red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://pgforward.blogspot.com 

 

 

Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di George Town pada hari Isnin, 5hb April 2010:

UMNO mengelirukan rakyat jelata!

UMNO cuba mengumpan rakyat jelata untuk menghadiri ceramah anjurannya dengan menggunakan banner-banner yang memaparkan foto Y.A.B. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Taktik-taktik kotor ini menggambarkan UMNO sanggup mengelirukan rakyat jelata demi mencapai matlamatnya, supaya memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di kalangan penyokong-penyokong mereka. Ceramah ini bertujuan untuk menaburkan fitnah walaupun temanya adalah “Ini Kisah Sebenar!”

Penceramah-penceramah yang diundang ke ceramah tersebut termasuklah Y.B. Datuk Seri Zahrain Hashim, Ahli Parlimen yang telah dibebaskan daripada Bayan Baru dan Ezam Mohd. Noor yang telah keluar parti PKR sebelum ini. Apakah kisah sebenar yang dapat diceritakan oleh mereka selain cerita-cerita khayalan ciptaan UMNO sendiri.

DAPSY dan Pemuda Pakatan Rakyat menuntut supaya UMNO memberhentikan taktik-taktik sedemikian yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat sahaja. Taktik-taktik yang kotor sedemikian patut diketuk dan dikecam oleh sepelosok rakyat yang berpegang teguh terhadap prinsip-prinsip demokrasi.

Jikalau UMNO tidak yakin dengan daya tarikan sendiri sehingga sanggup memperalatkan foto-foto pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat demi menarik minat rakyat jelata ke ceramah anjurannya, ini menunjukkan bahawa UMNO telah ketandusan modal politiknya dan sokongan rakyat terhadapnya semakin menurun.

DAPSY dan Pemuda Pakatan Rakyat menggesa rakyat jelata supaya tidak dipancing untuk menghadiri ceramah anjuran UMNO yang hanya bertujuan untuk menaburkan fitnah sahaja. Kisah-kisah sebenar tidak akan dan tidak dapat diceritakan oleh pemimpin-pemimpin yang boleh dibeli dan disokong oleh UMNO.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional