red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Junjung Kasih oleh Lau Weng San semasa membahas Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor di DUN Shah Alam pada Rabu, 11 Mac 2009:

Perlahan tetapi mantap, akhirnya menang pertandingan

Kegawatan ekonomi

1. Kerajaan negeri telah mengambil langkah awal untuk menangani masalah kegawatan ekonomi dengan beberapa strategi seperti membuka kaunter di PBT untuk mendaftar rakyat yang diberhentikan kerja, melancarkan Selangor Retrenchment Helpline dan sebagainya.

2. Dalam kegawatan ekonomi ini, Selangor masih mampu menarik masuk pelaburan sebanyak RM11.87 bilion, ini adalah satu pencapaian yang sangat memberangsangkan. Malangnya, rakan saya dari Kuala Kubu Baru pula tidak mempercayai angka ini. Maklumlah nilai pelaburan ini merupakan yang terbesar dalam sembilan tahun kebelakangan ini, jauh melebihi apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

3. Saya amat kecewa dengan pakej rangsangan ekonomi yang baru-baru ini diumumkan oleh kerajaan persekutuan di mana fokusnya amat berbeza berbanding dengan pakej rangsangan ekonomi kerajaan Selangor biarpun saiz pakej kerajaan Selangor (RM50 bilion) lebih kecil berbanding dengan saiz pakej kerajaan persekutuan (RM60 bilion).

4. Pakej rangsangan ekonomi kerajaan persekutuan itu jarang-jarang menyentuh tentang penambahbaikan system pengangkutan awam, malahan kerajaan persekutuan masih menambahkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk Dana Pembangunan Automotif serta memperkenalkan skim diskaun RM5,000 bagi pembelian kereta baru.

5. Kita tidak harus meneruskan dasar lapuk ini kerana bilangan kenderaan peribadi di jalan raya kita sudah terlampau. Saya tidak mahu melihat kerajaan persekutuan akan menggunakan alasan ini untuk membina lebih banyak lebuhraya bertol kerana ini akan terus memperkayakan kroni-kroni UMNO dan BN.

6. Pemulihan dan pembersihan semula Sungai Klang dan perluasan system pengangkutan di Selangor termasuk perluasan system transit aliran ringan adalah amat bersesuaian dengan keperluan warga negeri Selangor.

7. Ini kerana kita tahun bukan semua rakyat di Selangor mempunyai kereta, bukan semua ingin menukar kereta lama, tetapi adalah lebih baik wang ini digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan sistem pengangkutan awam.

8. Untuk itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya merancang system transit aliran pesat (MRT) di Lembah Klang di mana rangkaian LRT dipanjangkan dan dinaik-taraf daripada Stesen Kelana Jaya ke Lembah Subang, Kota Damansara, Sungai Buluh, Paya Jeras, Subang, Shah Alam, Bukit Raja, Kapar, Klang, Taman Muda, Batu Tiga, Puchong dan akhirnya Bukit Jalil.

9. Ini akan melengkapkan system aliran rel kita. Satu bulatan rel yang komprehensif bolehlah dibina dan dilengkapkan dengan sistem feeder bus yang merentasi bandar-bandar ini.

10. Kemudian fasa yang kedua boleh dirancang untuk kawasan-kawasan seperti Kajang, Bangi, Morib, Sepang di sebelah selatan serta Rawang, Gombak, Serendah, Rasa, Kuala Kubu Baru dan Ulu Bernam di sebelah utara.

11. Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya memandang serious terhadap masalah-masalah infrastruktur yang dihadapi oleh pelabur-pelabur dan pekilang-pekilang di Selangor. Saya seringkali menerima aduan daripada jurutera- jurutera yang bekerja di Zon Perindustrian bebas Sungai Way (Sungai Way FIZ) tentang keadaan jalan yang teruk dan berlubang-lubang.

12. Kerajaan negeri telah menubuhkan Industrial Park Management Committee (IPMC) untuk membantu penyelesaikan masalah-masalah infrastruktur yang dihadapi oleh golongan pelabur dan pekilang di semua PBT. Syabas kepada kerajaan negeri kerana aduan ini telah ditangani pada 5 Mac yang lalu tetapi kami pula ingin mengetahui pencapaian-pencapaian IPMC ini.

Masalah sosial masyarakat India

13. Saya menyeru kerajaan negeri untuk mengambil langkah yang holistik dalam menangani masalah sosial yang dihadapi oleh msayarakat India di Selangor ini. Masalah ini adalah begitu serious di mana saya tidak percaya ianya dapat diselesaikan oleh seorang Exco yang ditugaskan untuk menjaga portfolio Kerajaan Prihatin dan Kebajikan Pekerja Ladang.

14. Masalah ini ialah masalah seluruh rakyat Selangor kerana mereka yang akan merasai kesan-kesan negatif ini tidak lain tidak bukan rakyat negeri Selangor sendiri.

15. Masyarakat India menghadapi kadar keguguran sekolah dan kadar jenayah yang tinggi berbanding dengan etnik yang lain di Malaysia. Adalah tidak mencukupi jikakau kita hanya menyediakan bantuan kebajikan kepada mereka sedangkan kita perlu memikirkan cara-cara yang boleh mendatangkan faedah jangka panjang kepada mereka.

16. Justeru itu, saya mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi hak milik tanah kekal kepada semua SJKT-SJKT yang masih didirikan di dalam estet-estet di Selangor ini. Seperti sedia maklum, sekolah-sekolah yang didirikan di dalam estet ini selalunya tidak mempunyai hakmilik tanah mereka sendiri. Ianya hanya didirikan di atas tanah estet dan apabila estet itu dibangunkan untuk tujuan yang lain, SJKT yang ada di dalam estet itu juga perlu dipindah, malahan ditutup.

17. Walaupun kerajaan negeri mempunyai peruntukan yang terhad dalam hal ehwal pendidikan, di mana ianya terletak di bawah penguasaan kerajaan persekutuan, tetapi saya masih berpendapat kerajaan negeri mempunyai keupayaan sekurang-kurangnya memberi hak milik tanah kepada sekolah-sekolah ini bagi membolehkan mereka terus dibuka.

18. Institusi keagamaan juga perlu diperkukuhkan di kalangan anak-anak muda India ini agar mereka boleh dididik dengan sempurna dan tidak mudah terjerumus ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

19. Sekali lagi, saya memuji inisiatif-inisiatif kerajaan negeri yang baru untuk meluluskan tanah-tanah kepada rumah-rumah ibadat selain Islam yang selama ini tidak diberi layanan adil oleh kerajaan BN. Apa yang boleh dipertingkatkan lagi ialah untuk kita mengorak langkah untuk memasukkan pembangunan keagamaan semua warga negeri Selangor ini ke dalam arus pembangunan perdana, sama ada fizikal atau mental.

20. Pendekatan yang holistik sudah pasti akan melibatkan pembangunan modal insan. Untuk itu, saya bercadang kepada kerajaan negeri, biarpun dengan sumber-sumber yang terhad, melakarkan beberapa strategi untuk membantu anak-anak muda kita. Tahun ini, kita memperuntukkan RM12juta untuk membantu sekolah SJKC, SJKT dan sekolah-sekolah aliran yang lain.

21. Saya berharap tahun depan kita boleh mempertingkatkan peruntukan ini sekurang-kurangnya RM6juta untuk SJKC, RM6juta untuk SJKT dan RM6juta daripada peruntukan JAIS untuk pembangunan pendidikan Islam di Selangor.

22. Saya amat bersetuju dengan tindakan barisan Exco yang akan mengumumkan kepada orang ramai harta benda mereka sejak dilantik menjadi Exco.

23. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mampu membukti kepada rakyat bahawa kami mampu melaksanakan apa yang kami janjikan semasa pilihanraya.

24. Justeru itu, saya juga bercadang supaya semua Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia, khususnya ADUN-ADUN BN ini untuk turut mencontohi tindakan Exco kita.

