Kenyataan Media oleh Lee Ying Ha di Petaling Jaya pada Rabu, 6 Mei 2009: DAPSY tidak akan mengiktiraf kerajaan negeri yang terbentuk dengan berlakunya pembelotan politik Timbalan Pengerusi Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY), Jenice Lee Ying Ha, bersama ahli-ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY telah mengadakan sidang media hari ini untuk menyeru semua rakyat Malaysia supaya menyokong kempen Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan berpakaian hitam pada 7hb Mei sebagai tanda protes terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak yang mencaci perlembagaan persekutuan dan merampas kuasa dengan cara haram. Lee juga membidas tangkapan aktivis merangkap ahli akademik Wong Chin Huat semalam selepas melancarkan kempen BERSIH pada pagi itu, dan mendesak kerajaan agar membebaskan Wong dengan serta merta. Beliau berpendapat bahawa tindakan berikut adalah untuk menakutkan rakyat terutamanya pembela-pembela demokrasi yang bercadang untuk menyertai kempen BERSIH. Lee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Teratai menegas bahawa DAPSY tidak akan mengiktiraf kerajaan negeri yang terbentuk dengan berlakunya pembelotan politik. Jika BN berpendapat bahawa mereka mendapat sokongan rakyat, mereka tidak harus teragak-agak dan berasa takut untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengembalikan hak memilih kerajaan negeri kepada rakyat. Tambahan pula, rakyat telah membuat desakan yang paling kuat melalui peti undi dalam piliharaya kecil Bukit Gantang pada 7hb April untuk membubarkan DUN Perak dan mengembalikan hak rakyat. Tindakan untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan pembelian katak-katak politik dan penyalahgunaan jentera kerajaan telah menghancurkan sistem demokrasi yang dibina dengan usaha rakyat dalam tempoh 52 tahun dan mengarahkan rakyat jelata ke dalam zaman gelap bagi demokrasi di Malaysia. Beliau menyeru ahli-ahli DAPSY dan para pembela demokrasi agar berduduk tenang di depan bangunan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan aktiviti surat rayuan. Beliau juga meminta mereka yang hadir untuk mengawal diri bagi mengelakkan sebarang kekecohan. Beliau mengatakan bahawa, tahun 1988 adalah titik permulaan zaman gelap kehakiman Malaysia. Oleh sebab berlakunya campur tangan kuasa eksekutif dalam kehakiman, rakyat telah hilang keyakinan terhadap sistem kehakiman di negara kita. Episod campur tangan kuasa eksekutif dalam kehakiman pula merupakan kata pendahuluan bagi zaman gelap demokrasi. Perlembagaan Malaysia dengan jelas mendukung konsep pemisahan ketiga-tiga cabang kuasa dalam system demokrasi Malaysia. Cabang-cabang kehakiman, eksekutif dan parlimen beroperasi secara berasingan dengan pengawasan dan keseimbangan antara satu sama lain. Cabang kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim; cabang eksekutif diketuai oleh Perdana Menteri (ataupun Menteri Besar di peringkat negeri); manakala cabang parlimen diketuai oleh Speaker Dewan. Zambry telah mengesampingkan kedudukan Speaker DUN Perak dengan menguasai pekerja-pekerja perkhidmatan awam dan jentera eksekutif dengan cara yang terlampau sekali. Tindakan Zambry mengarah Setiausaha DUN Perak untuk mengeluarkan notis sidang DUN dan mengarah Jabatan Penerangan SUK untuk menetapkan syarat-syarat laporan akhbar telah menunjukkan bahawa Setiausaha DUN adalah pemimpin agung dalam dewan undangan. Lee mengatakan bahawa, jika Menteri Besar boleh tukar-menukar Speaker DUN dengan sesuka hati, konsep pemisahan ketiga-tiga cabang kuasa akan digantikan oleh konsep gabungan ketiga-tiga cabang kuasa. Perluasan kuasa eksekutif sebegini telah mengakibatkan kehilangan erti demokrasi berparlimen dan kehilangan peranan wakil rakyat untuk menyemak kerajaan. Akhirnya, dalam pemerintahan yang didominasi oleh satu unsure kuasa, rakyat akan ditindas dengan sesuka hati tanpa mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan keadilan dengan cara demokratik. Lee dengan akhir sekali mendesak bahawa kemelut politik ini diselesaikan dengan secepat mungkin dengan pembubaran DUN Perak yang dikenal pasti oleh beliau sebagai tindakan yang tepat dan paling terus terang kerana rakyat akan mendapat hak untuk memilih kerajaan yang diingini. * Lee Ying Ha, Timbalan Pengerusi Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) & ADUN Teratai
|