Kenyataan Media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada Rabu, 21 Oktober 2009: Ganesan tidak layak untuk memanggil Sidang DUN Perak Apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 adalah satu tragedi yang telah disusun atur dengan licik oleh Barisan Nasional untuk tumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Sejak bermulanya krisis di negeri Perak pada bulan Februari 2009, BN amat tertekan dengan jawatan Speaker yang masih disandang oleh saya. BN agak kabur dan tidak sedar tentang kuasa-kuasa yang ada pada seorang Speaker Dewan. Selama ini, BN telah menjadikan jawatan Speaker itu sebagai boneka ataupun ‘Pak Angguk’ badan eksekutif. Oleh yang demikian, mereka tidak terfikir tentang tindakan yang mampu saya ambil terhadap orang-orang yang mencemarkan keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi. Apabila Jawatankuasa Hak & Kebebasan yang dipengerusikan oleh saya sendiri telah mengambil keputusan untuk menggantung Dato Seri Zambry Abdul Kadir dan barisan EXCO haramnya daripada memasuki persidangan dewan, maka BN telah mula menyalahgunakan dalam usahanya untuk melepaskan diri daripada belenggu undang-undang. Mereka ternganga dengan keputusan Jawankuasa Hak & Kebebasan. BN mula menganggap saya sebagai duri dalam daging. Mereka telah membawa isu ini ke Mahkamah walaupun artikel 72 Perlembagaan Persekutuan terang-terang tidak mengizinkan perkara Dewan Negeri diheret ke Mahkamah. BN mula mengamalkan demokrasi animisma di Negeri Perak apabila ia membelakangkan rakyat dan undang-undang. Apabila mereka tidak dapat mencantas saya dalam semua usaha-usaha awal, akhirnya BN telah menggunakan kekerasan untuk meradak dan mengusung saya keluar daripada Dewan Negeri yang mulia pada 7 Mei 2009. Ini merupakan ‘peristiwa titik hitam’ dalam sejarah dan amalan demokrasi di Malaysia dan seluruh negara-negara komenwel. Natijahnya, luka yang digores oleh BN akan sentiasa bernanah sehingga Dewan negeri Perak dibubarkan. Tindakan durjana BN mengusung keluar Speaker adalah amat mengaibkan dan jelas membuktikan mereka gilakan kuasa. BN telah mengenepikan segala undang-undang untuk kembali berkuasa secara haram di negeri Perak. Apa yang berlaku di Dewan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 adalah bertentang dengan undang-undang dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Pertama sekali, usul perlucutan jawatan Speaker dan perlantikan Speaker baru telah pun saya menolak sehari sebelum sidang DUN iaitu pada 6 Mei 2009. Ini adalah kuasa Speaker untuk menentukan samada menerima atau menolak apa-apa usul yang dibawa oleh Ahli Dewan. Tambahan pula, dalam kes ini pembawa usul itu ialah Dato Seri Zambry Abdul Kadir dan disokong oleh Dato Hamidah Othman. Kedua-dua pembawa usul dan penyokongnya telah digantung daripada menghadiri persidangan dewan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Oleh yang demikian, kedua-dua orang itu tidak layak membawa apa-apa usul dalam persidangan dewan itu. Maka, saya sebagai Speaker yang sah mempunyai kuasa untuk menolak usul yang dibawa berkaitan dengan perlucutan jawatan Speaker dan perlantikan Speaker baru. Samada sesuatu usul diterima ataupun tidak adalah hak Speaker semata-mata. Sebagai contoh Pandekar Amin di Parlimen sentiasa menolak usul-usul yang dibawa oleh pembangkang dengan alasan ia bukanlah perkara tertentu, berkehendak disegerkan dan berkenaan kepentingan orang ramai. Jika Pandekar Amin di Parlimen mempunyai kuasa untuk menolak usul-usul yang dibawa oleh pembangkang, kenapa Speaker Dewan Negeri tidak boleh menolak usul yang dipanjangkan kepadanya?. Ini jelas bahawa BN berlaku tidak adil, berat sebelah dan hipokrit