Perutusan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia oleh Lim Guan Eng di Petaling Jaya pada Ahad, 3 Mei 2009: Hapuskan undang-undang menyekat kebebasan media untuk jayakan usaha wujudkan Bangsa Malaysia Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini, saya ingin menyatakan bahawa jika Kerajaan Pusat bersungguh-sungguh melaksanakan reformasi dan demokrasi, ia perlu terlebih dahulu membebaskan akhbar dan media dari cengkaman pemerintah. Tidak ada gunanya menjanjikan segala kebaikan untuk rakyat jika rakyat tidak dibenarkan bersuara dan berekspresi dengan bebas tanpa takut kepada undang-undang yang sering disalahgunakan. Amalan buruk ini masih berlaku apabila Kerajaan Negeri Perak yang telah dirampas boleh Barisan Nasional membuat keputusan untuk menghalang akhbar berbahasa Cina serta media alternatif daripada membuat liputan pada sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Mei ini. Tindakan ini jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengutamakan rakyat Malaysia; menonjolkan sekali lagi sikap tiada tolak ansur kerajaan BN terhadap demokrasi dan kebebasan media. Lebih memalukan lagi, Malaysia terus jatuh kedudukan dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia - di tangga ke-132 daripada 174 negara pada tahun 2008, sebagaimana yang dicatatkan oleh Reporters Sans Borders (RSF). Malaysia jatuh dari kedudukan yang sudah pun buruk di tangga ke-124 pada tahun 2007. Sebelum ini pada tahun 2006, Malaysia berada di tangga ke-92. Ini bermakna kebebasan akhbar dan media semakin hari semakin buruk. Ini juga bererti segala janji untuk pemulihan dan perubahan negara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri hanyalah janji kosong belaka. Sekali lagi saya sarankan supaya Kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan menghapuskan Akta Rahsia Rasmi 1972 yang perlu digantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat. Saya juga berharap para wartawan dan pengarang, khususnya dari media arus perdana, supaya bertindak lebih adil dan profesional dalam menjalankan tugas. Jangan hanya ghairah mencari kesalahan dan kesilapan dari Pakatan Rakyat (walau pun mungkin tidak ada apa-apa isu pun) tetapi diam seribu bahasa apabila penyelewengan dan salah guna kuasa Barisan Nasional jelas terpampang. Janganlah hanya nampak kuman di seberang laut tetapi gajah di depan mata pura-pura tak nampak. Semoga Hari Kebebasan Media Sedunia ini sekali lagi memberi kita semua inspirasi untuk terus memperjuangkan kebebasan dan keadilan. * Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|