Kenyataan Media oleh Ngeh Koo Ham di Ipoh pada Selasa, 5 Mei 2009: Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April 2009 tidak membenarkan Dato’ Seri Zambry bin Abdul Kadir & 6 ADUN yang lain memasuki Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 Banyak kekeliruan telah timbul akibat daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16/4/2009, samada Dato’ Seri Zambry bin Abdul Kadir dan 6 ADUN yang lain berhak untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Penjelasan berikut jelas menunjukkan bahawa Dato’ Seri Zambry bin Abdul Kadir dan 6 ADUN yang lain tidak berhak untuk memasuki Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Pada 18/2/2009 Jawatankuasa hak dan kebebasan Dewan Negeri telah membuat keputusan untuk mengantungkan ADUN Pangkor, Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir ( gelaran seperti pada masa itu ) daripada menghadiri sidang Dewan Negeri selama 18 bulan dan Encik Zainol Fadzi Bin Haji Paharuddin (ADUN Sungai Manik), Dato’ Ramly Zahari (ADUN Manong), Puan Hamidah Binti Osman (ADUN Sungai Rapat), Encik Saarani Bin Mohamad (ADUN Rungkup), Encik Mohd Zahir Abdul Bin Khalid (ADUN Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang) digantung daripada hadir sidang Dewan Negeri selama 12 bulan. Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri yang telah bersidang pada 3/3/2009. Pihak Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir dan 6 ADUN yang tersebut di atas telah memohon kepada mahkamah untuk satu pengisytiharan berkenaan dengan penggantungan mereka daripada menghadiri Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan. Mereka telah mengambil tindakan mahkamah tersebut terhadap Speaker DUN dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan dan kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan. Walau bagaimanapun, pada 2/4/2009 mereka telah memohon menarik balik tindakan mahkamah tersebut terhadap Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan dan tindakan terhadap Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada hari tersebut. Pada 16/4/2009, Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan 2 daripada 10 perintah-perintah yang dipohon oleh mereka dan sekarang sudah timbul persoalan samada Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir dan 6 ADUN yang tersebut di atas boleh menghadiri Mesyuarat sidang Dewan Negeri yang akan diadakan pada 7/5/2009. Mahkamah Persekutuan telah membenarkan dua perisytiharan seperti berikut:- 1. Bahawa keputusan Speaker DUN menggantung Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri selama 18 bulan adalah tidak sah dan terbatal. 2. Bahawa keputusan Speaker DUN menggantung 6 ADUN yang tersebut di atas daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri selama 12 bulan adalah tidak sah dan terbatal. Keputusan di atas adalah tersilap kerana bukan Speaker DUN yang telah membuat keputusan penggantungan tersebut tetapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri dan Dewan Undangan Negeri yang telah memutuskan tentang penggantungan tersebut. Oleh yang demikian, keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Dewan Undangan Negeri masih sah dan berkuatkuasa dan Speaker DUN sebagai pengerusi dan ahli dalam Jawatankuasa tersebut dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah terikat dengan keputusan yang telah diputuskan oleh kedua-dua badan tersebut. Sebenarnya kes tersebut tidak harus dibawa terhadap Speaker DUN kerana perlindungan yang diberikan kepada Speaker DUN di bawah Seksyen 3 Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959 yang berbunyi seperti berikut:-
Tambahan pula, keputusan Mahkamah Persekutuan merupakan satu pengistiharan sahaja dan bukannya satu certiorari atau mandamus. Ia tidak mengikat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan. Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tentang keistimewaan Dewan Negeri dan Perkara 72(1) memperuntukkan seperti berikut:- Keistimewaan Dewan Negeri “Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah”. Tindakan Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir dan 6 ADUN tersebut terhadap Speaker DUN juga adalah bertentangan dengan Perkara 72(2) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:-
Apa yang memperkukuhkan kesimpulan bahawa Dato’ Zambry bin Abdul Kadir dan 6 ADUN yang lain tidak berhak menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 ialah kerana Mahkamah Persekutuan telah MENOLAK permohonan Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir dan 6 ADUN tersebut untuk perintah-perintah berikut:-
Keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditafsirkan oleh peguam-peguam Pakatan Rakyat sebagai Dato’ Zambry Bin Abd. Kadir dan 6 ADUN lain tersebut tidak berhak untuk menghadiri Dewan Undangan Negeri dan keputusan Dewan Undangan Negeri pada 3/3/2009 dianggap sah. * Ngeh Koo Ham, Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak & Penyelaras Pasukan Peguam-Peguam Pakatan Rakyat
|