dalam menangani kemelut politik negeri Perak. Selain daripada itu, saya juga tidak memulakan persidangan pada 7 Mei 2009. Saya telah mengeluaran beberapa arahan kepada Ahli-ahli Dewan pada pagi itu. Berulang kali saya membuat teguran supaya arahan saya diikuti. Saya mengarahkan 3 orang bekas ADUN yang telah meletak jawatan supaya meninggalkan dewan. Saya juga meminta Dato Seri Zambry Abdul Kadir dan 6 anggota EXCO haramnya turut meninggalkan dewan kerana saya terikat dengan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. “Selagi 10 orang ini tidak meninggalkan dewan, saya tidak akan memulakan persidangan ”. Ungkapan ini saya sebutkan berulang kali dalam dewan yang mulia pada hari tersebut. Ini membuktikan bahawa persidangan tidak dimulakan sehingga saya diheret keluar daripada dewan. Tindakan ini saya lakukan berdasarkan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak 43 (Keputusan Tuan Speaker atau Pengerusi adalah muktamad) –‘Tuan Speaker dalam dewan atau Pengerusi dalam Jawantankuasa adalah bertanggungjawab bagi menjaga supaya peraturan-peraturan Dewan atau Jawatankuasa dipatuhi, dan keputusannya berkenaan apa-apa perkara peraturan mesyuarat tidak boleh dirayu, dipertimbangkan semula atau diulangkaji oleh Dewan kecuali dengan dikeluarkan usul tersendiri dengan tujuan sedemikian.’ Perintah-perintah Tetap ini memberi kuasa muktamad kepada Speaker. Saya menggunakan kuasa ini untuk menghalang 10 orang daripada berada dalam dewan sebelum persidangan dimulakan. Oleh itu, apa sahaja usul yang dibawa dalam tempoh saya masih berada dalam dewan pada hari itu adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya.. Dalam kata lain, perlucutan jawatan Speaker dan perlantikan Speaker baru adalah dilakukan secara haram tanpa mengikut lunas undang-undang.. Maka, Dato Ganesan tidak berhak memanggil dirinya sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Perak. BN telah mewujudkan dewan kecil ataupun sub-dewan dalam Dewan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Perkara seperti ini adalah amat dilarang dan tidak menepati amalan konvensyen negara-negara komenwel. Hee Yit Fong, yang tidak sepatutnya berada dalam dewan mempengerusikan sub-dewan tersebut di satu sudut Dewan Negeri Perak yang mulia. Hee Yit Fong dikerumuni oleh Ahli-ahli Dewan Negeri BN. Mereka membawa dan meluluskan usul perlucutan Speaker dan perlantikan Speaker baru tanpa dibahaskan. Tindakan ini adalah satu perbuatan keji dan menghina Dewan Negeri yang mulia. Perintah-perintah Tetap melarang sesiapa sahaja mempengerusikan Dewan selagi Tuan Speaker masih berada di kerusinya. Hanya dengan ketidak hadiran Tuan Speaker, Dewan boleh melantik seorang ahli lain untuk menjadi Pengerusi sementara. Perintah- perintah Tetap 6 (1) berbunyi seperti ini- ‘Tuan Speaker hendaklah mempengerusikan persidangan-persidangan Dewan dan dalam ketiadaannya, apabila diberitahu oleh Setiausaha Dewan , Dewan boleh memanggil mana-mana ahli mempengerusikan persidangan….’. Bukankah Perintah-perintah Tetap ini jernih dan jelas bahawa pihak lain tidak boleh mengambil alih kuasa Speaker selagi beliau masih berada di dalam dewan? Jika begitu, bagaimana Hee Yit Fong boleh dibenarkan untuk mempengerusikan sub-dewan pada hari itu? Terbukti bahawa usul yang dibawa itu tidak mempunyai kesan undang-undang dan terbatal dengan sendirinya. Dilihat dari perspektif undang-undang, perlantikan Dato Ganesan dibuat secara kebudak-budakan dan tidak mempunyai apa-apa implikasi yang berkesan untuk mengikat Dewan Negeri Perak. Tambahan pula, agenda aturan urusan mesyuarat Persidangan Pembukaan Penggal Baru juga tidak diikuti. Mengikut Perintah-perintah Tetap 13 (1) Titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan perlu didahulukan. Perkara-perkara lain seperti rang undang-undang dan usul harus dikemudiankan. Ini adalah peraturan yang harus dipatuhi. Tambahan pula, agenda utama Pembukaan Rasmi Penggal adalah Titah Ucapan Tuanku Sultan. Penghormatan perlu diberikan kepada Titah Ucapan Tuanku. Perkara-perkara lain adalah tidak mustahak pada hari tersebut. Tetapi, BN tidak menghiraukan tertib urusan mesyuarat Dewan. Bagi mereka, jawatan dan kuasa adalah lebih penting. Untuk mengkabulkan niat jahat itu, mereka secara rakus melanggar apa jua peraturan atau undang-undang yang menyekat boleh tindak-tanduk mereka. Dalam kata lain, perlantikan Dato Ganesan adalah tidak sah kerana ia dibuat secara gilas sebelum Pembukaan Rasmi Penggal yang mana merupakan agenda pertama dan paling utama pada hari tersebut. Setelah Dato Ganesan dilantik secara haram, Dato Seri Zambry Abdul kadir memakaikan jubah dan songkok Speaker kepada beliau. Dari mana datangnya jubah dan songkok baru yang diseludup masuk ke dalam dewan, sedangkan saya masih memakai jubah dan songkok Speaker yang asal? Bukankah ini jelas menunjukkan bahawa mereka gerenyam dan berniat buruk atau mala fide dalam agenda menjatuhkan Speaker dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak? Dato Ganesan tidak dipilih sebagai Speaker secara demokratik dalam Dewan Negeri Perak. Walau bagaimanapun beliau mendakwa dirinya sebagai Speaker Negeri Perak. Jika benar, kenapa beliau tidak meletak jawatan sebagai peguam. Mengikut Perkara 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak , seseorang yang dipilih sebagai Speaker harus meletakkan jawatan ikthisas dalam tempoh 3 bulan. Tarikh akhir untuk beliau meletakkan jawatan sebagai peguam ialah pada 6 Ogos 2009. Majlis Peguam Malaysia telah mengesahkan bahawa Dato Ganesan hanya mengemukakan surat akuan sumpah meletakkan jawatan pada 17 Ogos 2009. Persoalannya kenapa DatoGanesan tidak meletakkan jawatannya sebagai Pengamal Undang-undang dalam tempoh yang ditetapkan? Sebab, beliau sendiri tahu bahawa pemilihannya sebagai Speaker pada 7 Mei 2009 adalah tidak sah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian, beliau tidak sanggup mengambil risiko untuk meletak jawatannya sebagai seorang peguam. Tetapi, dengan desakan dan tekanan BN, beliau telah menghantar surat perletakan jawatan pada 13 Ogos dan membelakangkan tarikh berkuatkuasa mulai 6 Ogos 2009. Dato Ganesan telah digunakan sebagai bicu oleh BN untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Perak. Walau bagaimanapun, undang-undang telah dicemari oleh Dato Ganesan dalam muslihatnya memutarbelitkan fakta tarikh perletakan jawatan. Perintah-perintah Tetap 89 juga memberi kuasa kepada Speaker untuk mentafsir Perintah-perintah Tetap itu sendiri. ‘Keputusan Tuan Speaker berkenaan dengan tafsiaran dalam mana-mana Perintah-perintah Tetap ini atau berkenaan dengan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu, adalah muktamad, dan Tuan Speaker, dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara ini’. Pada pandangan saya, kuasa yang saya laksanakan adalah secara fadil dan tertakluk kepada undang-undang dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri. Dalam pada itu, saya juga tidak mengiktiraf persidangan yang dipanggil oleh Ganesan yang cuba berlaram seperti Speaker Perak. Beliau tidak ada kuasa untuk memanggil persidangan dewan pada 28 Oktober 2009 kerana perlantikannya adalah tidak sah. Beranaikah BN tunjukkan minit mesyuarat atau hansad sebagai bukti bagaimana perlucutan speaker dan dan perlantikan speaker baru dibuat pada 7 Mei yang lalu? * V. Sivakumar, ADUN Tronoh
|