25. Mempunyai harta yang banyak tidak bermakna seseorang itu tidak bersih. Apa salahnya untuk orang lain tahu tentang harta kita asalkan kita memperolehinya dengan cara yang halal. Tetapi kalau seseorang itu mengambil wang kerajaan untuk membeli harta di Mekah pula lain ceritanya.

Pentadbiran awam

26. Sektor awam yang berintegriti dan profesional memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan negara. Integriti dan profesional bukan hanya dihadkan sebagai bersih dan tidak berasuah sahaja.

27. Pentadbiran awam yang berintegriti dan profesional juga bermakna pentadbiran yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan politik. Tugas kakitangan awam tidak lain tidak bukan melaksanakan keputusan dan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh eksekutif.

28. Saya berasa kecewa apabila baru-baru ini terhadap beberapa insiden di negeri lain di mana berlakunya kakitangan-kakitangan mengingkari arahan daripada atasan. Perkara seperti ini tidak harus berlaku kerana kakitangan awam sepatutnya berkhidmat untuk sesiapapun tanpa mengira fahaman politik dan keturunan bangsa.

29. Kerajaan negeri harus mengambil ikhtibar daripada perkara ini dan tidak harus teragak-agak untuk menukarkan mereka yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang tinggi. Perkara yang sama juga untuk pegawai-pegawai atau kakitangan-kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri di dalam badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat GLC kerajaan negeri.

30. Oleh itu, arahan supaya Ketua Eksekutif dan Pengurus Kewangan PNSB diberi cuti bergaji selama 30 hari supaya kajian selidik dan kemaskini rekod perakaunan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) merupakan satu langkah bijak untuk memastikan syarikat-syarikat GLC sentiasa mengikut dasar-dasar kerajaan negeri.

31. Seterusnya, saya ingin mencadangkan supaya setiap orang Exco diperuntukkan seorang Setiausaha Tetap oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

32. Pada masa sekarang, setiap Jawatankuasa Tetap yang dipengerusi oleh seseorang Exco itu mempunyai seorang Setiausaha sebagai urusetianya di bawah UPEN. Saya berpendapat struktur sebegini tidak begitu mantap berbanding sistem yang digunakan oleh kementerian-kementerian di kerajaan persekutuan, di mana setiap kementerian di kerajaan persekutuan mempunyai seorang Ketua Setiausaha (KSU) yang bertugas untuk menguruskan segala arahan daripada Menteri dan Timbalan Menteri.

33. Saya berpendapat mungkin lebih baik jika kita mengikut cara yang sama seperti di kerajaan persekutuan supaya perjalanan kerja dan pelaksanaan dasar yang dapat dijalankan dengan lebih mantap, berkesan dan cekap.

34. Seterusnya, saya juga menyarankan kepada kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pengambilan kakitangan-kakitangan awam daripada kalangan bukan Bumiputera untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasarnya.

35. Kakitangan-kakitangan awam bukan Bumiputera ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan negeri tetapi mamainkan peranan yang penting untuk membantu melaksanakan dasar-dasar kerajaan di kalangan masyarakat bukan Bumiputera di Selangor melalui penerbitan bahan-bahan bacaan dalam pelbagai bahasa.

36. Peratusannya pada masa sekarang amat tidak seimbang dan saya berpendapat alasan bahawa warganegara bukan bumiputera tidak berminat memohon jawatan di perkhidmatan awam adalah tidak bernas dan tidak berasas. Saya pernah menerima aduan bahawa ramai pernah menulis untuk memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi tidak diambil padahalnya terdapat ramai di kalangan mereka yang mempunyai kelayakan akademik dan kesihatan tubuh badan yang bersesuaian.

37. Dengan itu, saya mencadangkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa khas atau task-force untuk meneliti perkara ini.

Keseimbangan alam sekitar dalam pembangunan fizikal negeri

38. Kita sekali lagi terkejut dengan peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku pada awal bulan Disember 2008. Peristiwa ini memang bukan perkara yang baru untuk kita semua kerana ianya pernah terjadi di kawasan yang sama.

39. Peristiwa ini sekali lagi membuktikan larangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan lereng bukit Kelas 3 dan ke atas merupakan satu keputusan yang tepat biarpun ianya dikritik oleh ramai pemaju yang mempunyai tanah di lereng-lereng bukit Kelas 3 dan 4.

