red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Leong Kwang Yew di Limbang, Sarawak pada hari Rabu, 15hb Disember 2010:

Mengapakah Hospital Limbang terus diabaikan oleh Kerajaan Persekutuan?

Kami berasa amat kecewa selepas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyatakan bahawa beberapa program yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan tidak dapat dilaksanakan di negeri ini berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini termasuk program "1 Daerah 1 Hospital".

Kami ingin menegas bahawa setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan (Dasar Pakatan Rakyat). Tetapi sehingga kini, perkhidmatan seperti doktor udara dan juga perkhidmatan tele-hospital bergerak belum diperbaiki.

Penduduk-penduduk kawasan Limbang yang berselerak dan berpendapatan rendah seolah-olahnya terabai berbanding dengan penduduk bandar yang berpendapatan lebih tinggi. Adakah Ketua Menteri Sarawak dan Kementerian Kesihatan Kerajaan Persekutuan memahami perasaan ahli keluarga pesakit yang dalam keadaan kritikal tetapi tidak dapat menerima rawatan yang betul dan sesuai?

Penduduk Limbang memerlukan sebuah hospital besar yang dilengkapi kemudahan terkini. Ketika ini, pesakit yang menghidap penyakit yang kritikal terpaksa dihantar ke Miri Hospital dengan perjalanan yang mengambil masa 3 jam disebabkan ketiadaan doktor pakar di Limbang. Kami juga mendapati Hospital Limbang digelar sebagai "Klinik Limbang" sahaja oleh sesetengah penduduk.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, purata 120 kes pesakit yang menyeberangi sempadan dilaporkan setiap tahun, sebahagian besarnya membabitkan mereka yang tinggal di Limbang, Sarawak, yang dirujuk ke Miri untuk mendapatkan rawatan.

Hospital Limbang sepatutnya ditambahbaikkan untuk rakyat Bukit Kota dan Limbang dengan doktor pakar dan kemudahan perubatan moden. Dari segi struktur geografi, Bukit Kota yang diapit oleh Brunei tiada alternatif lain untuk melaluinya melainkan masuk keluar sempadan Negara Brunei dan menanggung kos lain-lain.


* Leong Kwang Yew, Pengerusi DAP Limbang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional