red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://ngakorming.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Jumaat, 3hb Disember 2010:

DAP dedahkan tanah lombong 4,502 ekar dengan premium RM66 satu ekar diluluskan oleh BN Perak

DAP Perak hari ini mendedahkan bahawa semenjak rampasan kuasa Barisan Nasional pada 9/2/2009, kerajaan Negeri telah meluluskan kawasan seluas 4,502 ekar tanah lombong tetapi jumlah premium yang dikutip hanya RM297,357.00, iaitu hanya RM66 satu ekar sahaja.

Menurut jawapan rasmi Menteri besar Negeri Perak, Dato Seri Dr Zamry Bin Abdul Kadir kepada pertanyaan saya dalam persidangan Dewan, adalah amat terperanjat bahawa kerajaan Negeri telah meluluskan kawasan luas lebih 4,500 ekar tanah lombong kepada pihak swasta tetapi premium yang dikutip adalah hanya RM66 satu ekar sahaja.

Mengikut peraturan Tanah Negeri Perak, Perak Land Rules, kutipan premium tanah yang minimum sepatutnya RM1,000 satu ekar. Oleh demikian, saya menggesa Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) mengambil tindakan wajar untuk menyiasat perkara ini supaya membela kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan Negeri BN juga meluluskan tanah kuari sebanyak 503 ekar dengan kutipan premium sebanyak RM7,099,250.00, iaitu kutipan premium RM14,113.81 satu ekar.

Saya meminta penjelasan daripada kerajaan Negeri sama ada tanah kuari dan tanah lombong yang mempunyai nilai komersial tinggi dianugerahkan menerusi proses tender terbuka ataupun dengan rundingan terus. Perdana Menteri, Dato Seri Najib Bin Tun Razak pernah menyarankan supaya tanah negeri yang mempunyai nilai komersial diluluskan dengan proses tender terbuka supaya kerajaan dapat memperoleh hasil cukai yang lebih tinggi untuk tujuan pembangunan Negara.

Hutang Negeri Perak kini mencecah RM900 juta

Rakyat perlu sedar kedudukan kewangan kerajaan Negeri kini menunjukkan bahawa jumlah hutang kerajaan Negeri sudah meningkat 500% dalam 10 tahun sehingga RM903 juta dari RM182 juta pada tahun 1999. Yang membimbangkan adalah wang rizab negeri hanya setakat RM795 juta, iaitu hutang telah melebihi segala simpanan kumpulan wang bersatu Negeri.


* Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Negeri Perak & ADUN Kawasan Pantai Remis

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional