red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Sabtu, 2 Mei 2009:

Kerajaan pusat bertanggungjawab jikalau PRK Kota Alam Shah diadakan kerana perletakan jawatan M. Manoharan

Kerajaan pusat bertanggungjawab jikalau kerusi ADUN Kota Alam Shah terpaksa dikosongkan akibat perletakan jawatan YB M. Manoharan atas alasan tidak dapat berkhidmat kepada rakyat kerana masih di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada masa sekarang, M. Manoharan masih ditahan di bawah ISA. Portal berita web Malaysiakini telah menerbitkan satu laporan bahawa terdapat ura-ura bahawa M. Manoharan mungkin akan melepaskan kerusi ADUNnya memandangkan beliau masih ditahan di bawah ISA dan ini menyebabkan beliau tidak dapat berkhidmat untuk rakyat.

Keputusan kerajaan pusat untuk terus menahan M. Manoharan di bawah ISA ialah tindakan yang tidak boleh diterima kerana M. Manoharan merupakan seorang wakil rakyat bermartabat yang dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. M. Manoharan telah berjaya menggondol undi majoriti yang besar, iaitu sebanyak 7184 undi, biarpun beliau tidak dapat hadir untuk berkempen. Keputusan ini menunjukkan kepada kerajaan pusat bahawa rakyat di Kota Alam Shah tidak menerima tindakan kerajaan pusat menahan beliau di bawah ISA dan mereka tetap menerima beliau sebagai ADUN mereka biarpun beliau masih ditahan di bawah ISA.

Kini sudah sampai masanya untuk seluruh rakyat mendesak kerajaan pusat untuk melepaskan M. Manoharan supaya beliau dapat menjalankan tugas rasminya sebagai seorang wakil rakyat. Jikalau kerajaan enggan berganjak, ini hanya sekali lagi menunjukkan kerajaan pusat di bawah Dato’ Seri Najib Razak tidak mempunyai keinginan untuk membebaskan wakil rakyat daripada penahanan ISA agar mereka dapat menjalankan tugas mereka. Sememangnya ini bukan tindakan yang sepatutnya untuk sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Malahan, sejak Dato’ Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau pernah beberapa kali menyatakan bahawa rakyat sudah jemu dengan pilihanraya kecil yang berjalan tanpa berhenti. Beliau juga pernah mengkritik Pakatan Rakyat kerana menyebabkan beberapa pilihanraya kecil. Jikalau Najib adalah ikhlas terhadap kata-katanya, maka beliau perlu segera melepaskan M. Manoharan.

Saya akan menulis surat kepada Pejabat Menteri Besar Selangor dan meminta Kerajaan negeri turut membantu mendesak Kerajaan Pusat melepaskan M. Manoharan.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional