red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar oleh Ngeh Koo Ham di Kuala Lumpur pada Khamis, 5 Mac 2009:

Runtuhan kedaulatan undang-undang di Negeri Perak

Negeri Perak, sebuah Negeri dibawah naungan seorang Sultan yang dianggap mempunyai pengalaman yang pengetahuan yang tertinggi dalam undang-undang sekarang telah menjadi sebuah negeri yang tidak mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.

Kedaulatan undang-undang amatlah penting untuk memastikan sesebuah negeri itu aman tenteram dan dapat berkembang maju dengan baik.

Di Negeri Perak akibat daripada rampasan kuasa teraju Kerajaan Negeri Perak oleh BN, kita nampak kedaulatan undang-undang dicabuli dan diketepikan. Kejadian-kejadian berikut menunjukkan bahawa mereka yang sepatutnya mengikut undang-undang dan memastikan ia dipatuhi pula yang melanggarnya.

1. Pihak polis telah melanggar Seksyen 124 Kanun Kesiksaan. Polis mempunyai tugas untuk memastikan ADUN-ADUN dapat pergi dan memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tanpa ganguan dan halangan tetapi polislah pula pada 3hb Mac 2009 yang menghalang ADUN-ADUN daripada memasuki DUN.

2. Polis menerima tafsiran daripada setiausaha DUN (yang merupakan seorang yang berkhidmat dengan DUN sahaja) bahawa persidangan tergempar DUN pada 3hb Mac 2009 itu tidak sah tetapi tidak menerima tafsiran Tuan Speaker DUN yang telah menyatakan bahawa persidangan DUN yang telah dipanggil itu adalah sah. Bayangkan ini berlaku di parlimen dimana setiausaha Parlimen lebih berkuasa daripada Speaker Parlimen! Setiausaha DUN Perak, Encik Abdullah Antong sebelum ini telah memberitahu saya bahawa hanya pembukaan sidang sessi DUN baru yang memerlukan perkenan Tuanku Sultan dan persidangan-persidangan selepas itu ditetapkan oleh Tuan Speaker dan perkenan Tuanku Sultan tidak diperlukan. Saya difahamkan setiausaha itu dipaksa mengeluarkan Kenyataan Akbar berkenaan oleh pegawai atasan beliau. Kenyataan Akbar tersebut telah dikeluarkan tanpa ditandatangani oleh setiausaha DUN tersebut.

3. Pihak Polis menerima arahan daripada Setiausaha Negeri Perak untuk tidak membenarkan ADUN masuk ke DUN dan tidak mengendahkan arahan Tuan Speaker supaya membenarkan ADUN-ADUN masuk ke DUN. Bayangkan Ketua Setiausaha Negera mengarahkan polis supaya tidak membenarkan Ahli-Ahli Parlimen masuk ke Parlimen sementara Tuan Speaker memberi arahan supaya mengarahkan mereka dibenarkan masuk ke Parlimen dan pihak polis menguatkuasakan arahan Ketua Setiausaha Negera dan bukannya arahan Tuan Speaker Parlimen. Begitulah keadaan yang berlaku di Negeri Perak sekarang.

4. Dalam kes di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 3/3/32009 di antara Dato’ Zambry Bin Abdul Kadir dan 6 yang lain terhadap Tuan Speaker DUN Perak, Tuan Speaker tidak dibenarkan melantik peguamnya sendiri tetapi dipaksa diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri yang telah mengistiharkan beliau akan bertindak memihak Dato’ Zambry Bin Abdul Kadir dalam kes Dato’ Seri Nizar Bin Jamaluddin v Dato’ Zambry Bin Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Dato’ Zambry Bin Abdul Kadir dan 6 yang lain tersebut yang menganggap diri mereka masing-masing sebagai Menteri Besar Perak dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak (Exco) yang baru pula boleh melantik peguam-peguam mereka sendiri! Tuan Speaker tidak melantik Penasihat Undang-Undang Negeri atau Timbalannya dan Penasihat Undang-Undang Negeri atau Timbalannya sehingga hari ini langsung tidak mendapat arahan daripada Tuan Speaker tetapi Timbalan Penasihat Undang-Undang Negeri telah mengistiharkan dirinya sebagai mewakili Tuan Speaker. Apakah sudah berlaku kepada Malaysia ini dimana peguam yang tidak lantik boleh diterima oleh Mahkamah sebagai mewakili seseorang itu? Yang menakjubkan ialah Pesuruhjaya Kehakiman Y.A. Ridwan Bin Ibrahim boleh menerima perwakilan oleh Timbalan Penasihat Undang-Undang sebagai mewakili Tuan Speaker.

5. Jika dilapurkan betul dalam media Perintah Y.A. Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Bin Ibrahim telah memerintahkan bahawa Tuan Speaker tidak dibenarkan untuk mengadakan sidang DUN. Juga dilapurkan Mahkamah telah mengistiharkan persidangan DUN pada sebelah pagi 3hb Mac 2009 adalah tidak sah. Perintah sedemikian melanggar doktrin mengasingan kuasa diantara Eksekutif, Mahkamah dan badan Perundangan (DUN). Perintah sedemikian boleh tidak diendahkan oleh DUN.

6. Perintah Mahkamah dibuat terhadap Tuan Speaker dan DUN tanpa mereka diberi peluang untuk membela diri. Ini telah melanggar prinsip keadilan iaitu seseorang itu mesti diberi hak untuk membela diri sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya menghormati undang-undang yang ada. Biar pun samada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, pihak polis ataupun pihak Mahkamah, jika mereka tidak mengikut undang-undang, keputusan mereka tidak akan dihormati oleh rakyat. Keadaan akan menjadi semakin buruk.

Saya merayu sekali lagi kepada BN supaya menghormati sistem demokrasi kita dan bersetujulah membubarkan DUN supaya pilihanraya DUN Perak dapat diadakan untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan pilihan rakyat.


* Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak & Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak; Ahli Parlimen Beruas

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional