red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Khamis, 1hb April 2010:

Sidang DUN Perak menafikan hak bersuara, demokrasi terkubur di Perak

Semua ADUN pakatan Rakyat telah bersiap-sedia untuk membawa isu dan masalah rakyat pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini untuk mencari jalan penyelesaian tetapi hak dan niat suci kami telah dinafikan dengan ala kuku besi.

Pakatan Rakyat meminta persidangan Dewan Negeri berlangsung 5 hari supaya semua 59 orang wakil rakyat dari seluruh Negeri mempunyai masa yang cukup untuk membahas titah Ucapan Diraja dan mengutarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasan masing-masing. Akan tetapi, permintaan yang cukup munasabah tersebut telah ditolak tanpa sebab oleh Kerajaan Negeri sebaliknya persidangan Dewan Negeri hanya diadakan tidak lebih dari 5 jam sahaja.

Saya merujuk kepada perintah tetap Dewan Negeri tetapi hak untuk membaca perintah tetap juga dicabul oleh Speaker BN, Dato R, Ganesan, walaupun ia jelas termaktub dalam perintah tetap Dewan jika Ahli Dewan membaca perintah tetap, semua pihak perlu menghormati peraturan Mesyuarat tersebut. Semua pembesar suara 28 orang ADUN Pakatan Rakyat Perak telah ditutup sepanjang masa, kami tidak boleh berucap, tidak dibenarkan tanya soalan tambahan, tidak boleh bahasa titah Ucapan Tuanku, tidak boleh baca peraturan dan tidak boleh kemukakan usul, maka apa guna kita duduk dalam Dewan kuku besi sebegini?

Selama tiga penggal saya menjadi wakil rakyat sejak 1999, persidangan kali ini adalah antara yang paling teruk dari segi amalan Demokrasi dan hak-hak Ahli Dewan PR telah dicabul dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya ADUN Barisan Nasional mendapat layanan istimewa.

Saya pada persidangan kali ini membangkitkan perintah tetap perkara3,4 dan 6 mempertikaikan keesahan perlantikan Dato R. Ganesan kerana perlantikan beliau tidak pernah mematuhi undang-undang dan tidak pernah dapat restu Ahli Dewan dengan undi bersurat sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan Negeri.

Media dikurung digaleri orang awam amalan anaktiri

Pihak pentadbiran Barisan Nasional mengkurung pihak media di galeri orang awam di tingkat tiga dan mengakibatkan pihak media tidak dapat membuat laporan liputan media dengan telus dan tepat. Kebanyakan media dikurung di bilik atas dengan pembesar suara ADUN Pakatan semua ditutup supaya pihak media tidak dapat dengar hujah ADUN Pakatan Rakyat. Sila tepuk dada, Tanya imam, adakah ini adil dan saksama?

Keputusan Dato Seri Zamry Bin Abdul Kadir yang memendekkan persidangan Dewan hingga kurang dari satu hari adalah jelas kerajaan Negeri dibawah BN takut bahawa kemungkaran dan kelemahan pentadbiran mereka akan terdedah jika ADUN PAKATAN RAKYAT dibenar untuk membahas.

Selain itu, tohmahan Dato Seri Zamry bahawa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat pernah menawarkan beliau jawatan Menteri Besar Perak sebelum Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik menyandang jawatan tersebut adalah satu kisah penglipur lara yang hanya sekadar bahan ketawa sahaja. Jika benar, sila tunjukkan bukti dan ulangi diluar Dewan, jangan berlagak lempar batu, simpan Tangan.


* Nga Kor Ming, Penolong Bendahari DAP & ADUN Pantai Remis

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional