red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada Isnin, 21 September 2009:

Jangan Teng Hock Nan bersandiwara lagi!

Dr. Teng Hock Nan, Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang cuba melepaskan tanggungjawabnya dengan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas masalah kontraktor yang tidak berupaya menangani longgakan sampah sarap di stesen pemindahan sisa pepejal di Batu Maung ekoran daripada masalah sistem yang dihadapi oleh tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

Pada hakikatnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dapat melantik kontraktor-kontraktor yang baru untuk menggantikan mana-mana kontraktor yang kurang cekap dalam mengendalikan operasi mereka atas sebab Kerajaan Persekutuan melalui Parlimen telah meluluskan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada tahun 2007 dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Gerakan pada masa tersebut.

Meskipun Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pengambilalihan, Kerajaan Persekutuan semestinya akan mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Gerakan sebelum ini telah menggadaikan kepentingan rakyat Negeri Pulau Pinang dengan menerimapakai Akta tersebut.

Jadi, kita berasa amat kesal dengan lawatan delegasi Gerakan pimpinan Dr. Teng Hock Nan tanpa kebenaran ke stesen pemindahan sisa pepejal yang merupakan kawasan larangan serta membuat pelbagai tuduhan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menyakinkan rakyat jelata bahawa Kerajaan Negeri tidak berupaya dalam menangani masalah tersebut tanpa mengimbas kembali pelbagai kesilapan yang dilakukan olehnya.

Janganlah Dr. Teng Hock Nan bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Gerakan yang lain hanya gemar bersandiwara, di mana mereka tidak membuat lawatan dengan serta-merta malah hanya melawat ke stesen pemindahan sisa pepejal di Batu Maung seminggu selepas berlakunya masalah tersebut.

Adalah lebih baik inisiatif “CAT Watch” yang kini dipelopori oleh Gerakan dinamakan semula sebagai operasi “Tangkap Tikus”, di mana sinonim tersebut adalah merujuk kepada pelbagai kesilapan yang dilakukan oleh Dr. Teng Hock Nan yang juga merupakan bekas ADUN bagi Pulau Tikus semasa beliau memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas portfolio kerajaan tempatan.

DAP ingin menegaskan bahawa semua kontraktor yang dilantik, termasuk segala kemudahan, sistem pengurusan serta tapak yang digunakan untuk mengendalikan sisa-sisa pepejal yang digunapakai sekarang adalah diputuskan oleh Dr. Teng Hock Nan sebelum itu.

Walaupun perjanjian perlantikan kontrak-kontrak telah tamat tempoh, namun MPPP dan MPSP tidak dapat menamatkan perkhidmatan kontraktor yang kurang cekap atau melantik kontraktor yang baru atas sebab Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Pulau Pinang pada bila-bila masa. Atas sebab itu, kita terpaksa meneruskan tempoh perjanjian bagi perlantikan kontraktor-kontraktor tersebut.

Dalam keadaan yang tidak terjamin, tiada kontraktor yang ingin membuat pelaburan baru bagi membeli kemudahan atau peralatan yang baru bagi meningkatkan prestasi mereka dalam mengendalikan sisa-sisa pepejal. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah membenarkan lori-lori pengangkutan sisa pepejal supaya terus mengangkut sampah-sarap melalui Jambatan Pulau Pinang ke Pulau Burung, termasuk membenarkan tongkang-tongkang bersaiz besar untuk mengangkut sampah-sarap melalui jalan laut ke Pulau Pinang, sebagai cara kita untuk menyingkatkan lagi tempoh masa bagi menangani masalah tersebut di stesen pemindahan sisa pejajal di Batu Maung.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga meminta pihak kontraktor supaya memperbaiki permukaan jalan untuk memastikan tidak belaku lagi kemalangan oleh lori-lori pengangkut sisa pepejal di Pulau Burung. Pihak MPPP telah menghantar kakitangan-kakitangannya supaya menyembur EM ke atas longgokan sampah-sarap setiap hari untuk mengatasi masalah longgakan sampah-sarap yang berbau busuk sehingga mungkin mengakibatkan masalah keracunan oleh manusia.

Sebaik sahaja berlakunya masalah tersebut, Jabatan Alam Sekitar juga menghantar pegawai-pegawainya untuk menjalankan siasatan di stesen pemindahan sisa pepejal di Batu Maung, termasuk mengenakan kompaun RM84,000 terhadap pihak kontraktor. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri tidak berpandang ringan malah mengambil pelbagai pendekatan untuk menanangi masalah tersebut.

Kerajaan Negeri berharap bahawa masalah tersebut dapat ditangani dalam tempoh masa 45 hari atau tempoh yang lebih singkat lagi. Dalam tempoh ini, kami menggesa supaya pihak pekilang, pekerja dan penduduk di sekitarnya dapat bersikap sabar buat sementara waktu dan jangan bimbang atau risau terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang kurang bertanggungjawab.

Sehingga 19 September 2009, pihak kontraktor di Batu Maung telah mengangkut lebih kurang 2,025 ton sisa pepejal melalui cara jalan dengan 289 laluan lori ke Pulau Burung manakala 2,500 ton sisa pepejal pula diangkut melalui kontena-kontena yang diangkut dengan tongkang-tongkang ke Pulau Burung.

Dengan ini, kita yakin apabila tongkang besar yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk mengangkut sisa pepejal melalui cara laut dapat beroperasi dalam masa terdekat ini, keberkesanan sistem pengurusan sisa pepejal di bahagian Pulau dapat meningkat secara mendadak lagi dan seterusnya memendekkan tempoh 45 hari yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah di Batu Maung tersebut.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Publisiti DAP Negeri Pulau Pinang & ADUN Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional