red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Satees Muniandy di Pulau Pinang pada Jumaat, 26 November 2009:

Masalah pelarian perang di Sri Lanka - A.Kohilan memutarbelitkan fakta

DAPSY Negeri Pulau Pinang, kesal dengan tindakan Timbalan Menteri Luar Malaysia, dari Parti Gerakan YB Senator A.Kohilan yang memutarbelitkan fakta tentang masalah pelarian perang di Sri Lanka. Timbalan Menteri Luar, A.Kohilan telah mengeluarkan satu kenyataan media yang menyeru Pakatan Rakyat untuk berusaha membantu pelarian perang Sri Lanka. Beliau juga telah menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia prihatin terhadap pelarian perang yang majority orang-orang Tamil di Utara-Timur Sri Lanka. Beliau mengeluarkan kenyataan media, ekoran daripada tentangan dan kecaman hebat oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengecam sikap double-standard kerajaan Malaysia dalam isu-isu kemanusiaan antarabangsa.

DAPSY Pulau Pinang amat menyesal dengan tindakan Timbalan Menteri Luar Malaysia, YB.Senator A.Kohilan yang mengeluarkan kenyataan media yang memutarbelitkan fakta sebenar tentang masalah pelarian perang berbangsa Tamil di Utara-Timur Sri Lanka. Walaupun kita sedar bahawa, “memutarbelitkan fakta” adalah tradisi pemimpin-pemimpin GERAKAN, namun kami berpendapat bahawa sebagai seorang Timbalan Menteri, A.Kohilan harus sedar tugasnya dan tidak harus memutarbelitkan fakta tentang masalah yang mendapat perhatian seluruh masyarakat Tamil di Malaysia.

YB.Senator A.Kohilan dalam kenyataanya telah menyatakan bahawa, kerajaan Malaysia sedang berkejasama dengan kerajaan Sri Lanka untuk mengatasi masalah pelarian Tamil di bahagian Utara-Timur Negara itu. A.Kohilan harus sedar bahawa, rejim yang telah mewujudkan keadaan sebegitu adalah bukan lain daripada rejim Sri Lanka. Kerajaan Sri Lanka telah melancarkan perang besar-besaran ke atas etnik minority Tamil, yang telah berjuang demi kemerdekaan tanahair kepada masyarakat Tamil yang telah didiskriminasi sekian lama oleh rejim Sri Lanka. Dan kenyataan Kohilan bahawa Kerajaan Malaysia lebih selesa dengan kerajaan Sri Lanka adalah kenyataan yang tidak boleh diterima langsung. Masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang membenci peperangan dan kita tidak boleh menerima kerjasama kerajaan dengan manamana rejim pembunuh, termasuk Sri Lanka. Kerjasama dengan kerajaan Sri Lanka, adalah sama seperti kerjasama dengan rejim Zionis, Israel. Kohilan harus menerangkan kenapa double-standard sedemikian dipraktikan oleh kerajaan Barisan Nasional? Apakah perbezaan dengan kerajaan Israel dan kerajaan Sri Lanka, yang telah membunuh beribu-ribu insan yang tidak berdosa?

Kenyataan Kohilan bahawa, Malaysia telah menyalurkan sejumlah wang kepada kerajaan Sri Lanka untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Tamil yang terjejas teruk oleh perang amat membingungkan masyarakat Tamil Malaysia. Kerana masyarakat Tamil yang terjejas teruk oleh perang tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada duit yang disalurkan oleh kerajaan Malaysia tersebut, kerana kerajaan Sri Lanka tidak akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Tamil tersebut. Kalau kerajaan Sri Lanka betul-betul prihatin seperti yang digambarkan oleh kerajaan Malaysia, tidak mungkin kerajaan Sri Lanka masih lagi menahan lebih kurang 300,000 orang pelarian dalam kem-kem pelarian yang serba kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas yang lain.

Keadaan kem-kem pelarian di Sri Lanka amatlah teruk sehingga Negara-negara lain sudah mula mempersoalkan pendirian kerajaan Sri Lanka terhadap pelarian-pelarian tersebut. Malah, Kesatuan Eropah (EU) juga telah membatalkan kemudahan cukai GPS terhadap Negara itu. Baru-baru ini satu usul yang telah diluluskan oleh Parlimen EU, yang jelas risau terhadap pelarian-pelarian Tamil di Utara-Timur Sri Lanka. Bagaimanakah A.Kohilan boleh terlepas pandang factor-faktor penting sebegini dan terus mempertahankan tindakan untuk berkerjasama dengan rejim Pembunuh Sri Lanka? Harus diingatkan bahawa Malaysia adalah salah satu Negara dari beberapa Negara lain yang bersekongkol dengan rejim pembunuh Sri Lanka.

Timbalan Menteri Luar Malaysia, YB.Senator A.Kohilan harus sedar bahawa seruanya supaya Pakatan Rakyat membantu adalah seruan yang lambat. DAPSY Pulau Pinang ingin mengingatkan pada Timbalan Menteri Luar Malaysia bahawa parti-parti komponen Pakatan Rakyat sudah lama membangkitkan persoalan tentang isu pelarian Tamil di Utara-Timur Sri Lanka. Senator A.Kohilan, harus mengetahui fakta sebelum menyatakan sesuatu. Mendiang Dr.V.David, Bekas Ahli Parlimen DAP, pernah membangkitkan isu orang-orang Tamil di Sri Lanka di Parlimen Malaysia. Malah beliau pernah menyeru Perdana Menteri ketika itu Dato Seri (Tun) Dr.Mahathir supaya Malaysia mengiktiraf Tamil Eelam seperti mana Negara Palestin diiktiraf oleh Malaysia. Tahun-tahun kebelakangan ini, ahli-ahli Parlimen DAP seperti YB.Lim Kit Siang, YB.Karpal Singh dan YB.Kulasegaran memang lantang membangkitkan tentang isu ini di Parlimen Malaysia. Baru-baru ini YB.Prof.Ramasamy telah membangkitkan isu orang-orang tamil yang didiskriminasi oleh Kerajaan Sri Lanka pada sesi tergempar Parlimen mengutuk serangan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza, beliau juga telah seru kerajaan Malaysia supaya menegur rejim Sri Lanka. Menteri Luar pada masa itu, YB.Dato Seri Utama Rais Yatim telah menyatakan bahawa beliau sedang meneliti isu itu dan tindakan wajar akan diambil. Bolehkah Timbalan Menteri dari GERAKAN itu boleh menjawab apakah segala teguran ini tidak dihiraukan oleh Kerajaan Malaysia selama ini? Adakah Kohilan mengakui bahawa Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Barisan Nasional mengamalkan sikap double standard dalam isu kemanusiaan sejagat?

Pada 8hb Mac 2009, satu ceramah secara besar-besaran diadakan oleh Parti DAP Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama parti-parti komponen Pakatan Rakyat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Haji Ahmad Badawi, Butterworth. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Pengerusi Kebangsaan DAP, YB.Karpal Singh, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II, YB.Prof Dr.Ramasamy, Pengerusi DAP Pulau Pinang YB.Chow Kon Yeow, dan Mantan TKM I Pulau Pinang, Tuan Fairus Khairuddin mewakili Parti Keadilan Rakyat telah mengambil bahagian dalam ceramah tersebut dan mengutuk rejim pembunuh Sri Lanka, dan membantu mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada pelarian-pelarian Tamil di Utara-Timur Sri Lanka. Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah menyumbangkan derma sebanyak RM 15,000 sebagai tanda prihatin Rakyat Pulau Pinang tentang seriusnya isu ini. Harus diingatkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah kerajaan pertama di rantau Asia Tenggara yang sanggup mengutuk rejim pembunuh Sri Lanka secara terbuka dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa perang Sri Lanka. Selain daripada itu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga telah mengambil bahagian dalam perjumpaan khas yang diadakan di Batu Caves, Selangor yang mengutuk rejim pembunuh Sri Lanka. Di manakah A.Kohilan ini semasa perjumpaan tersebut?

DAPSY Pulau Pinang mengingatkan kepada Timbalan Menteri Luar bahawa parti-parti Pakatan Rakyat termasuk DAP sentiasa memandang serius krisis kemanusiaan di seluruh dunia, biar ia berlaku di Palestin, Bosnia, Kosovo ataupun Sri Lanka. DAPSY Pulau Pinang ingin mengingatkan kepada kerajaan Malaysia supaya jangan terus mengamalkan sikap double-standard dalam isu kemanusiaan sejagat. DAPSY Pulau Pinang juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada Timbalan Menteri Luar A.Kohilan supaya memeriksa fakta sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan. Timbalan Menteri tersebut tidak harus terus mengamalkan sikap “memutarbelitkan fakta” tradisi pemimpin-pemimpin GERAKAN, untuk mengelirukan rakyat. Senator A.Kohilan telah lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang Tamil, dan terus ingin mengaburkan mata rakyat dengan menyatakan bahawa beliau telah membantu sekolah Tamil. Diingatkan kepada Kohilan bahawa masyarakat India tidak akan tertipu dengan sandiwara-sandiwara sebegini lagi. Rakyat mengharapkan tindakan konkrit dan bukanya retorik BN yang sudah lapuk.


* Satees Muniandy, Ahli Majlis Eksekutif Negeri DAPSY Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional