red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kata Aluan oleh Lim Guan Eng semasa mengumum Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 di Rocket United Cafe, Petaling Jaya pada Rabu, 7 Oktober 2009, 11 am: 

Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 - Kata Aluan 

Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 membuktikan kemajuan parti dalam proses pembikinan dasar ekonomi, sekali gus menunjukkan kesediaan kami untuk mengambil alih peranan sebagai kerajaan pemerintah di peringkat Persekutuan pada bila-bila masa di masa hadapan.

Bajet Nasional Alternatif pertama telah dilancarkan pada 5 September 2007 untuk tahun 2008, sebelum pilihanraya umum terdahulu dengan Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua per tiga di Parlimen dan menjadi kerajaan di 5 negeri. Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 adalah kesinambungan bajet alternatif terdahulu dan boleh disifatkan sebagai penambah baikan dasar ekonomi dengan strategi dan cadangan lebih berkesan dan terkini berdasarkan kajian dan analisa yang mendalam.

Sejajar situasi negara berhadapan dengan cabaran ekonomi global di dalam persekitaran yang tidak menentu pada masa ini, adalah sangat penting bagi kerajaan Malaysia mengambil langkah dan tindakan untuk menjana pertumbuhan dan memastikan bukan sahaja negara pulih dari kegawatan, malah bangkit semula dengan lebih kukuh dan berdaya saing berbanding sebelum kegawatan. Walau bagaimanapun, penilaian ke atas tindakan kerajaan Barisan Nasional pada masa ini dan beberapa pendekatan yang diamalkan sejak 12 tahun yang lalu mencerminkan sebaliknya.

Apabila ekonomi dunia berada dalam prestasi mendatar, kerajaan perlu menjana permintaan dalaman serta meningkatkan daya saing. Namun begitu, di sebalik keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan, kerajaan BN terpaksa menerima hakikat kekurangan dana untuk berbelanja dan terpaksa berhempas-pulas membiayai kos pentadbiran kerajaan.

Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi yang positif selama 10 tahun, dengan 5 tahun kebelakangan ini menikmati pulangan menguntungkan dari sektor minyak dan gas ekoran lonjakan harga minyak dunia. Namun, kerajaan hanya kini sedar bahawa negara langsung tidak membuat sebarang simpanan dan penjmatan sepanjang pertumbuhan ekonomi 10 tahun itu. Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah harga minyak menjunam ke paras bawah harga yang dianggarkan iaitu US$125 setong pada tahun 2009, bermakna kerajaan tiada tambahan pendapatan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan pada tahun 2010.

Sumbangan pendapatan minyak dan gas kepada Kerajaan telah meningkat daripada RM19 bilion pada 2004 kepada RM70 bilion tahun 2009 namun begitu, semua pendapatan itu telah dibelanjakan. Bukan sahaja kita tidak menyimpan untuk hari-hari gelap di masa hadapan, kerajaan meminjam secara meluas dalam tempoh itu sehingga menyebabkan negara menanggung defisit bajet 12 tahun berturut-turut, dan hutang negara terus menimbun tanpa mengira sama ada ekonomi tumbuh atau mengalami kegawatan.

Keadaan mungkin berlainan jika perolehan umpama durian runtuh ini dilabur atau dibelanjakan untuk projek pembangunan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar lebihan pendapatan ini dibelanjakan untuk operasi kerajaan untuk menambah bilangan pegawai kerajaan, bayaran pembekalan dan penyelenggaraan perkhidmatan selain urusan luar biasa untuk pampasan kepada syarikat pemegang konsesi tol yang kaya-raya. Ini belum termasuk bayaran dalam pelaburan penuh skandal seperti RM12.5 bilion Port Klang Free Zone, jutaan ringgit yang lesap dalam anak syarikat Kementerian Pelancongan, Pempena dan harga tinggi dalam bayaran belian alat tulis dan barangan harian lain seperti pen, kamera digital dan kertas.

Antara tahun 2003 hingga 2009, perbelanjaan operasi kerajaan meningkat secara mendadak daripada RM53.4 bilion tahun 2000 kepada RM80.5 bilion apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri tahun 2004, kepada RM154.2 bilion tahun ini. Walau bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan yang mempunyai kesan gandaan ekonomi paling berkesan hanya meningkat daripada RM29 bilion pada tahun 2004 kepada RM50.5 bilion tahun ini.

Pengurusan yang cuai Barisan Nasional dalam kekayaan negara dan lebih pendapatan sejak beberapa tahun lalu mengakibatkan ekonomi negara menjadi lemah berbanding negara serantau dan kelalaian ini mesti diperiksa bagi mengelakkannya berlaku lagi. Jika kerajaan terus mengumpulkan hutang untuk tujuan yang tidak berasas untuk jangka masa beberapa lama lagi, anak cucu kita akan terpaksa membayar kegagalan itu di masa depan.

Sebagai tambahan, pengalaman kita di peringkat kerajaan negeri selama lebih 18 bulan yang lalu memberi pemahaman yang lebih baik dalam isu praktikal melibatkan pembangunan ekonomi di Malaysia yang memerlukan peralihan besar dari segi dasar awam dan sistem pengurusan ekonomi negara. Perancangan dan pengurusan ekonomi telah menjadi berpusat sejak dua dekad yang lalu dan terlalu biroktatik sehingga menyebabkan ia menjadi tidak berkesan untuk melaksanakan inisiatif ekonomi.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang dan Selangor dimana DAP memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri, kami mendapati segala usaha disia-siakan ekoran kegagalan mengawal dana projek dan pembangunan yang disalurkan mengikut kepentingan dan pilih kasih kerajaan Persekutuan. Walaupun Selangor dan Pulau Pinang masing-masing menyumbang RM16 bilion dan RM2.5 bilion sebagai cukai pendapatan kepada kerajaan Persekutuan, dua negeri ini hanya menerima geran Persekutuan masing-masing sebanyak RM247 juta dan RM127 juta sahaja.

Oleh itu, dalam cadangan Bajet Alternatif ini kami senaraikan dasar dan program bagi menimbal balik kelalaian dan salah pengurusan duit rakyat oleh kerajaan BN dengan pada masa yang sama, mengurangkan perancangan berpusat birokrasi dan seterusnya membenarkan kerajaan negeri membuat keputusan dan mengurus kewangan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

Tema bajet alternatif tahun ini iaiti Merakyatkan Ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan politik untuk demokrasi yang lebih besar malah mahu menjamin perbelanjaan kerajaan mampu dinikmati oleh rakyat yang membayar cukai sambil mengekang dasar kerajaan yang memihak kepada mereka yang mempunyai kepentingan politik sahaja sedangkan rakyat biasa berhak menerima bahagian masing-masing sejajar dengan sumbangan mereka dalam ekonomi dan keperluan kewangan rakyat.

Kami percaya dengan merakyatkan ekonomi Malaysia, kami mampu bukan sahaja membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik malah menetapkan dasar dan institusi yang boleh menjamin hak ekonomi rakyat negara ini walaupun siapa juga kerajaan yang memerintah. Dengan Merakyatkan ekonomi Malaysia, kami menggalakkan pencapaian matlamat membina kerajaan yang Cekap, Amanah serta Telus (CAT).

Bajet Alternatif 2010 ini akan menjadi teras dasar dan manifesto ekonomi DAP dalam beberapa tahun mendatang dan kami akan menyerahkan cadangan ini kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk pertimbangan dan input tambahan dari rakan pakatan, PKR dan PAS.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan tidak ternilai pasukan yang diketuai oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan bekas Penasihat Ekonomi, Teh Chi Chang, Lee Kok Yew, Cheah Yi Peng, Lew Yin How dan Sugashini Kandiah. Ucapan terima kasih juga kepada John Lee Ming Keong dan Ho Horng Yih yang memberikan pandangan dan input yang bernas. Bagi pihak pasukan, kami ingin berterima kasih kepada Dr Woo Wing Thye dari University of California di Davis, yang meluangkan masa untuk menilai draf awal bajet ini.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional