red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Steven Simdi Pulau Pinang pada Rabu, 18 November 2009:

Malaysia merosot lagi dalam indeks persepsi rasuah: Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang dukacita tetapi tidak terkejut

Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang berasa amat berduka cita dengan pencapaian Malaysia yang merosot teruk dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perspective Index) Transparency International 2009. Walau bagaimanapun, kejatuhan Malaysia dari kedudukan 47 kepada kedudukan 56 bukan merupakan sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana walaupun sudah sekian lama desakan membanteras rasuah menjadi sebahagian daripada perjuangan Pemuda Sosialis DAP, Pakatan Rakyat serta badan-badan bukan Kerajaan di Malaysia, Kerajaan UMNO-Barisan Nasional masih mengambil sikap sambil lewa terhadap isu ini.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) juga hilang kredibiliti akibat beberapa skandal profil tinggi termasuk kematian mengejut Sdr. Teoh Beng Hock di ibu pejabat MACC, skandal RM12 billion PKFZ, skandal rakaman video Lingam manipulasi badan kehakiman negara, sasaran terhadap pemimpin Pakatan Rakyat yang berbaur politik manakala pemimpin UMNO-BN yang mampu memiliki mahligai-mahligai besar tidak tersiasat. Jikalau badan pencegah rasuah utama negara kita tidak dapat memberi jaminan untuk berfungsi secara cekap, telus dan saksama, maka tidak hairan Malaysia telah merosot, dan akan menjadi lebih teruk lagi, dalam gejala rasuah.

Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang ingin menyeru supaya Perdana Menteri mengambil langkah serta merta dalam menanangi isu rasuah, termasuk rombakan MACC seperti melibatkan calon lantikkan barisan Pembangkang dalam panel penasihat MACC serta meletakkan MACC di bawah pemantauan Parlimen melalui jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai wakil Rakyat dari Kerajaan dan Pembangkang.

Akhir sekali, Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang juga ingin menyeru kumpulan "CAT Watch" Parti Gerakan supaya membetulkan prioriti mereka. Sebagai parti komponen Barisan Nasional, Gerakan langsung tidak kelihatan memperjuangkan isu membanteras rasuah dalam Kerajaan UMNO-Barisan Nasional tetapi sering melontar tomahan tak berasas ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menerima pujian daripada Transparency International dan Ketua Audit Negara atas dasar pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus. Walaupun Kerajaan Negeri sedia menerima kritikan membina, namum Gerakan patut menitikberatkan masalah dalaman terlebih dahulu dan bukan bermain politik sekadar mengkritik membuta tuli. Jika mengkritik pihak lain sedangkan Kerajaan sendiri telah jatuh reputasi akibat rasuah berleluasa, maka akan dilabelkan hipokrit.


* Steven Sim, Bendahari Pemuda Sosialis DAP Negeri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional