Kenyataan Media oleh Lim Guan Eng di George Town pada Selasa, 28hb April 2010: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan masih berhutang 48 CCTV kepada Kerajaan Pulau Pinang sejak 2007 Tiga tahun lalu, pada tahun 2007, di bawah Rancangan Bandar Selamat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membuat janji membekalkan 48 CCTV untuk dipasang di kawasan-kawasan hitam dikenalpasti Polis Di-raja Malaysia (PDRM) di seluruh negeri Pulau Pinang. Jumlah tersebut termasuk pemasangan 24 CCTV di bahagian pulau dan 24 di Seberang Perai, Pulau Pinang. Berasaskan jawapan bertulis Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung soalan lisan saya di Dewan Rakyat pada 13 April 2010 menyatakan bahawa di dalam fasa 1, sebanyak 496 bilangan CCTV di 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Semenanjung Malaysia akan dipasang. Kontrak telahpun ditawarkan kepada Syarikat GTC Global Sdn. Bhd. melalui tender terbuka dan kerja telahpun bermula pada 15 Februari 2010 dan kerja pemasangan dijangka siap pada 15 Julai 2010. Pemasangan CCTV adalah dibuat secara sewaan selama 5 tahun bermula 2010 hingga 2015. Mengapa setelah tiga tahun, barulah projek ini berjalan – secara perlahan? Apa sudah berlaku sepanjang tahun 2008 dan 2009? Sekiranya projek ini dilihat penting demi jaminan keselamatan seluruh rakyat Malaysia, mengapa ia dibiarkan ‘terbengkalai’ selama tiga tahun? Di manakah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan janji perlindungan keselamatan dan nyawa seluruh rakyat di negara ini? Malah, bagi tempoh lima tahun berhubung usaha meningkatkan keselamatan penduduk di bawah RMK – 10, Kerajaan Negeri turut mendesak supaya Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM58,450,000 kepada negeri Pulau Pinang. Peruntukan sebanyak RM43,650,000.00 diperlukan untuk memasang 485 unit CCTV di premis-premis awam bagi tempoh 5 tahun. Dalam usaha mengatasi jumlah kakitangan keanggotaan PDRM, peruntukan RM14.8 juta adalah diperlukan bagi menampung kos rondaan oleh pasukan sukarelawan yang berdisiplin dan terlatih. Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut digesa supaya mempercepatkan pemasangan 50 buah lagi CCTV yang telahpun dijanjikan untuk negeri Pulau Pinang di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan menggunakan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usaha mengurangkan indeks jenayah. Sehingga kini, tiada ada sebarang tindakan susulan sungguh pun program ini telah diumumkan pada tahun lalu – adakah pelaksanaannya juga akan mengambil masa tiga tahun lagi sebelum dilaksanakan sepenuhnya? *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang & Ahli Parlimen Bagan
|