40. Kita bukan sakadar memerlukan undang-undang yang mencukupi untuk mengawal-selia pembangunan fizikal di lereng-lereng bukit, malahan kita memerlukan kapasiti yang mencukupi untuk melaksanakan pemantauan yang rapi terhadap pembangunan lereng bukit.

41. Sekiranya kita masih belum mampu mempertingkatkan kapasiti kita, maka saya mencadangkan supaya kita mengekalkan larangan ini.

42. Sementara itu, kerajaan wajar mencontohi apa yang dilakukan oleh negara-negara lain yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kawalan pembangunan lereng bukit seperti Hong Kong dan Singapura. Kejadian tanah runtuh seperti ini pernah terjadi di Hong Kong pada tahun 1980-an tetapi kerajaan Hong Kong telah berjaya mengawal kejadian ini di lereng-lereng bukit mereka dengna pemantauan dan pengawalseliaan yang rapi.

43. Institut Jurutera Malaysia (IEM) pernah membuat cadang terhadap perkara ini kepada kerajaan pada tahun 2001 dan kini sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang dengan melibatkan NGO-NGO seperti IEM dan sebagainya.

44. Saya juga amat kecewa dengan laporan akhbar bahawa PAC telah membongkarkan aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpanan berdekatan dengan Kajang. Kerajaan negeri yang lalu telah meluluskan lesen pembalakan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan aktiviti pembalakan dalam MMKN November 2006 di tapak hutan simpanan ini. Keputusan ini telah menyebabkan kehilangan kawasan tadahan air yang luas dan menyebabkan kejadian banjir kilat di Bandar Kajang kebelakangan ini.

45. Kerajaan negeri perlu menghentikan pemberian lesen sebegini dan menjalankan tindakan yang tegas terhadap sebarang aktiviti pembalakan haram di Selangor kerana balak seperti juga pasir, merupakan sumber alam sekitar yang amat berharga untuk seluruh warga negeri Selangor.

Pindaan terhadap garis panduan perancangan bandar dan desa

46. Kerajaan negeri telah bertekad untuk menjalankan pembangunan semula di kawasan-kawasan terbiar di Petaling Jaya dan Klang. Saya mengalu-alukan usaha ini dan ingin menyarankan supaya pelaksanaannya dijalankan dengan telus dengan melibatkan segenap lapisan masyarakat tempatan.

47. Saya ingin meminta perhatian kerajaan negeri dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) untuk mengambil maklum tentang perkara ini bahwa pembangunan semula ini harus mengambil kira kapasiti jalan raya dan lebuh raya kita untuk menampung kenaikan aliran trafik. Tiada gunanya kita mengadakan projek-projek pembangunan semula jikalau kita gagal menangani isu-isu kesesakan trafik ini.

48. Selain itu, terdapat beberapa pindaan yang saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri dan JPBD untuk melihat beberapa perkara seperti berikut:

49. Piawaian untuk menentukan bilangan Tempat Letak Kereta (TLK) di pembangunan perumahan berbilang tingkat (highrise) perlu ditukar. Sekarang hanya 1 TLK disediakan untuk setiap unit rumah kos rendah berbilang tingkat. Untuk kos sederhana rendah, sederhana dan tinggi, diperuntukkan 1.5 TLK hingga 2 TLK.

50. Ini adalah tidak mencukupi dan selalunya pemaju hanya memperuntukkan 1 TLK sahaja walaupun untuk perumahan berbilang tingkat kos tinggi kerana yang satu lagi perlu dibeli. Ini telah menyebabkan orang ramai memilih untuk meletakkan kereta di luar dan menyesakkan lalulintas jalan tersebut.

51. Lebih-lebih lagi, kebanyakkan pembeli rumah ini menyewa rumah mereka dan kadang-kala sesuatu unit itu akan didiami oleh lebih daripada dua orang penyewa yang membawa kereta sendiri.

52. Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) sebagai sebahagian daripada Draf Rancangan Tempatan Daerah Petaling dan Sebahagian Klang (RTDPSK) sehingga sekarang masih belum diwartakan.

53. Apa sudah berlaku? Bilakah Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam akan bersidang semula untuk menentukan butiran-butiran terperinci terhadap RTDPSK dan apakah wakil-wakil rakyat akan dijemput untuk turut menghadiri mesyuarat ini?

Mengambil alih Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada tanah jajahan Tuanku Sultan Selangor

54. Saya juga ingin menggesa kerajaan negeri untuk melihat kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil semula seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk dikembalikan kepada pangkuan Tuanku Sultan Selangor.

55. Pada tahun 1974 demi menjaga survival politik UMNO dan Barisan Nasional di Selangor, Menteri Besar UMNO pada masa itu telah membuat keputusan untuk menyerah seluruh Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat, kononnya naik dijadikan sebagai “wilayah persekutuan”, naik dipertingkatkan kualiti hidup warga kota dan sebagainya.

56. Selama 35 tahun DBKL dan Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan gagal memperbaiki pentadbiran Kuala Lumpur sehingga pernah DBKL diambil alih oleh Pemudah untuk merawat DBKL.

57. Jikalau begini, adakah perlu Kuala Lumpur terus diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan? Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan sudah mempunyai Putrajaya sebagai pusat pentadbirannya di mana Putrajaya sebelum ini merupakan sebahagian daripada negeri Selangor. Malahan apabila Selangor menyerah Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor hanya dibayar RM200 juta sahaja. Apakah nilai RM200 juta pada masa sekarang?

58. Apabila kerajaan negeri melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor, kita tidak pernah melupakan Kuala Lumpur. Mana-mana rakyat yang dilahirkan sebelum 1 Februari 1974 layak memohon pelbagai program kebajikan di bawah MUE.

59. Malahan, mereka tidak dapat menikmati bekalan air percuma walaupun air bekalan ke KL dibekalkan sebuah syarikat yang menggunakan nama “Selangor”.

60. Dari segi politik, warga kota Kuala Lumpur hanya mempunyai satu undi, hak demokrasi mereka untuk bersuara di DBKL atau DUN dihapuskan.

61. Keputusan yang dibuat Datuk Bandar KL juga mempunyai kesan terhadap PBT-PBT yang mengelilingi KL. Datuk Bandar PJ pernah memohon berjumpa untuk berbincang tentang projek pembangunan lereng bukit di Bukit Gasing sebelah DBKL. Kita sudah pasti tidak mahu peristiwa hitam Bukit Antarabangsa berlaku di Bukit Gasing.

62. Jika kerajaan persekutuan sudah ada Putrajaya, maka pulangkan Kuala Lumpur kepada Selangor. Pada saya, Kuala Lumpur ibaratkan darah daging negeri Selangor. Ianya bukan sahaja secara fizikal dekat dengan Selangor, malahan banyak peristiwa bersejarah di Selangor berlaku di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada warisan Selangor. Kawasan saya di Petaling Jaya, kalau bukan kerana Kuala Lumpur, maka Petaling Jaya tidak akan wujud.

63. Maka apabila saya difahamkan YAB Ijok disiasat oleh SPRM kononnya menyumbang lembu kepada surau dan masjid Parlimen Bandar Tun Razak, saya jatuh dari kerusi saya kerana nampaknya BN bukan sahaja jahiliyah dari segi sejarah Kesultanan Melayu Melaka, malahan daif dari segi sejarah moden Negara kita.

64. Saya berharap kita semua boleh bersama-sama membantu warga kota.

Perumahan awam

65. Perumahan awam di Lembah Subang di bawah pengelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan satu masalah yang besar.

66. Kerajaan negeri wajar mendesak KPKT untuk menyelesaikan masalah ketiadaan CF untuk perumahan kos rendah ini. Saya difahamkan daripada laporan akhbar bahawa KPKT telah mendirikan projek ini di atas tapak bekas sampah. Memang ini satu kesilapan KPKT yang besar tetapi kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif untuk mengkaji bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini.

Sekian, terima kasih.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional