Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada Selasa, 29 September 2009: Jangan asyik mencipta formula yang gilakan kuasa! Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang membidas Y.B. Mohd Yusmadi Mohd Yusuff, Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan berdasarkan formula baru yang memberi peluang kepada semua kaum menjadi pemimpin. Terlebih dahulu, DAPSY ingin menegaskan bahawa tiada apa-apa formula baru yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen parti Pakatan Rakyat. Ini merupakan suatu formula berbau perkauman ciptaan Y.B. Mohd Yusmadi Mohd Yusuff sendiri yang asyik gilakan kuasa sahaja. Sememangnya, ini bukan kononnya suatu formula politik yang baru! Formula sebegini telah diperkenalkan oleh Barisan Nasional di Sabah selepas pilihan raya negeri pada tahun 1994 untuk menggilirkan jawatan Ketua Menteri di kalangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang mewakili kaum Melayu, Kadazandusun dan Cina. Sistem ini telah dilaksanakan sehingga dimansuhkan pada tahun 2004. Apakah hasilnya pelaksanaan sistem sebegini di Sabah? Lihatlah kadar kemiskinan yang setinggi 23% telah menjadikan Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia, di mana setiap satu daripada empat orang merupakan rakyat yang miskin di Sabah. Formula sebegini pernah dicadangkan oleh beberapa orang pemimpin UMNO Negeri Pulau Pinang supaya turut dilaksanakan di Negeri Pulau Pinang namun terus ditolak oleh Perdana Menteri pada masa tersebut. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri pada masa itu berpandangan bahawa tidak bermakna apabila orang Melayu menjadi Ketua Menteri, yang baik akan dihulurkan kepada orang Melayu manakala yang tidak baik kepada kaum-kaum lain. “Sesiapapun yang menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar akan memahami bahawa dia adalah Ketua Menteri atau Menteri Besar BN yang bertanggungjawab kepada rakyat yang terdiri daripada semua kaum”. Jikalau seorang pemimpin tertinggi UMNO yang parti politiknya bersifat perkauman memegang pandangan sedemikian, tidak wajarlah seorang pemimpin PKR yang ingin berjuang untuk semua rakyat jelata tanpa mengambil kira sifat perkauman mengulangi nada suara UMNO yang jelasnya ketinggalan zaman. Ingin saya tegaskan bahawa FORMULA BARU yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Negeri Pulau Pinang adalah memberi layanan yang adil serta bantuan yang saksama kepada semua rakyat jelata tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama, jantina dan latar belakang politik. Ini jauh lebih adil serta disambut baik oleh rakyat jelata daripada formula yang kononnya ciptaan Y.B. Mohd Yusmadi Mohd Yusuff sendiri. DAPSY berpandangan bahawa sesuatu keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti pemerintah mestilah mengambil kira konteks sosial serta pandangan rakyat yang berbilang kaum dan bukan semata-mata berdasarkan kehendak atau keinginan seorang pemimpin sahaja. Buat masa kini, DAPSY berpendirian bahawa belum sampai masanya dan tidak perlunya jawatan Ketua Menteri digilirkan. Kita perlu adanya seorang pemimpin Melayu yang dapat membantu orang Cina dan seorang pemimpin Cina yang dapat membantu orang Melayu serta seorang pemimpin India yang dapat membantu semua kaum, seperti apa yang sering ditegaskan oleh Y.A.B. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Yang penting, Negeri Pulau Pinang mestilah dipimpin oleh seorang pemimpin yang berwawasan, berkaliber dan berpandangan jauh serta bertindak adil dalam segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tiada makna bagi jawatan Ketua Menteri digilirkan kepada seorang yang tidak dapat memenuhi kriteria-kriteria seperti yang tersebut di atas. DAPSY mempertahankan jawatan Ketua Menteri supaya tidak digilirkan atas alasan bahawa sebarang perlantikan untuk jawatan ini mestilah diputuskan oleh komponen parti Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan bukan atas alasan bahawa kaum Cina adalah kaum majoriti di Negeri Pulau Pinang. Ini jelas membuktikan bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang mewakili kepentingan semua kaum dan kita bersama-sama dengan rakan-rakan sekutu dari PKR dan PAS memanglah berhasrat penuh untuk melaksanakan slogan pentadbiran kita sebagai sebuah kerajaan C.A.T. yang berjiwakan rakyat. * Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang & ADUN Komtar
|