada semua kerana nilai murni yang ditunjukkan oleh Tuan Haji Yusof Musa adalah nilai integriti yang berdasarkan kepada kejujuran dan objektiviti, tahap tatasusila yang tinggi serta sentiasa mempraktikkan nilai-nilai hidup murni dan penuh tanggungjawab dalam memastikan value for money. Memberi imej yang positif di mana wang rakyat tidak sepatutnya dibuat sewenang-wenangnya.

14. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri bagi menginstitusikan prinsip integriti yang terbaik di kalangan anggota perkhidmatan awam supaya seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengambil segala langkah yang perlu dalam mengamalkan prinsip disclosure based, di mana setiap aktiviti dijalankan dengan penuh ketelusan dan kebertanggungjawaban.

15. Kerajaan Negeri juga berpandangan serius terhadap isu-isu rasuah dan salahguna kuasa di kalangan warga perkhidmatan awam di mana satu pembentukan sistem pemantauan berkonsepkan “whistle-blowing” akan dibangunkan dalam masa terdekat ini. Sudah tiba masa pelaku rasuah tidak boleh terlepas sahaja dan yang mendedahkannya dihadiahkan dengan RM10,000.00. Sekali lagi Pulau Pinang memimpin dengan menjadi negeri pertama memberikan ganjaran RM10,000.00 Hasrat murni Kerajaan Negeri dalam membentuk masyarakat berintegriti perlu diambil perhatian serius oleh semua agensi kerajaan. Ketua-ketua agensi dan jabatan masing-masing perlu meningkatkan usaha untuk mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem urus tadbir yang berkesan. Ini termasuk sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan, serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.

16. Akhir kata, selaku pejawat awam yang berkhidmat di Negeri Pulau Pinang, sama-samalah kita bekerja dengan penuh integriti dalam memastikan aspirasi kepimpinan Kerajaan Negeri tercapai selari dengan prinsip CAT iaitu berjiwa rakyat, bersih dan beretika yang lebih berdaya maju dalam mengecapi kemakmuran dan jauh lebih adil dalam berkongsikan kemakmuran ini.

Sekian, terima kasih


* Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional