red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://www.wengsan.blogspot.com 

 

 

Ucapan Junjung Kasih Lau Weng San semasa membahas Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor di DUN Shah Alam pada hari Selasa, 13hb April 2010:

Ucapan Junjung Kasih ADUN Kampung Tunku

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor,
YB Tuan Speaker,
Yang Berhormat-Yang Berhormat yang saya hormati,
Semua pegawai kerajaan sekalian,

Salam sejahtera.

1. Sebelum saya berhujah, ingin saya memaklumkan kepada semua bahawa keadaan Ahli Yang Berhormat dari Damansara Utama kini dalam keadaan yang sangat baik di mana beliau sudah menyedarkan diri dan dijangkakan akan dipindahkan ke wad biasa hujung minggu ini.

2. Genap dua tahun kita semua bersidang di Dewan Yang Mulia ini. Banyak pencapaian yang telah dikecapi oleh Dewan Negeri berbanding dengan masa dahulu. Begitu juga dengan pihak eksekutif di bawah tema besar “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

3. Walaupun persidangan Dewan kali ini bertembung dengan kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, tetapi ianya langsung tidak menjejaskan perjalanan sidang Dewan Negeri. Bermula hari pertama pada semalam, kita akan membahas semua isu yang berkaitan dengan kehidupan harian rakyat jelata Selangor.

4. Semalam, Tuanku Sultan Selangor bertitah bahawa semua Ahli Dewan Negeri harus menggunakan peluang yang ada di dalam Dewan yang mulia ini untuk membincangkan dasar-dasar yang baik. Baginda juga bertitah bahawa ahli-ahli politik tidak harus menghabiskan masa yang banyak untuk berpolitik sahaja.

5. Titah baginda memang ada sebabnya dan ini juga sebabnya Dewan Negeri dan Eksekutif yang diterajui oleh Pakatan Rakyat tidak menangguhkan sidang dewan pada kali ini walaupun kami perlu menghadapi pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor.

6. Bagi mereka yang selalu ponteng, menghilangkan diri pada sebelah petang atau sengaja membisukan diri dalam sebarang perbahasan, maka ingat-ingatlah titah ucapan daripada Tuanku semalam.

Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor

7. Genap dua tahun kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat. Pada tahun pertama, kita melancarkan konsep pentadbiran “Merakyatkan Ekonomi Selangor”:

I. Tabung Warisan Anak Selangor
II. Hadiah Anak Masuk Universiti
III. Skim Mesra Usia Emas
IV. Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)
V. Bekalan 20m3 air percuma
VI. Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang
VII. Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

8. Kini, program MES ini telah memasuki ke fasa kedua di mana Cuti bersalin 90 hari kepada kakitangan awam wanita dan 14 hari kepada suami mereka, serta cuti sebulan kepada kakitangan awam wanita jika suami mereka meninggal dunia.

9. Program MES ini pula diikuti dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor yang dilancarkan pada bulan Mac 2009. Kesemua lima bidang di bawah pakej:

I. Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab.
II. Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan sistem transit aliran ringan (LRT).
III. Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
IV. Pembaharuan aktiviti di bandar, iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar termasuk di Petaling jaya dan Klang.
V. Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.

10. Kini segala usaha yang kita curahkan telah dapat kita lihat hasilnya. Biarpun masih terdapat kelemahan-kelemahan pada permulaan program-program ini, tetapi rata-ratanya rakyat Selangor menyambut baik usaha keras daripada Pakatan Rakyat untuk memartabatkan kehidupan rakyat.

11. Pengurusan ekonomi serta usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi di negeri Pakatan Rakyat telah berjaya membuktikan bahawa Pakatan Rakyat mampu mentadbir. Menurut perangkaan MIDA dalam tahun 2009 Selangor telah menerima pelaburan sebanyak RM6.76 bilion kedua selepas Sarawak yang mencatatkan RM8.45 bilion. Itu pun RM7 bilion untuk projek peleburan aluminium di Bintulu. Selangor mencatatkan pertambahan 20,753 pekerjaan baru. Selangor telah mencatatkan kelulusan projek industri sebanyak 278 yang juga tertinggi di dalam negara. Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya membawa masuk pelaburan daripada syarikat tenaga solar Q-Cells daripada Jerman yang bertapak di Science Park II, Cyberjaya yang mencatatkan pelaburan bernilai RM2 bilion untuk fasa yang pertama.

12. Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat telah melancarkan projek pembersihan Sungai Klang yang akan mencatatkan pelaburan dalam fasa pertama bernilai RM20 bilion. Baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan empat syarikat telah pun ditawarkan melalui tender terbuka untuk maksud tersebut. Untuk tujuan itu, rakyat meletakkan harapan. Setelah kita berjaya mengurus di peringkat negeri, sekarang rakyat mahu melihat Pakatan Rakyat maju ke Putrajaya.

13. Pentadbiran kerajaan negeri Selangor mendapat Sijil Tanpa Tegur daripada Ketua Audit Negara. SELCAT, PAC, JPKABAS, JPKPBT dan JPKPADAT dan semua jawatankuasa dewan menjalankan tugas-tugas pemantauan dengan baik.

14. Program-program ini tidak harus dilihat sebagai peralatan-peralatan untuk memancing undi, tetapi ianya perlu dilihat sebagai usaha berterusan daripada kerajaan Selangor untuk menyediakan rakyat negeri Selangor menangkis kegawatan ekonomi sedunia yang masih belum tentu arahnya.

Sabotaj UMNO

15. Berbeza daripada Barisan Nasional, dasar Pakatan Rakyat tidak memilih bulu dalam melaksanakan dasar-dasar ini. Faktor kaum dan agama tidak pernah menjadi pertimbangan semasa kita menjalankan program-program ini.

16. Justeru itu, Barisan Nasional telah jauh ketinggalan cuba mengejar dari belakang. Mereka telah melancarkan program yang serupa tetapi kesannya tidak seberapa besar sangat. Mereka telah melancarkan gagasan “1Malaysia” untuk menandingi dasar-dasar keterbukaan Pakatan Rakyat.

17. Malangnya, sindrom cakap tak serupa bikin masih menjangkiti pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Mereka tidak mempunyai DNA 1Malaysia. Ucapan mereka, percakapan mereka, hati dan minda mereka masih sarat dengan faktor perkauman. Semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengaku bahawa beliau Melayu Dahulu, Malaysian Kemudian.

18. Ini mencerminkan satu realiti bahawa kebanyakan pemimpin-pemimpin BN masih belum berubah.

19. BN iri hati dengan pencapaian Pakatan Rakyat. Justeru itu, mereka terus mengerakkan segala jentera kerajaan pusat dan media aliran utama untuk menghalang dan menyabotaj pentadbiran kerajaan negeri. Bermula dengan penubuhan JKKKP, diikuti dengan penahanan Ahli Dewan Negeri Kinrara di bawah ISA, kes kereta dan lembu, demonstrasi kepala lembu dan kemuncaknya kes Teoh Beng Hock, BN telah mengeksploitasi segala peluang yang ada untuk berpolitik demi mengugat kestabilan kerajaan negeri.

20. UMNO telah menggunakan Utusan Malaysia untuk melanjutkan fahaman sempit perkauman mereka. Utusan Malaysia, UMNO dan Perkasa adalah sinomim antara satu sama lain. Kebanyakan anggota Perkasa ialah ahli UMNO sendiri. Barangkali Pemuda UMNO tidak lagi menghunus keris di perhimpunan agungnya, tetapi UMNO telah memberi “mandat” ini kepada Perkasa.

21. Anak-anak muda hari ini tidak lagi membaca Utusan Malaysia. Generasi muda hari ini melayari laman web, blog, twitter, Malaysiakini, Malaysiainsider, Malaysia-today dan facebook untuk mendapat maklumat sebenar mengenai perkembangan negara. Mereka akan kejar dan buru untuk twit dengan Ijok, Kinrara, Gombak Setia, Seri Kembangan, Subang Jaya, Batu Caves, Bukit Antarabangsa malahan Tuan Speaker sendiri.

22. Sebaliknya mereka melihat Utusan Malaysia hanya sebagai tisu tandas, iaitu surat khabar yang hanya dibaca semasa berehat di tandas. Saya difahamkan langganan Utusan Malaysia telah merudum. Mengikut laporan perangkaan daripada Audit Bureau of Circulation (ABC), langganan Utusan Malaysia telah merosot daripada 300,000 kepada 70,000 sahaja.

23. Utusan Malaysia tidak menjana pemikiran rakyat yang sihat. Utusan Malaysia tidak membicarakan wacana yang mampu mengangkat martabat orang Melayu. Malahan Utusan Malaysia memperlekehkan dan memperbodohkan minda orang Melayu.

24. Utusan Malaysia juga mengkritik MCA bahawa MCA tidak harus memilih Dato’ Seri Chua Soi Lek sebagai presidennya keranan beliau terlibat dalam skandal seks. Utusan Malaysia juga begitu garang sehingga mengatakan Chua Soi Lek seorang yang tamak kuasa. Saya kasihan MCA kerana sebuah suratkhabar seperti Utusan Malaysia pun berani mengkiritk komponen parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional.

25. Mana tidak MCA tidak ditegur Utusan Malaysia sedangkan rencana Utusan Malaysia pada 21 Mac 2010 telah dilihat menghina Baginda Tuanku Sultan Selangor apabila Baginda membatalkan keberangkatan Baginda di Program PERKASA melalui rencana Awang Selamat.

26. Tuan Speaker, kami tidak melantik juru perunding komunikasi Zionis untuk berkomunikasi dengan rakyat. Juru perunding komunikasi kami adalah rakyat Malaysia sendiri. Pakatan Rakyat mengupah rakyat Malaysia sendiri untuk menerangkan kepada rakyat apa yang berlaku di Selangor. TV Selangor, yang diuruskan oleh 100% rakyat Malaysia, dan dikritik kuat oleh Ahli Parlimen Rambau ini kini diberi tugas untuk membuat siaran langsung sidang dewan.

27. Dulu kerajaan BN berkata bahawa siaran langsung sidang Dewan Rakyat membazir masa, tetapi sekarang sebuah kerajaan negeri seperti Selangor berupaya membuat siaran langsung sidang Dewan Negeri dan sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan

28. Bagi sebuah negara persekutuan yang mengamalkan system Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ala Westminster, imbangan kuasa antara ketiga-tiga cabang kerajaan, yakni eksekutif, perundangan dan kehakiman, serta imbangan kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri adalah sangat penting.

29. Biarpun begitu, kita harus juga ingat bahawa terdapat kritis bahawa perlembagaan Malaysia yang dirangka pada 1950-an merupakan satu perlembagaan yang memihak kepada kerajaan persekutuan di mana beberapa sektor pentadbiran dan sumber ekonomi yang penting dikuasai oleh kerajaan persekutuan.

30. Lebih-lebih lagi, BN dalam 50 tahun yang lalu, dengan berbekalkan majoriti dua pertiganya di Dewan Rakyat, sentiasa meminda Perlembagaan Persekutuan sehingga wajah rupa Perlembagaan Persekutuan sekarang amat berbeza dengan Perlembagaan Persekutuan asal. Beberapa kuasa negeri telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan ataupun diletakkan di bawah senarai bersama. Ini telah merumitkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Soal-soal seperti air, sisa pepejal, pengangkutan awam, pelaburan, pelabuhan dan sebagainya semua di bawah Kerajaan Persekutuan.

31. Apa yang sama juga pernah berlaku terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Justeru itu, saya menyeru kerajaan supaya apabila terdapat peluang nanti, kita perlu memperbetulkan beberapa perkara. Antaranya ialah larangan terhadap seorang wakil rakyat yang meletakkan jawatan untuk bertanding semula.

Pendidikan

32. Pendidikan merupakan masa depan sesebuah negara. Kerajaan Selangor memperuntukkan secara tetap setiap tahun RM6juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), RM6 juta kepada SJKC dan RM4 juta kepada SJKT walaupun soal pendidikan bukan tanggungjawab kerajaan negeri.

33. Saya terkilan dengan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan persekutuan yang mengatakan bahawa kerajaan Selangor sengaja melambat-lambatkan permohonan tanah untuk membina sekolah. Baru-baru ini, oleh sebab ingin mengaut kepentingan politik, BN menuduh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sengaja melewatkan kelulusan pembinaan sebuah SJKC di Bukit Beruntung sehinggalah mantan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin meninggal dunia dan pilihanraya kecil perlu diadakan.

34. Setelah penyemakan dengan MDHS, saya telah mendapati bahawa kenyataan ini adalah tidak betul. MDHS telah meluluskan pelan struktur pembinaan sekolah ini pada 22 Mac 2010, seminggu sebelum Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin meninggalkan dunia.

35. Kelulusan MDHS ini juga diberi setelah pegawai MDHS berkali-kali menelefon arkitek dan perancang bandar yang dilantik kontraktor untuk menghantar pelan struktur ini untuk kelulusan. Jadi siapa yang sengaja melengah-lengahkan kelulusan ini?

36. Kalau pemahaman saya betul, terdapat satu pekeliling daripada kerajaan pusat dahulu bahawa semua projek pembangunan di bawah Jabatan Kerja Raya tidak memerlukan kelulusan daripada PBT. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan proses pembinaan. Jadi dengan ini, tiada sebab langsung untuk MDHS melengah-lengahkan projek-projek pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

37. Kerajaan negeri juga telah melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan SPIES. Kedua-dua program ini merupakan program perintis kerajaan Selangor. Rata-ratanya sambutan terhadap kedua-dua program ini adalah baik tetapi kerajaan Selangor juga perlu menambah-baik pelaksanaan program ini khususnya bagi ADUN di kawasan bandar.

38. Saya mencadangkan supaya pelaksanaan program PTRS khususnya dapat dibuka kepada mereka yang menuntut di tingkatan-tingkatan yang lain kerana bukan senang untuk saya mencari bilangan pelajar tingkatan lima yang mencukupi untuk membuka satu kelas tuisyen PTRS.

Pembangunan tanah

39. Kerajaan telah memansuhkan Jawatankuasa Tanah Daerah dan digantikan dengan Jawatankuasa Tindakan Daerah pada tahun 2009.

40. Kerajaan perlu merombak semula Jawatankuasa Tindakan Daerah kerana jawatankuasa ini telah menjadi begitu besar sehingga semua agensi kerajaan sama ada pusat atau negeri pun menghadiri mesyuarat ini dan menjadikan mesyuarat terlalu panjang lebar. Terdapat juga perkara-perkara yang ditimbulkan wakil rakyat boleh diselesaikan antara wakil rakyat itu sendiri dengan agensi kerajaan yang berkenaan, termasuk masalah-masalah dengan PBT.

41. Maka cadangan saya adalah untuk menjadikan Jawatankuasa Tindakan Daerah ini sebagai satu forum untuk semua wakil rakyat memanjangkan masalah-masalah berkenaan dengan tanah kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk Pihak Berkuasa Tempatan

42. Saya menyambut tindakan kerajaan Selangor meminta SPR untuk menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan di Selangor. Malangnya, SPR enggan melayan permintaan kerajaan Selangor ini.

43. Keputusan Majlis Tindakan Kerajaan Tempatan yang didominasi kerajaan persekutuan BN dan kerajaan negeri yang diterajui BN untuk tidak bersetuju dengan Pilihanraya Kerajaan Tempatan sekaligus menunjukkan mereka tidak berhasrat untuk mengembalikan hak kepada rakyat.

44. Di manakah gagasan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”?

45. Kerajaan BN mengatakan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan menyelesaikan semua masalah yang berkaitan dengan kerajaan tempatan. Memang betul masalah-masalah kerajaan tempatan tidak akan diselesaikan dengan hanya memulihkan pilianharaya tetapi sekurang-kurangnya rakyat akan diberi peluang untuk memantau prestasi kerajaan tempatan.

46. Justeru itu, Kerajaan Selangor harus membuktikan mereka silap dengan memperkasakan sistem penyampaian PBT di Selangor. Antara kelemahan kerajaan tempatan ialah sistem penyampaiannya.

47. Pertukaran pegawai-pegawai sesama PBT telahpun dilakukan. Sehingga sekarang, maklum balas yang diterima rata-ratanya adalah positif. Pertukaran pegawai ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan punitif tetapi satu cara untuk menguatkan sistem penyampaian PBT.

48. Selain itu, saya juga ingin mencadang supaya kerajaan mengadakan satu sistem ganjaran kepada pegawai-pegawai PBT yang telah menjalankan tugas mereka dengan bagus untuk dijadikan sebagai “pull factor” kepada pegawai-pegawai PBT kita supaya memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

49. Selain itu, PBT harus membuka peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia dan tidak harus terlalu terikat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam kerana pada akhirnya gaji pegawai-pegawai PBT dibayar oleh PBT dan bukannnyaoleh JPA.

50. Saya juga ingin menyentuh tentang status kewangan PBT yang rata-ratanya menunjukkan perkembangan positif. Biarpun begitu, PBT harus berjimat-cermat dalam perbelanjaannya. Antara kekurangan PBT ialah sesuatu perbelanjaan walaupun telah dibajetkan dalam belanjawan, kerja-kerja yang hendak dilakukan selalunya bermula pada pertengahan tahun. Terdapat juga kes-kes di mana pembayaran dibuat pada tahun ini untuk kerja-kerja yang telah dilakukan pada tahun yang lalu dengan menggunakan bajet tahun ini.

51. Oleh itu saya meminta pihak Eksekutif untuk memantau perkara ini. Saya juga ingin mencadangkan supaya apabila PBT menjalankan sesuatu kerja infrastruktur, kos perbelanjaan untuk kerja ini turut dipaparkan dalam papan tanda untuk mempertingkatkan ketelusan PBT.

52. Saya juga mendapati bahawa PBT selalu memberi sokongan kepada program-program yang dianjurkan oleh kerajaan. Sememangnya PBT boleh dan harus berbuat demikian, tetapi PBT juga tidak boleh terlalu dibebankan dengan program-program ini kerana ianya secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kewangan PBT, seperti elaun tambah masa pegawai-pegawai PBT, kos penyelenggaraan peralatan dan kenderaan PBT serta kekurangan tenaga kerja PBT untuk kerja-kerja yang lain.

Sektor Pertanian

53. Sektor pertanian telah diberi perhatian dalam pakej rangsangan ekonomi Selangor dan tumpuan telah diberi kepada peningkatan hasil padi di Selangor. Sebenarnya kita juga tidak boleh melupakan hasil tanaman yang lain seperti sayur-sayuran dan fokus sekata perlu diberi kepada semua aktiviti pertanian di Selangor.

54. Difahamkan bahawa kawasan Hulu Selangor merupakan satu kawasan yang mempunyai aktiviti pertanian sayur-sayuran yang paling besar di Selangor, khususnya di Ulu Yam. Saya difahamkan bahawa sekurang-kurangnya 40% daripada sayur-sayuran yang dipasarkan di Pasar Borong Selayang datang daripada Hulu Selangor.

55. Baru-baru ini mereka telah mengadu bahawa mereka masih menyewa tanah-tanah daripada PNSB untuk meneruskan kegiatan pertanian mereka. Beberapa tahun yang lalu semasa BN menjadi kerajaan, mereka hampir-hampir dihalau keluar oleh PNSB kerana PNSB ingin membangunkan tanah-tanah ini dengan perumahan kos rendah. Petani-petani ini harus memohon geran tanah daripada kerajaan dan saya berpendapat kerajaan negeri boleh membantu mereka memandangkan PNSB merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Yayasan Basmi Kemiskinan

56. Kalau di Ulu Yam, petani yang memerlukan tanah tidak dihirau, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pula diberi jutaan ekar tanah oleh kerajaan yang dahulu.

57. Saya difahamkan bahawa Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom yang merupakan mantan ADUN Batang Kali telah menghabiskan peruntukan kawasannya pada tahun 2008 dalam masa kurang daripada tiga bulan dan jumlah yang beliau habiskan ialah RM512,000.

58. Jika dibuat pertandingan, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom boleh dinobatkan sebagai juara di mana beliau hanya mengambil masa 16 hari sahaja untuk menghabiskan keseluruhan peruntukan RM500,000.

59. Beliau selaku Pengerusi YBK yang pada masa sekarang tengah bertikam lidah dengan kerajaan negeri berkenaan dengan cukai tanah seluas 88.4 hektar milik YBK di Serendah yang dirancang untuk pembangunan kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu membuat penjelasan segera dengan sikap beliau yang boros itu.

Pengangkutan Awam

60. Pengangkutan awam di Lembah Klang merupakan salah satu daripada pakej rangsangan ekonomi Selangor. Akibat daripada sistem dan kualiti pengangkutan awam yang lemah, maka produktiviti dan daya persaingan Malaysia dan Selangor terjejas. Pemandu-pemandu kereta perlu menghabiskan masa berjam-jam untuk tiba di destinasinya di Lembah Klang setiap hari.

61. Saya berasa besar hati apabila kerajaan Pakatan Rakyat bercita-cita untuk meluaskan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan sistem transit aliran ringan (LRT). Pada masa yang sama, saya bimbang bagaimana cita-cita kerajaan Selangor ini dapat direalisasikan apabila hal ehwal pengangkutan awam ini terletak di bawah kerajaan persekutuan.

62. Kerajaan Selangor juga tidak mempunyai dana sebesar kerajaan persekutuan untuk membangunkan infrastrukur-infrastruktur pengangkutan awam. Maka sudah tentu ianya tidak dapat dibangunkan oleh kerajaan Selangor. Oleh itu, saya ingin bertanya apakah strategi yang ada pada kerajaan untuk mengemaskan sistem pengangkutan awam ini dan apakah yang boleh kita sebagai kerajaan Selangor lakukan selain daripada bergantung kepada agensi-agensi kerajaan persekutuan.

63. Beberapa hari lagi, kami akan turun ke padang di Hulu Selangor. Bagi Pakatan Rakyat kita akan mengharungi PRK ini dengan rentak yang sekata. Calon BN belum ditentutkan lagi. UMNO dan MIC masih berebut-rebut. Malahan sesama MIC pun berebut-rebut. Jadi, siapa calon BN? Adakah ia V. Mugilan, G. Palanivel atau Muhd Muhd Taib? Bagi PR, kami cukup tenang dan steady, calon Pakatan Rakyat sudah ada keputusannya pada pagi ini. Malam nanti kami akan mengumunkan di Serendah. Bagi pengundi di ladang-ladang Felda dan estet, sudah cukup BN menipu. Janganlah kita ditipu lagi.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional