http://lokesiewfook.blogspot.com/
Ucapan oleh Loke Siew Fook dalam perbahasan Usul menjunjung kasih Titah Diraja pada hari Isnin, 19hb April 2010: Dalam Titah Tuanku pada hari Jumaat yang lepas, Baginda mengingkatkan kita semua bahawa kita harus sedar masyarakat di beberapa negara yang sebelum ini lebih mundur daripada kita sedang berlumba-lumba memajukan negara mereka setanding dengan negara-negara lain. Nasihat ini memang ada asasnya. Sekiranya dulu Malaysia berada dalam satu liga dengan Korea, Taiwan, Hong Kong Kong dan Singapura, kini kedudukan kami telah jatuh dan kami berada dalam liga bersama negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam. Namun, dalam liga negara-negara ini pun, mungkin kita tidak lagi mampu menjadi juara dan ketinggalan dalam aspek-aspek dan sektor-sektor tertentu. Ini merupakan satu realiti yang perlu diterima dan diinsafi oleh semua pihak. Mengapa negara kita yang kaya dengan sumber asli dan tanah yang subur serta sebuah negara yang bertuah tanpa bencana alam serta sumber manusia yang mempunyai keupayaan yang tinggi, kini seolah-olah kurang mampu bersaing dengan negara-negara lain? Apakah ini merupakan manifestasi bahawa dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan BN selama ini telah “obsolete” atau ketinggalan zaman? Atau disebabkan oleh budaya “rent seeking” yang keterlaluan yang diakui sendiri oleh YAB PM baru-baru ini dalam satu majlis di Singapura yang menyebabkan kebocoran yang besar dalam sistem ekonomi kita yang kini kesannnya ialah membantutkan kemajuan dan pembangunan negara? Saya rasa rakyat Malaysia secara amnya dan rakyat NS secara khususnya sudah tentu ada jawapannya dan mereka mampu menilai keadaan dan kedudukan kita pada masa kini. Kerajaan persekutuan mensasarkan impian untuk membawa Malaysia ke arah sebuah “high income economy” atau masyarakat yang berpendapatan tinggi. Sememangnya ia merupakan satu impian yang murni. Namun, persoalannya ialah bagaimana kita mencapai tahap tersebut? Realitinya ialah kita masih terperangkap dalam “middle income trap” iaitu majoriti anggota masyarakat kita masih berpendapatan rendah dan sederhana. Sekiranya kita mahu keluar daripada perangkap ini, maka pendekatan dan paradigma pemikiran dalam pemerintah dan masyarakat perlu berubah seiring dengan kehendak semasa. Kita perlu sedar bahawa persaingan kita pada hari ini bukan lagi di antara orang Melayu dengan bukan Melayu tetapi di antara Malaysia dengan dunia luar. Justeru itu, sekiranya ada lagi pihak yang mengeluarkan retorik dan mempunyai pemikiran perkauman sempit yang sentiasa melihat semua perkara dari lensa perspektif kaum atau mentaliti “zero sum game”, maka kita akan terus ketinggalan dalam arus gelombang globalisasi yang kita tempuhi sekarang. Kalau kita ikhlas mencapai “Satu Malaysia”, setiap rakyat Malaysia perlu melihat dan menganggap dirinya sebagai orang Malaysia terlebih dahulu dan bukannya latarbelakang kaumnya. Namun, contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin No 2 negara cukup mendukacitakan. Untuk mencapai sebuah “high income economy”, Negeri Sembilan perlu mencari “niche”nya sendiri. Mustahil untuk kita bersaing dalam semua bidang. Kita perlu realistik dengan keupayaan dan kelebihan yang ada pada kita. Kita perlu mengubah pendekatan kita supaya kita dapat memaksimakan kelebihan kita untuk mendapat pulangan yang terbesar. Apakah kelebihan kita yang paling besar? Sudah tentunya ialah kedudukan kita yang strategik yang begitu hampir dengan ibukota negara yang merupakan jantung kepada segala kemajuan dan pembangunan negara. Di mana-mana metropolis di dunia, samada Tokyo, New York, London mahupun Jakarta, populasinya lebih besar pada siang hari berbanding malam kerana sebilangan besar penduduknya menetap di luar ibu kota. Bandar-bandar yang terletak berhampiran dengan ibu kota sememangnya ada potensi untuk mendapat tempias pembangunan. Justeru itu, mengapa tidak kita bersama-sama mensasarkan Seremban sebagai bandaraya satelit kepada Kuala Lumpur iaitu secara sistematiknya kita menarik pekerja di KL menetap di Seremban dalam jumlah yang ramai. Ini mungkin merupakan satu imaginisasi tetapi ia tidak mustahil menjadi kenyataan. Walaupun di atas kertas, Seremban telah dimasukkan sebagai sebahagian dari Lembah Klang tetapi tahap pembangunan dan kemajuan kita masih belum menampakkan apa-apa perubahan yang ketar yang seiring dengan Lembah KLang. Kerajaan negeri juga pernah menyatakan konsep “work in KL, stay in Seremban” namun saya menganggap ia sebagai satu slogan semata-mata tanpa tindakan susulan yang bersungguh-sungguh. Apa yang kekurangan ialah satu strategi keseluruhan untuk mencapai sasaran tersebut? Apakah mekanisme kita? Adakah Kerajaan Negeri membuat kajian berapa ramaikah orang KL telah membeli rumah di Seremban? Sejauh manakah KPI ini? Sememangnya ia bukan sesuatu perkara yang mudah dilakukan. Ia merupakan perancangan yang strategik yang berjangka masa panjang. Ia juga memerlukan beberapa faktor tarikan supaya kita dapat menarik perhatian masyarakat KL. Saya ingin mencadangkan beberapa inisiatif seperti berikut:
* Loke Siew Fook, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan & ADUN Kawasan Lobak
|