red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Ean Yong Hian Wah di Shah Alam pada hari Sabtu, 28hb Ogos 2010:

Amaran Mais kepada Teo Nie Ching

Saya ingin menyeru kepada Mais dan pihak yang berkaitan supaya membuat siasatan dengan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak.

Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang dan mengantung Jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut dua hari yang lalu.

Saya dimaklumkan oleh Teo bahawa beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM 1000 kepada Jawatankuasa Surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata.

Pada ketika itu, beliau hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi Negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir. Beliau tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas beliau.

Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramandhan yang suci. Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Saya tidak mahu lihat isu ini dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, UMNO dan Perkasa sebagai satu isu politik dan perkauman untuk merosakan keharmonian masyarakat kita.


* Ean Yong Hian Wah, Exco Selangor & Pengerusi DAP Selangor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional