red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar oleh Ean Yong Hian Wah di Petaling Jaya pada Jumaat, 11 September 2009:

Mencabar pihak polis agar mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai SPRM Selangor yang memukul Sivanesan dan mengumumkan jumlah laporan yang diterima mengenai kegunaan kekerasan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai SPRM semasa menyoal siasat

Inkues pada hari Rabu telah mengejutkan rakyat Malaysia apabila saksi Sivanesan Tanggavelu mendedahkan pengalamannya semasa membantu siasatan SPRM Selangor. Beliau mendakwa telah dipukul dan didera oleh seramai 15 orang pegawai SPRM Selangor pada September tahun lepas semasa membantu siasat.

Sivanesan dimasukkan ke hospital untuk rawatan perubatan selama 4 hari selepas kejadian itu.

Keyakinan rakyat terhadap SPRM telah merosot ke paras terendah kerana kita dapati sekurang-kurangnya ada dua orang rakyat Malaysia telah menjadi mangsa siasatan SPRM, iaitu Sivanesan Tanggavelu dan Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock ditemui mati di balconi tingkat 5 pada 16hb Julai 2009, sehari selepas beliau dibawa masuk ke dalam pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam. Dua insiden ini telah memberi satu gambaran yang lebih jelas bahawa kekerasan merupakan salah satu “modus operandi” yang sering digunakan oleh pegawai-pegawai SPRM semasa menjalani siasatan.

Ini merupakan satu perkara yang amat serius. Malangnya, laporan polis telah dibuat tetapi masih tiada apa-apa tindakan susulan daripada pihak polis. Saya ingin bertanya kepada pihak polis, berapakah suspek telah ditahan untuk disoal siasat selama ini? Kalau tidak, adakah pihak polis enggan menjalankan tugas kerana takut dibalas dendam oleh SPRM nanti?

Mengikut laporan media, tidak sampai 24 jam selepas pegawai-pegawai SPRM Selangor membuat laporan polis, beberapa orang yang disyaki telah mengunjung ke rumah Sivanesan di Jenjarom semalam dan mahu dia melaporkan diri ke Balai Polis Jenjarom. Adakah polis mengambil sikap “double standard” dalam kes ini?

Saya mencabar pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai SPRM Selangor yang memukul Sivanesan dan mengumumkan jumlah laporan yang diterima mengenai kegunaan kekerasan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai SPRM semasa menyoal siasat. Kalau tidak, ini telah membuktikan polis takut dan tidak mampu menjalankan tugas. Justerus itu, pelanjutan tempoh penjawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan selama satu tahun merupakan satu keputusan yang amat salah.

Saya berasa amat sedih dan marah, rakyat Malaysia tidak dapat menuntut keadilan mereka mahupun daripada polis ataupun SPRM. Ini kerana kedua-dua agensi ini telah menjadi alat politik Barisan Nasional yang digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.


* Ean Yong Hian Wah, Pengerusi DAP Selangor & Exco Kerajaan Negeri Selangor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional