red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Objektif Bajet oleh Lim Guan Eng semasa mengumum Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 di Rocket United Cafe, Petaling Jaya pada Rabu, 7 Oktober 2009, 11 am: 

Bajet Nasional Alternatif DAP 2010 - Objektif Bajet 

Ke arah memenuhi cabaran memperbaiki tahap daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global dengan pada masa yang sama, mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini serta menitik beratkan kekangan fiskal dan menggunakan sumber pendapatan minyak secara bijaksana, justeru, Bajet DAP 2010 bertemakan Merakyatkan Ekonomi Malaysia.

Bajet Merakyatkan Ekonomi Malaysia bermatlamat memastikan dana awam dan pendapatan kerajaan disalurkan secara berkesan dan efektif bersandarkan kepada keperluan rakyat, memastikan projek awam disusun dan distrukturkan dalam mekanisma yang boleh menguntungkan rakyat berbanding pengendali yang mempunyai hubungan serta kaitan politik di samping membolehkan rakyat Malaysia menikmati lonjakan kebebasan ekonomi. Oleh itu, proses Merakyatkan ekonomi akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu :

1. Penyahpusatan fiskal
2. Penstrukturan dan pengagihan semula
3. Pembinaan kapasiti

2.1 Teras I: Penyahpusatan fiskal

Ekonomi Malaysia sekian lama mengamalkan pendekatan pemerintahan birokrasi dan ditadbir secara keseluruhan oleh kerajaan pusat dengan peranan kerajaan negeri yang semakin berkurangan. Perolehan rakyat dan pendapatan cukai korporat dikutip oleh kerajaan pusat dan seterusnya pendapatan ini diagihkan kepada pelbagai kerajaan negeri menerusi geran per kapitan berasaskan perlembagaan serta pengagihan geran secara tertutup.

Dasar semasa telah mengakibatkan berlakunya ketidak seimbangan ketara antara bajet perbelanjaan kerajaan pusat berbanding kerajaan negeri. Sebagai contoh, pada tahun 1990, bajet perbelanjaan negeri yang digabungkan memberi tambahan sebanyak 25 peratus kepada perbelanjaan kerajaan pusat. Pecahan ini terus menurun dari tahun ke tahun selama lebih 20 tahun kepada 9 peratus pada tahun 2007.

Dasar pemusatan dan keputusan membuat dasar tertutup itu boleh juga menyebabkan ketidak seimbangan antara kerajaan negeri di Malaysia. Sebagai contoh, agihan kepada kerajaan negeri dibuat berdasarkan dasar pilih kasih kerajaan pusat mengakibatkan hanya beberapa kerajaan negeri menikmati pengagihan lebih besar manakala beberapa negeri lain mendapat bahagian yang tidak adil.

Akibatnya, pelaksanaan dasar kerajaan dan ekonomi menjadi kurang berkesan dan tidak cekap ekoran tabiat birokratik pemindahan dana oleh kerajaan pusat kepada pembangunan tempatan sebenar. Perancangan berpusat juga menunjukkan kelemahan ketara dalam pembuatan keputusan yang lemah ekoran kegagalan untuk memahami keperluan dan keadaan sebenar soal pembangunan tempatan. Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan yang mengamalkan dasar pemusatan berlebihan gagal untuk melaksanakan polisi pengangkutan awam yang berkesan lagi cekap di peringkat bandar dan daerah di seluruh negara.

Justeru, bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan, keperluan dan situasi unik masing-masing. Dengan itu, kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi. Antara sektor yang mandapat manfaat daripada cadangan penyahpusatan dasar fiskal ialah pengangkutan serta keselamatan dalaman.

Cadangan DAP untuk merakyatkan ekonomi menerusi penyahpusatan dasar fiskal boleh mendorong kepada perubahan teknikal dalam kerangka ekonomi Malaysia yang menjurus kepada lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara. Penyahpusatan fiskal juga akan memastikan pembangunan kawasan yang lebih seimbang berbanding Lembah Klang sahaja pada masa ini, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara.

Untuk menyediakan langkah permulaan ke arah pendemokrasian ekonomi menerusi penyahpusatan fiskal, DAP akan mula mengorak langkah kepada penganjuran sistem pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan menerusi pindaan perlembagaan persekutuan bagi membolehkan perkongsian kuasa fiskal yang lebih besar dengan kerajaan negeri. Ini akan memastikan pengagihan fiskal dan penggunaan oleh pihak berkuasa tempatan sementara kerajaan negeri akan terus bersikap telus dan bertanggungjawab sebagai oleh wakil yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.

2.2 Teras II: Penstrukturan dan pengagihan semula

Amalan dasar yang lemah dan hilang hala tuju serta salah guna kuasa oleh kerajaan semasa telah menyebabkan berlakunya agihan tidak betul dalam sumber negara yang terhad dengan menumpukan kepada pemberian manfaat kepada mereka yang mempunyai hubungan serta kaitan politik, sementara kebanyakan rakyat yang lebih memerlukan terus diketepikan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berdekad lamanya diamalkan dengan tumpuan pengagihan ekonomi berdasarkan kaum sambil megenepikan aspek keperluan dan merit, telah menyebabkan kelemahan struktur utama dalam sistem ekonomi negara sehingga menghukum kebajikan rakyat dan kecekapan sistem ekonomi. Di sebalik itu, agihan tidak betul ini telah menjana kekayaan beberapa individu yang berjaya mengeksploitasi DEB. Justeru, suatu usaha perlu dilakukan untuk menstruktur dan mengagih semula ekonomi bagi memastikan pembangunan lebih seimbang antara golongan miskin dan kaya, selain menambah kecekapan dan keberkesanan ekonomi dan daya saing.

Dalam sebahagian daripada teras penstrukturan dan agihan semula, DAP mahu usaha dilakukan ke arah pelaksanaan sistem kebajikan yang berkesan untuk memastikan rakyat yang lahir dalam keadaan miskin tidak terus terperangkap dalam kitaran tersebut. Kebajikan harus diberikan mengikut keperluan dan bukannya berdasarkan kaum seperti yang dizahirkan dalam DEB. Rakyat yang mempunyai kekuatan ekonomi yang lemah sepatutnya mendapat bantuan daripada kerajaan. Dalam pada itu, mereka yang telah mewarisi kekayaan dan menjana ekonomi yang produktif tidak layak untuk mendapatkan bantuan, tidak mengira kaum. Strategi DAP antaranya termasuklah pengagihan semula - bantuan secara langsung kepada miskin tegar dan warga emas - pembinaan kapasiti menerusi peningkatan tahap pendidikan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan bagi membantu individu bekerja untuk memajukan dirinya.

Bajet DAP 2010 juga akan menerapkan unsur-unsur kebertanggungjawaban dalam pengagihan kekayaan minyak negara. Malaysia telah menikmati sumber petroleum yang banyak dan menjana pendapatan kepada kerajaan Malaysia menerusi kutipan cukai pendapatan, royalti, dividen dan jenis cukai dan yuran selainnya. Walau bagaimanapun, di sebalik pulangan menguntungkan daripada industri minyak dan gas, rakyat masih tidak dapat menikmatinya dan negara pula menanggung hutang yang kian bertambah. Dalam jangka masa 12 tahun, di sebalik lonjakan harga minyak global, Malaysia tidak mempunyai rizab atau lebihan untuk dipamerkan sebagai hasil kekayaan minyak negara. DAP mahu menstruktur dan mengagihkan semula kekayaan minyak negara bagi memastikan ia akan dilaburkan untuk mengekang masalah yang bakal timbul apabila simpanan minyak telah kering menerusi pelaburan strategik dalam pembangunan keupayaan baru seperti tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau serta pembangunan modal insan.

Pada masa yang sama, DAP mahu mensturktur semula semua konsesi yang tercetus dari dasar Malaysia Inc di bawah pemerintahan Dr. Mahathir semasa era 90an yang menyebabkan hanya beberapa kerat orang menjadi kaya-raya, melemahkan kewangan negara dan mengurangkan daya tahan serta daya saing untuk Malaysia bersaing di peringkat global. Kontrak seperti ini, terutama Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), lebuhraya bertol dan konsesi air tidak sepatutnya jatuh ke tangan pemegang konsesi yang mengaut kekayaan melampau hasil kerja dan usaha rakyat biasa.

2.3 Teras III: Pembinaan kapasiti

Akhir sekali, DAP sangat menitik-beratkan pembangunan dan usaha menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membantu negara mencapai status negara maju. Sebagai tambahan, bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global, beberapa rangkaian pendekatan akan diambil dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkuran, kewangan, teknologi, keselamatan, tenaga dan alam sekitar untuk meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global.

Kelemahan daya saing negara kini sangat ketara. Sikap kerajaan yang terus mendabik dada dengan kejayaan lalu akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada ekonomi dan daya saing negara. Walau bagaimanapun, jika kita menerapkan unsur-unsur ketahanan dan peningkatan daya tahan, kerja keras dan inovasi, Malaysia akan mendapat kedudukan lebih baik untuk merebut peluang pertumbuhan ekonomi dunia. DAP mahu membangkitkan semula semangat daya saing kepada ekonomi negara menerusi penerapan daya juang lebih tinggi, lebih bertanggungjawab dan peningkatan tahap ketelusan.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional